Tag: Bank Negara Malaysia

  • Permohonan pelaburan asing 1MDB tertakluk syarat akta  – BNM

    Permohonan pelaburan asing 1MDB tertakluk syarat akta – BNM

    SEMUA permohonan pelaburan asing yang dihantar oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah tertakluk pada syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.

    Memetik laporan FMT, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin adalah tertakluk pada akta yang dikuatkuasakan sehingga 2013 .

    Akta tersebut seterusnya diganti dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan syarat-syarat serta kriteria yang mengawal pelaburan tersebut adalah telus serta diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

    “Kesemua permohonan yang dihantar oleh 1MDB termasuk permohonan yang dinyatakan di atas adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti-entiti lain kepada BNM,” jelas bank pusat itu.

    Kenyataan BNM itu merujuk kepada testimoni saksi dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di New York, Amerika Syarikat berhubung kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB untuk melabur di luar negara pada 2009.

    BNM turut mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat yang diterima daripada Unit Perisikan Kewangan (FIU) asing berkaitan dengan akaun milik suami kepada bekas gabenornya.

    Dalam hal terbabit, maklumat telah diberikan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan pada April 2016 selaras dengan tanggungjawab BNM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, jelasnya.

    Semalam, FMT melaporkan bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat bahawa BNM membenarkan pindahan wang keluar negara sebanyak AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI) selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana.

    Pindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman, katanya. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz merupakan gabenor BNM ketika itu dan suaminya ialah Datuk Tawfiq Ayman.

    Leissner, saksi penting dalam perbicaraan seorang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng, menyifatkan penghantaran AS$1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai “tidak pernah berlaku dahulu”.

    Difahamkan, AS$1 bilion itu termasuk AS$700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

    Dokumen mahkamah yang dilihat FMT menyebut Leissner pada Selasa memberitahu juri mahkamah persekutuan bahawa Ng memberitahunya apa yang didengarnya mengenai kelulusan segera daripada BNM itu sebaik sahaja mereka mendapat tahu 1MDB membuat pindahan itu.

  • BNM beli tanah RM2.07 bilion, hasil jualan bayar hutang 1MDB – PAC

    BNM beli tanah RM2.07 bilion, hasil jualan bayar hutang 1MDB – PAC

    PENJUALAN Tanah Geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh kerajaan melalui Syarikat SPV Hartanah Mampan Sdn Bhd adalah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat BNM pada 19 Dis 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Dis 2017 (RM1.035 bilion), dengan hasil jualan itu telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Dis tahun sama.

    PAC yang menjalankan mesyuarat prosiding berhubung isu tanah itu pada 20 Sept lepas, antara lain merumuskan BNM tidak pernah merancang membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

    “Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wong berkata tiga saksi dipanggil pada mesyuarat prosiding berkenaan iaitu Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon dan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

    Hasil prosiding itu juga PAC mendapati BNM tidak melaksanakan usaha wajar secukupnya dalam pembelian Tanah Lot 41, selain Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli tanah lot itu dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF pada 15 Ogos 2017, dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan oleh MOF pada 21 Ogos tahun sama.

    “Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu empat bulan. Kesemua itu membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan,” kata Wong.

    PAC turut merumuskan harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan Tetuan Suleiman & Co adalah tinggi.

    “Penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia) yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah “Tiada”, Syarat Nyata “Tiada” dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1,421,650,000,” katanya.

    Wong memaklumkan pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah daripada “Tiada” kepada “Bangunan” dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu.

    Justeru, PAC mengesyorkan supaya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan serta pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di samping menghormati transaksi jualan hartanah yang menguntungkan kerajaan.

    BNM juga perlu dengan segera menyelesaikan isu penukaran Kategori Kegunaan Tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41, selain rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah lot itu perlu dimuktamadkan, katanya.

    Menurut Wong, isu berhubung tanah berkenaan adalah sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Dis 2020. – BERNAMA