Tag: bantu

  • Banjir: Kerajaan Kelantan sumbang RM50,000 kepada negeri Johor

    Banjir: Kerajaan Kelantan sumbang RM50,000 kepada negeri Johor

    KERAJAAN Kelantan menyalurkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada Johor yang sedang mengalami bencana banjir.

    Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata sumbangan itu sebagai tanda kebersamaan bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

    “Kerajaan negeri turut bersimpati kejadian banjir yang berlaku di Johor. Semoga Allah SWT memudahkan urusan dan memberikan ketabahan kepada semua mangsa banjir yang terjejas,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

    Keadaan banjir di Johor semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 26,633 orang setakat 2 petang ini, berbanding 25,213 orang 8 pagi tadi dengan tujuh lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 193 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah. – BERNAMA

  • Malaysia sumbang peralatan perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

    Malaysia sumbang peralatan perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

    MALAYSIA hari ini menyerahkan sumbangan peralatan dan bekalan perubatan kepada Indonesia bagi membantu republik itu memerangi pandemik COVID-19.

    Sumbangan itu diserahkan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini.

    Saifuddin berkata bantuan itu mencerminkan hubungan baik dan kukuh di antara kedua-dua negara, dan sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam memerangi pandemik COVID-19.

    “Walaupun Malaysia sendiri masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 serta kekangan-kekangan yang datang dengannya, namun ia tidak menghalang kita untuk membantu mengikut kemampuan kita.

    “Di samping usaha-usaha domestik kita untuk menangani wabak COVID-19, kita juga perlu melihat kepada situasi dan kebajikan mereka yang berada di sekeliling kita, termasuk juga jiran-jiran tetangga kita,” katanya pada majlis penyerahan itu. 

    Sumbangan yang dihulurkan Malaysia kepada Indonesia yang berupa tangki ISO mengandungi oksigen cecair, pemekat oskigen, ubat-ubatan terapeutik serta barangan perubatan pakai buang, akan dihantar menggunakan pesawat TUDM. 

    Sumbangan hari ini merupakan kumpulan pertama dalam beberapa peringkat penghantaran bantuan kepada Indonesia yang dijangka selesai hujung bulan ini, katanya.

    Sementara itu, Hermono berkata kerajaan dan rakyat Indonesia amat menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. 

    “Sumbangan ini amat bermakna untuk kami. Meskipun Malaysia pada saat ini sedang berjuang melawan COVID-19, tapi ia masih fikirkan saudara-saudara di Indonesia dalam membantu untuk sama-sama melawan pandemik ini,” katanya. 

    Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang. – BERNAMA 

  • Bantu ‘along’ tampal, edar poster, 2 lelaki didenda RM3,500

    Bantu ‘along’ tampal, edar poster, 2 lelaki didenda RM3,500

    MAHKAMAH Majistret Seremban hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM3,500 ke atas dua lelaki yang mengaku salah menampal poster dan mengedar risalah syarikat pinjaman wang tanpa lesen, minggu lalu.

    Tertuduh, Woon Wan Pau, 46 dan Tan Hai Liang, 37, pada masa sama diperintahkan Majistret, Mahyun Yusof menjalani hukuman penjara lapan bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

    Bagaimanapun kedua-duanya membayar denda terbabit.

    Mengikut fakta kes, Wan Pau dan Hai Liang didakwa membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menjalankan kegiatan mengedar risalah dan menampal poster berkaitan pinjaman kewangan.

    Perbuatan itu dipercayai dilakukan di kawasan Bandar Sri Sendayan kira-kir pukul 3.30 petang, 7 September lalu.

    Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Polis Negeri Sembilan pada minggu lalu menahan lima lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (along) di negeri ini dalam tiga serbuan berasingan.

    Dua tertuduh yang didakwa antara suspek yang ditahan selepas dikesan mempromosikan pinjaman wang tanpa lesen di Bandar Sri Sendayan.