Tag: bantuan khas

  • Mesyuarat Exco pertama Kedah lulus bantuan khas RM400 buat penjawat awam

    Mesyuarat Exco pertama Kedah lulus bantuan khas RM400 buat penjawat awam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MESYUARAT Exco pertama kerajaan negeri Kedah dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini membawa khabar gembira kepada sejumlah 5,600 kakitangan kerajaan negeri di negeri ini dengan kesemua mereka akan menerima bantuan khas berjumlah RM400 pada pertengahan bulan depan.

    Menurut Muhammad Sanusi, pembayaran bantuan khas itu akan dibuat pada 14 September depan melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM2.08 juta.

    Katanya, keputusan untuk meluluskan pemberian bantuan khas itu selari dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lalu mengenai Bantuan Khas Penghargaan (BKP) berjumlah RM300 kepada kakitangan Awam di peringkat Persekutuan, yang mana pembayarannya telah dilunaskan pada 10 Ogos lalu.

    “Ada keputusan besar diputuskan dalam mesyuarat Exco ini iaitu pemberian bantuan khas kepada kakitangan awam negeri kerana Perdana Menteri dah umum pemberian kepada kakitangan awam Persekutuan berjumlah RM300 sempena Pilihan Raya.

    “Perkara itu diumum, kemudian dibayar sewaktu tempoh berkempen. Jadi kita tak buat masa tempoh berkempen sebab takut jadi sogokan pilihan raya.

    “Maka selepas pilihan raya negeri (PRN), kita beri RM400 kepada 5,600 kakitangan awam negeri melibatkan peruntukan kira-kira RM2.08 juta. Bantuan khas itu akan dibayar pada 14 September,” katanya dalam sidang akbar selepas mesyuarat tersebut di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, dalam mesyuarat pertama itu, beliau turut memberikan nasihat secara panjang lebar kepada barisan exco baharu mengenai panduan, pedoman dan cara kerja efisien yang perlu dilaksanakan bagi membantu rakyat.

    “Ada macam-macam keadaan akan hadir… Maka kita perlu ‘set’ satu cara kerja serta pendekatan yang kemas, cepat dan berdikari. Berdikari itu, andai nilai sendirilah keadaannya… ‘Hang’ tafsirlah macam mana pun,” katanya.

    Beliau dalam pada itu memaklumkan, satu pertemuan antara Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali dengan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang bertanggungjawab terhadap agensi Persekutuan, telah diadakan selepas berakhir PRN bagi menyelaras kerja-kerja pentadbiran yang bakal dilaksanakan antara pengurusan kerajaan negeri dan Persekutuan.

    Langkah itu katanya, diharap dapat menyelesaikan tanggapan serta dakwaan sebelum ini yang menyatakan kalangan Exco negeri tidak mendapat kerjasama dari agensi kerajaan Persekutuan.

    “Saya rasa pertemuan itu akan menyelesaikan tanggapan serta andaian tersebut. Saya percaya kalangan agensi serta pegawai di peringkat Persekutuan bersikap profesional kerana mereka dilantik atas dasar pengurusan yang profesional juga,” katanya.

  • Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui

    Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui

    MEREKA yang dalam tempoh rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tidak perlu bimbang kerana akan menerima Bantuan Khas COVID-19 (BKC), selepas keputusan rayuan diketahui hujung bulan ini. 

    Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan mendengar keluhan segelintir rakyat yang resah apabila mengetahui pemberian BKC kepada golongan B40 adalah berdasarkan data lulus BPR, memandangkan mereka masih berada dalam tempoh rayuan. 

    “Jika mereka lulus rayuan dengan kelayakan sedia ada, mereka juga layak menerima BKC. Jika tidak layak (menerima BPR), kita akan menggunakan kaedah silang data untuk semak dengan data percukaian dan jika memenuhi syarat M40, mereka juga tidak terkecuali untuk menerima bantuan ini. 

    “Kita sedaya upaya memastikan mereka yang terkesan dengan pandemik ini dibantu menerusi pelbagai kaedah diberikan kerajaan, namun bantuan ini juga mesti mematuhi syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BKC di sebuah bank di Triang di sini hari ini. 

    Mohd Shahar mengakui pandemik yang tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini, juga menyebabkan berlaku situasi mereka dalam kategori T20 berubah menjadi M40, sekali gus layak untuk menerima bantuan kerajaan, jika memenuhi syarat. 

    Sehubungan itu, kementerian sentiasa melaksanakan proses semak dan imbang untuk mengemas kini data bagi mengurangkan risiko mereka yang layak tercicir, mengambil kira bantuan diberikan adalah secara bersasar dan berperingkat. 

    BKC dijadualkan dibuat pada September, November dan Disember. 

    Selain itu, Mohd Shahar berharap penerima BPR membuat semakan akaun bank kerana didapati masih ada yang tidak menyedari BKC dikreditkan ke akaun mereka kerana berpandangan tidak membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan tunai tersebut.  

    Pada 1 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian BKC fasa satu bermula hari ini, dijangka memanfaatkan 10 juta penerima B40 dan M40 yang layak, terdiri daripada 4.4 juta isi rumah,  warga emas (1.1 juta) dan bujang (4.5 juta) dengan peruntukan RM3.1 bilion. 

    Katanya, BKC pada awalnya dijadualkan pada Ogos lepas namun kelewatan berlaku disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan, sebelum perdana menteri mengarahkan pembayaran disegerakan sebaik sahaja Kabinet baharu memulakan kerja. 

    “Kita mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk memberi bantuan dan kerajaan menggunakan konsolidasi fiskal untuk kita melihat secara keseluruhan perbelanjaan dan penggunaan kewangan negara yang lebih kepada rakyat bagi membantu mereka,” katanya.

    Secara keseluruhan, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM17.1 bilion pada tahun ini bagi pelaksanaan  Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) telah dan akan diberikan kepada mereka yang layak. – BERNAMA