Tag: Banjir kilat

  • Banjir kilat: 2 PPS masih beroperasi di Pulau Pinang

    Banjir kilat: 2 PPS masih beroperasi di Pulau Pinang

    SEBANYAK dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka sehingga kini iaitu masing-masing di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir kilat.

    Kesemua mereka merupakan penduduk yang terjejas dengan bencana itu sejak malam tadi ekoran hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam bermula pukul 4 petang semalam.

    Antara kawasan yang terjejas teruk dengan banjir kilat itu adalah di sekitar Kepala Batas; Perda; Bertam dan Juru.

    Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, mangsa banjir di SPU ditempatkan di dua lokasi iaitu di dewan komuniti dan Sekolah Agama Kubang Menerong, Tasek Gelugor.

    “Setakat pukul 2 pagi tadi, hanya terdapat satu PPS yang dibuka (dewan komuniti) dan menempatkan seramai 38 orang dari sembilan keluarga di daerah SPU,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

    Difahamkan daripada 38 mangsa itu, 11 daripada mereka merupakan kanak-kanak, lapan warga emas dan selebihnya adalah lelaki dan wanita dewasa.

    Selain SPU, satu lagi PPS yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah, Nibong Tebal dengan 21 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di situ sejak tengah malam tadi.

    Terdahulu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad turut turun padang melawat beberapa lokasi yang terjejas teruk akibat banjir kilat itu.

    Dalam pada itu, portal Public Info Banjir melaporkan, paras air di beberapa sungai utama di SPU kini berada di bawah paras normal sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

    Bagaimanapun, paras air Sungai Jawi di SPS masih tinggi, namun berada di bawah tahap berjaga-jaga.

  • Amaran banjir kilat dalam tempoh 12 jam dikeluarkan bagi 6 negeri

    Amaran banjir kilat dalam tempoh 12 jam dikeluarkan bagi 6 negeri

    PUSAT Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hari ini mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 12 jam di enam negeri di seluruh negara.

    Di Perak, kawasan berisiko terjejas ialah daerah Kerian (Mukim Gunong Semanggol, Mukim Beriah serta kawasan sekitarnya) manakala Pahang melibatkan daerah Kuantan (Mukim Sungai Karang serta kawasan sekitarnya).

    Di Terengganu, daerah yang berisiko banjir kilat ialah Kuala Terengganu (Mukim Cenering, Mukim Batu Buruk, Mukim Kuala Terengganu serta kawasan sekitarnya) dan daerah Marang (Mukim Bukit Payung serta kawasan sekitarnya), manakala di Kelantan melibatkan daerah Kota Bharu (Mukim Padang Raja, Mukim Tiong, Mukim Tok Ku serta kawasan sekitarnya).

    Di Sarawak, membabitkan tiga daerah iaitu Kuching, Samarahan dan Miri, manakala di Sabah melibatkan daerah Tuaran di Pekan Tenghilan, Kampung Berungis serta kawasan sekitarnya.

    Menurut kenyataan JPS, notis yang dikeluarkan pada pukul 5 petang tadi itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS, bahawa terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan. – BERNAMA

  • Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    BANJIR kilat mungkin melanda Johor, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Sabah dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

    Berdasarkan notis PRABN yang dikeluarkan 7 pagi ini,  kawasan terlibat di Johor ialah Kota Tinggi sekitar Sedili Kechil dan Ulu sungai Sedili Besar, Muar (Bandar, Bandar Maharani dan Jalan Bakri) serta Mersing (Bandar Padang Endau).

    Di Pahang, tiga daerah terlibat iaitu Kuantan sekitar Bandar Kuantan, Hulu Kuantan, Kuala Kuantan, Pulau Manis dan Sungai Karang, Maran (Pekan) serta Pekan (Bebar, Pekan dan Langgar).

    Sementara itu, di Perak dua daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas ialah Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat) dan Hilir Perak (Durian Sebatang) manakala di Selangor membabitkan Klang.

    Bagi Terengganu pula, kawasan diramal terjejas adalah Marang (Bukit Payung) dan Kuala Terengganu (Batu Buruk, Chendering dan Kuala Terengganu) manakala di Sabah ialah Tuaran (Kampung Berungis dan Pekan Tenghilan). 

    Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

    “Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu. – BERNAMA

  • Banjir kilat landa Jeddah, 2 maut

    Banjir kilat landa Jeddah, 2 maut

    SEKURANG-KURANGNYA dua orang maut akibat hujan lebat hampir enam jam yang mencetuskan banjir kilat di Jeddah, Arab Saudi semalam.

    Hujan bermula pukul 8 pagi itu menjejaskan kehidupan seharian penduduk dengan kebanyakan orang ramai terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dimasuki air sebelum diselamatkan.

    Lapor Saudi Gazette, ia kejadian banjir terburuk dalam tempoh 13 tahun.

    Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM), Jeddah merekodkan jumlah hujan sebanyak 179 mm dalam tempoh enam jam melebihi paras dicatatkan pada 2009.

    Trafik penerbangan dan kenderaan terganggu selama beberapa jam kerana laluan utama dan jalan raya ditenggelami air.

    Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA) terpaksa ditunda manakala Lebuhraya Haramain dan beberapa jalan utama lain ditutup selama beberapa jam.

    Beberapa jalan di kawasan perumahan Jeddah dinaiki air akibat hujan lebat, menyebabkan banyak kenderaan rosak.

    Kebanyakan orang ramai yang terperangkap di rumah kemudiannya berkongsikan cuaca buruk dan kenderaan dihanyutkan banjir dalam akaun media sosial mereka.

    Jurucakap Pertahanan Awam, Kolonel Muhammad Al-Qarni berkata, dua kematian dilaporkan akibat hujan lebat di Jeddah.

    Menurutnya, perenang dari Pertahanan Awam Jeddah menyelamatkan ramai pemandu yang terperangkap di dalam kenderaan mereka yang tenggelam dalam terowong Jalan Raja Abdullah yang ditenggelami air.

  • ‘Tahun ini sudah lebih empat kali banjir kilat’

    ‘Tahun ini sudah lebih empat kali banjir kilat’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH empat kali insiden banjir kilat terpaksa dihadapi 46 keluarga dalam tahun ini setiap kali banjir kilat berlaku di Kampung Masjid, Masai, Pasir Gudang.

    Seorang penduduk, Hamidah Bujang, 56, berkata, semalam merupakan kejadian terbaru apabila hujan lebat sejak tengah malam mengakibatkan air naik dengan cepat pada jam 2.30 pagi.

    Hamidah Bujang

    Dia tidak sempat menyelamatkan barang-barng dalam rumah kecuali dokumen penting yang sudah siap disimpan dalam plastik.

    “Semua dokumen penting saya sudah siap simpan kerana setiap kali hujan lebat akan berlaku banjir kilat. Setiap kali hujan lebat penduduk kampung ini yang berdekatan sungai tidak lena tidur kerana bimbang banjir berlaku.

    “Semasa banjir semalam saya meminta anak-anak dan adik mengalihkan motosikal dan kereta ke kawasan tinggi di jalan utama namun tidak sempat kerana air Sungai Masai yang berada di belakang rumah naik dengan cepat,” katanyakepada pemberita selepas menerima sumbangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di kampung itu, hari ini.

    Dia berharap, syarikat Ranhill SAJ akan mengurangkan bayaran bil air setiap kali banjir berlaku kerana penduduk akan menggunakan air dalam kuantiti yang banyak untuk membersihkan rumah.

    Badariah Bujang

    Sementara itu, adiknya yang tinggal di rumah sebelah, Badariah Bujang, 54, tidak menyedari rumahnya dimasuki air kerana sedang tidur.

    Badariah menyedari air banjir sudah memasuki rumahnya selepas tilamnya basah sebelum bangun dan mengejutkan anak-anaknya untuk menyelamatkan barang-barang berharga.

    “Saya bingkas bangun menghantar mesej dalam kumpulan WhatsApp kampung itu memberitahu jiran-jiran supaya bangun kerana sudah banjir. Terdapat 46 rumah di Kampung Masjid yang berdekatan Sungai Masai dilanda banjir.

    “Tiada barang-barang yang dapat diselamatkan kerana semasa sedar daripada tidur air sudah naik lebih setengah meter. Mesin basuh, peti ais dan perkakas elektrik lain habis musnah,” katanya.

    Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar, 50, banjir di kampung itu sudah lebih empat kali berlaku dalam tahun ini akibat Sungai Masai melimpah dan tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah kecuali dokumen penting.

    Azhar Bujang

    “Semua barang rosak termasuk buku teks sekolah dan kerja sekolah anak-anak jiran yang dibuat menerusi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) habis dihanyut air banjir,” katanya.

    Sementara itu, Datin Zulaikha Makar yang mewakili Pusat Khidmat DUN Permas berkata, sumbangan diberikan membabitkan 600 pek sarapan pagi dan 600 pek makan tengahari selain tilam, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka.

    Zulaikha (dua kiri) menyerahkan sumbangan makanan kepada Badariah di pekarangan rumahnya di Kampung Masjid, Masai, Pasir Gudang, hari ini.

    “Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa banjir. Kita memberikan sumbangan kepada tiga kampung yang terlibat banjir iaitu Kampung Masjid, Kampung Sepakat dan Desa Bakti,” katanya.