Tag: banjir Johor

  • Banjir Johor: Sektor pertanian rugi RM35.5 juta, 4,682 usahawan terjejas

    Banjir Johor: Sektor pertanian rugi RM35.5 juta, 4,682 usahawan terjejas

    BENCANA banjir besar yang melanda Johor sejak 28 Februari lalu hingga kini mengakibatkan sektor pertanian di negeri itu merekodkan kerugian RM35.5 jut.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, bencana alam itu turut menjejaskan sebanyak 4,862 usahawan tani.

    Beliau bagaimanapun berkata, angka sebenar jumlah kerugian dan usahawan tani terjejas dijangka lebih tinggi susulan banjir masih melanda Batu Pahat dan Muar.

    Katanya, usahawan tani terbabit meliputi pelbagai subsektor tanaman, penternakan, perikanan dan industri asas tani bimbingan jabatan bawah portfolio sektor pertanian

    “Setakat ini, sektor pertanian Johor mencatatkan kerugian berjumlah RM35.5 juta dengan 4,862 usahawan tani terjejas. Namun, jumlah sebenar kerugian sektor pertanian dan usahawan tani terjejas hanya akan diketahui selepas banjir di Batu Pahat dan Muar pulih.

    “Bagi mempercepatkan pelaksanaan bantuan kepada pengusaha yang terjejas banjir, langkah alternatif telah diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan. Ia termasuk membuat bancian awal ke kawasan terjejas banjir untuk mendapatkan anggaran awal kerugian dan juga setelah banjir surut.

    “Secara keseluruhan, kerajaan amat mengambil berat nasib mangsa banjir, terutama dalam kalangan pengusaha sektor pertanian.

    “Selain mengambil kira kebajikan pengusaha, bantuan diberikan juga penting bagi pelaksanaan semula aktiviti pengeluaran agromakanan untuk menjamin sekuriti makanan negeri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) mengenai usaha kerajaan membantu usahawan dalam sektor pertanian dan penternakan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Zahari berkata, Kerajaan Johor sudah berbincang dengan agensi berkaitan dan memberi jaminan peruntukan menerusi pelbagai agensi bawah kerajaan negeri akan disalurkan kepada mangsa banjir dalam masa sebulan selepas membuat penilaian serta pengesahan.

    Menyentuh dakwaan birokrasi dihadapi usahawan tani pula, beliau berkata, pihaknya maklum akan perkara itu dan sudah mengingatkan jabatan supaya tiada birokrasi serta menjalankan penilaian dengan betul.

    “Dua hari lalu, saya mendapat makluman bahawa ada pihak yang mohon lain, dapat barang lain. Yang ini pun saya telah membuat teguran pada jabatan berkaitan. Saya akan mendapatkan maklumat kenapa ia berlaku.

    “Contohnya, mereka memerlukan pagar, namun dapat mesin rumput. Ini tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak pasti di mana silapnya tetapi saya cuba membantu mereka yang terkesan banjir,” katanya.

  • Banjir di Johor ragut nyawa 2 warga emas berjiran

    Banjir di Johor ragut nyawa 2 warga emas berjiran

    BANJIR di Johor terus menelan korban. Terbaharu dua warga emas ditemukan maut di dua rumah berasingan di Jalan Kwongsai, Chaah di Segamat pagi tadi.

    Kedua-dua mangsa, Lee Amo Yee, 78, dan Tan Sue Ke, 74, ditemukan terperangkap di kediaman masing-masing oleh waris mereka kira-kira pukul 11 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, sejurus selepas menerima maklumat daripada anak mangsa, pasukan penyelamat bertindak melakukan pemeriksaan di kawasan rumah berkenaan.

    “Akibat bencana banjir ini, setakat ini kita telah kehilangan dua nyawa iaitu satu lelaki dan perempuan yang terperangkap di rumah masing-masing.

    “Awalnya kami menerima makluman daripada ahli keluarga dan apabila kawasan Chaah pulih daripada banjir sepenuhnya, kita periksa kedua-dua rumah mangsa dan mendapati mereka ditemui terperangkap dalam bencana banjir itu,” katanya hari ini, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut Ahmad Zamry berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila air naik mendadak setinggi dua meter dan mencecah paras bumbung di kediaman mangsa yang terletak berhampiran Balai Polis Chaah.

    Katanya, kedua-dua mangsa yang tinggal berseorangan merupakan jiran dan jarak rumah mereka hanya kira-kira 400 meter.

    “Kawasan rumah ini berada di kawasan pekan Chaah, Segamat iaitu di belakang Balai Polis Chaah dan dipercayai kedua-dua mangsa gagal keluar menyelamatkan diri apabila air naik dengan pantas.

    “Kedua-dua mangsa ini dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya.

  • Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    SEBANYAK 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Segamat dan Kulai terkandas akibat banjir serta tidak dapat menduduki peperiksaan itu hari ini.

    Menurut Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh menerusi kenyataan, kesemua pelajar yang terkandas itu membabitkan tujuh pusat peperiksaan di Segamat dan satu di Kulai.

    “Seramai 89 calon SPM di Segamat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Labis Segamat.

    “Di Kulai pula membabitkan SMK Taman Putri. Hari ini melibatkan peperiksaan subjek Sains dan Fizik manakala sebelah petang SRT (Sains Rumah Tangga),” katanya hari ini lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Norliza berkata, terdapat calon SPM di beberapa buah pusat peperiksaan di Pasir Gudang, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat dan terpaksa menumpang di pusat peperiksaan yang lain.

    “Seramai 127 calon SPM di daerah Kota Tinggi menumpang di pusat peperiksaan yang lain melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar,” katanya.

    Beliau menambah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau keadaan terkini terutama membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan di negeri ini.