Tag: Banjir di Sabah

  • Banjir: 125 mangsa dipindahkan di dua daerah di Sabah

    Banjir: 125 mangsa dipindahkan di dua daerah di Sabah

    MANGSA banjir di Sabah terus meningkat kepada 125 orang  daripada 38 keluarga pagi ini berbanding 54 orang daripada 17 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, semua mangsa banjir ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Kota Belud dan Sipitang.

    Katanya, 37 mangsa daripada 12 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol di Sipitang, manakala 88 mangsa lagi ditempatkan di tiga lagi PPS di Kota Belud.

    “Tiga PPS di daerah Kota Belud iaitu Dewan Muhibah Kampung Tombol menempatkan 22 mangsa daripada sembilan keluarga, Dewan SRJK Chung Hwa, 30 mangsa daripada lapan keluarga dan Dewan Sk Tamau, 36 mangsa daripada sembilan keluarga,” kata kenyataan itu.

    Sebanyak 40 kawasan di Kota Belud dan 13 kawasan di Sipitang terjejas selepas hujan berterusan menyebabkan paras air sungai naik dan melimpah ke kawasan kampung yang berdekatan.

    Keadaan cuaca di daerah berkenaan tidak hujan namun semua agensi penyelamat sentiasa bersiap siaga jika berlaku sebarang pemindahan ke PPS. – Bernama

  • 68 mangsa banjir dipindahkan di Penampang, Putatan

    68 mangsa banjir dipindahkan di Penampang, Putatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 68 mangsa banjir daripada 27 keluarga dipindahkan selepas kediaman mereka di Penampang dan Putatan banjir pada jam 8 pagi ini.

    Menurut Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, bilangan penduduk terjejas banjir ketika ini di Penampang seramai 39 orang yang terdiri daripada 21 keluarga.

    “Selain itu, jumlah berkenaan diikuti seramai 29 mangsa membabitkan sembilan keluarga di daerah Putatan.

    “Bagi mangsa di daerah Penampang, mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Rumah Kelab Kompleks Sukan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Tambahnya, bagi daerah Putatan pula, kesemua 26 mangsa banjir daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sri Serigai, manakala tiga penduduk sekeluarga lagi mangsa berada di PPS Dewan Sri Keramat.

    Sementara itu, Jurucakap APM Sabah menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati dengan situasi banjir serta tanah runtuh di kawasan masing-masing.

    Katanya, ini berikutan keadaan cuaca yang masih sukar diramal sehingga menyebabkan berlakunya bencana alam.

  • 60 kampung di Sabah, 6 kawasan di Johor banjir

    60 kampung di Sabah, 6 kawasan di Johor banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 45 kampung di Beaufort dan 15 kampung di Membakut, Sabah dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Padas dan Sungai Membakut akibat hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai sejak kelmarin.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort memberitahu, bacaan kedalaman air di kedua-dua sungai melebihi paras bahaya iaitu 9.28 meter di Sungai Padas dan 7.41 meter di Sungai Membakut, setakat pukul 10 pagi.

    “Kampung terjejas banjir di Beaufort setakat ini ialah Binunuk, Balibata, Simpang Empat, Bakalau, Sungkadan, Melalugus, Batandok Lubak, Melati, Lumatai, Mempagar, Kuarters SESB Beaufort, Kuarters Kereta Api, Kampung Lawa, Lago, Suasa, Kangsa, Berumbai, Bangkalalak, Batu 60, Batu 58, Jempangah, Kitalabak Lumatai, Luagan Sanginan dan Laboi.

    “Kampung Bingkul, Mapait, Limbawang, Lajau, Lubak, Poribg Lupak, Lupak, Tuhu, Selinsing, Beringin, Gadong, Kebajang Ulu, Kukup, Jabang, Mentulud, Batu 64, Lupak Seberang, Kampung Cina, Kurian Padas Damit, Kebulu dan Menanjung,” katanya, hari ini.

    Katanya, antara kawasan turut dilanda banjir di daerah kecil Membakut ialah Kampung Bambangan, Sinoko, Sindok, Baitam Ulu, Baitam Laut, Baitam Baru, Jambatan Baru, Lumantak, Papas, Lampijas, Kayai, Dungau, Brunei dan pekan lama Membakut.

    Sementara itu, banjir turut melanda Batu 10, Kampung Laut, Skudai, Johor Bahru dan enam kawasan melibatkan Kampung Sepakat, Kampung Masjid, Sungai Masai, Desa Bakti dan Jalan Masai di Pasir Gudang.

    Anggota memantau keadaan banjir kilat di Kampung Sentosa Barat, Pasir Gudang, pagi ini namun tiada mangsa banjir dipindahkan kerana air semakin surut pada jam 8 pagi ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, hujan lebat sejak tengah malam tadi mengakibatkan banjir dan mengakibatkan penduduk terpaksa mengalami kerugian apabila pelbagai harta benda rosak.

    “Namun tiada sebarang kejadian kemalangan jiwa dilaporkan sehingga kini dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, tiada pusat pemindahan yang dibuka dan banjir kilat yang naik sehingga kira-kira satu meter juga sudah surut.

    Ketika ini katanya, mangsa sedang melakukan kerja pembersihan semasa beliau meninjau beberapa kawasan perkampungan terjejas pagi pagi ini.