Tag: Bangladesh

  • Tukang masak warga Bangladesh didakwa bunuh pesakit mental

    Tukang masak warga Bangladesh didakwa bunuh pesakit mental

    SEORANG tukang masak warga Bangladesh dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghuni lelaki di sebuah pusat jagaan sakit mental di Bukit Beruntung di sini, Disember lepas.

    Tertuduh, Mohammad Abdul Alim, 33, didakwa membunuh Leong Kam Ming, 52, di sebuah pusat jagaan sakit mental, Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung di sini, kira-kira 6.30 petang pada 24 Dis 2022.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Mohammad mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki dan berada di dalam negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di lokasi sama, pada 2.23 pagi, 27 Dis 2022.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Feb ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendawa Raya Asmaa’ Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

  • Lelaki Bangladesh dituduh rogol budak perempuan 12 tahun

    Lelaki Bangladesh dituduh rogol budak perempuan 12 tahun

    SEORANG pekerja binaan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun lapan bulan, minggu lalu.

    Memetik laporan Malaysiakini, tertuduh, Md Kalam Molla, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun lapan bulan di dalam sebuah rumah di Kampung Terusan Limbat, Kubang Kerian, kira-kira pukul 2 pagi pada 20 Mac lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kerana berkemungkinan tertuduh yang merupakan warga asing melarikan diri dari undang-undang negara ini.

    Bagaimanapun Md Kalam dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan bagi kesalahan tersebut.

    Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada jaminan dikenakan dan menetapkan 10 Mei depan untuk serahan laporan perubatan mangsa dan sebutan semula kes.

  • Lebih 2,000 pasar haram Rohingya dirobohkan

    Lebih 2,000 pasar haram Rohingya dirobohkan

    LEBIH 2,000 pasar haram yang dikendalikan oleh pelarian etnik Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh ditutup oleh pihak berkuasa di negara berkenaan.

    Memetik laporan Arab News, tindakan tersebut dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa atas pelbagai sebab termasuk menjual produk haram.

    Selain itu, penjenayah dikatakan turut menggunakan premis-premis perniagaan di kawasan pasar haram Rohingya terbabit untuk mengedar dadah dan barangan terlarang yang lain.

    Menurut Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Shamasud Douza, pelarian Rohingya tidak dibenarkan menjalankan sebarang kegiatan perniagaan di kawasan kem pelarian.

    “Kedai haram dirobohkan dari masa ke masa sejak 2018 kerana kita juga memerlukan lebih banyak ruang kosong bagi menampung pelarian baharu.

    “Kini kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di kawasan tanah kosong bagi membina penempatan baharu dan pusat rawatan pelarian Rohingya,” jelasnya.

    Ekoran tindakan tegas kerajaan Bangladesh itu, pelarian Rohingya mengeluh mereka kehilangan sumber pendapatan dan sumber keperluan harian di kem pelarian tersebut.

    Pada awal Disember lalu, kira-kira 1,000 kedai milik pelarian Rohingya telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa Bangladesh.

    Walau bagaimanapun, banyak kedai dibina dan beroperasi kembali, sekali gus mendorong pihak berkuasa merobohkannya lagi.

    Bangladesh menerima kemasukan lebih 1.1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar akibat tindakan zalim pihak tentera sejak 2017 dan jumlah itu dijangka semakin meningkat berikutan tidak banyak negara lain yang mahu menerima mereka.

    Pada masa ini, terdapat sekitar 34 kem pelarian Rohingya di seluruh Bangladesh, dan kerajaan cuba memindahkan mereka ke penempatan baharu di pulau buatan manusia, Bhashan Char, di Teluk Benggala.

    Namun, penghantaran ke kem pelarian di Teluk Benggala dibantah kerana kawasan itu terdedah kepada bahaya ancaman cuaca termasuk taufan dan banjir.

    Bangladesh setakat ini mengaturkan penempatan semula kira-kira 19,000 pelarian Rohingya di Bhashan Char.

  • Feri terbakar: 38 mangsa maut, 100 lagi cedera

    Feri terbakar: 38 mangsa maut, 100 lagi cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 38 terbunuh manakala 100 lagi cedera dalam kejadian feri terbakar pada Jumaat di daerah Jhalokati, Bangladesh.

    Timbalan pesuruhjaya daerah Jhalokati, Md Nazmul Alam berkata, feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan dalam perjalanan dari Dhaka ke daerah Barguna.

    Beliau berkata, kebakaran bermula di bahagian enjin kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

    “Setakat ini 38 mayat telah ditemukan,” katanya lapor Xinhua.

    Beliau berkata ketika kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur dan operasi mencari masih dijalankan untuk mencari mangsa yang dikhuatiri hilang.

    “Kami dimaklumkan feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan feri itu sudah ditarik ke tebing,” katanya.

    Mangsa yang terselamat memberitahu media tempatan, ramai penumpang terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.

    Tiada kematian melibatkan warga asing dan feri yang terbakar itu dilaporkan membawa lebih muatan. – BERNAMA

  • ‘Tauke’ kilang pakaian warga Bangladesh, 45 pekerja dicekup JIM

    ‘Tauke’ kilang pakaian warga Bangladesh, 45 pekerja dicekup JIM

    SEORANG pengusaha kilang pakaian warganegara Bangladesh bersama 45 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Ampang, Selangor, kelmarin.

    Lelaki berusia 46 tahun itu dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan selain mampu menggajikan pekerjanya sebanyak RM1,600 seorang.

    Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu merupakan rentetan daripada kejayaan OP Hack yang dijalankan JIM bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu.

    Beliau berkata, beberapa siri operasi telah dijalankan bagi mengesan saki-baki individu yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack berkenaan.

    Menurutnya, dalam operasi itu, sepasukan pegawai imigresen telah menyerbu dua buah kilang pakaian dan dua premis lain iaitu sebuah bangunan pejabat dan pusat pameran milik lelaki warganegara Bangladesh berkenaan.

    “Suspek menggunakan PLKS yang disyaki diperolehi melalui sindiket ID-Hack sebelum ini untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia.

    “Syarikat suspek aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan siasatan awal, Modus Operandi (MO) suspek adalah menubuhkan syarikat dengan kerjasama warga tempatan dan mengunakan sumber tenaga kerja dari kalangan PATI untuk memaksimakan keuntungan.

    Ujarnya, suspek juga bertindak menyewa beberapa premis komersial termasuk sebuah bangunan tiga tingkat untuk dijadikan kilang bagi aktiviti memotong, menjahit, mencetak pakaian selain dijadikan sebagai hostel pekerja selain sebuah premis lagi dijadikan sebagai pusat pameran dan jualan syarikat.

    “Suspek juga mampu menggaji seramai 45 orang warga asing dengan anggaran bayaran gaji seorang sebanyak RM1600 sebulan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

    “Syarikat milik suspek dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan.

    “Kegiatan suspek telah menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan khususnya dalam bentuk levi pekerja asing mencecah RM700,000.00 sepanjang tempoh syarikat itu beroperasi,” tegasnya.

    Dalam pada itu, Khairul Dzaimee memberitahu, semasa serbuan dijalankan, pasukan operasi telah menahan seramai 45 orang warganegara asing berasal daripada Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang berada di dalam premis dan disyaki sedang menjalankan aktiviti menjahit pakaian.

    Katanya, kesemua mereka berumur diantara 17 hingga 56 tahun dan pemeriksaan juga mengesan beberapa orang pekerja yang ditahan turut memiliki PLKS tidak teratur yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack sebelum ini.

    “Pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan harian pakaian, dokumen-dokumen syarikat dan beberapa Sijil Pemilikan Kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama syarikat yang sama.

    “Berdasarkan kad ATM yang dirampas, suspek dipercayai telah menyimpan hasil keuntungan yang masih belum dipastikan jumlahnya menerusi beberapa akaun di bank-bank tempatan,” katanya.

    Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, kesemua tahanan kini di tahan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

    Katanya, suspek dan seorang wanita warganegara tempatan berumur 37 tahun yang juga merupakan pengarah syarikat disiasat atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan-kesalahan lain berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

    “Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penggodaman sistem Jabatan sehingga memberi implikasi buruk kepada keselamatan dan ekonomi negara.

    “Justeru itu, Jabatan ini akan mempergiatkan risikan untuk terus memburu saki-baki pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh Sindiket ID-Hack yang berjaya ditumpaskan beberapa bulan yang lalu,” tambahnya.

  • Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    SEORANG pekerja am warga Bangladesh terpaksa berputih mata selepas kerugian RM28,200 akibat ditipu ejen kiriman wang ke luar negara menerusi laman Facebook, pada akhir Jun lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa dia melihat sebuah iklan perkhidmatan kiriman wang ke luar negara menerusi pemilik akaun Facebook bernama ‘Anika Topup’.

    Katanya, pengadu yang tinggal di Ladang Bahau itu berminat dengan tawaran berkenaan kemudian berurusan dengan individu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Lelaki berkenaan mahu menghantar wang kepada keluarganya di Bangladesh, telah melakukan sebanyak lima kali transaksi ke beberapa akaun bank berjumlah RM28,200 bermula 7 hingga 11 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Hoo berkata mangsa menghubungi keluarganya di Bangladesh pada 14 Ogos dan dimaklumkan tidak menerima sebarang wang daripada ejen berkenaan.

    Beliau berkata pengadu terus menghubungi ejen tersebut namun dimaklumkan perlu membuat pembayaran sebanyak RM5,000 bagi urusan insurans dan sekiranya gagal membuat pembayaran tersebut wang milik mangsa tidak dipulangkan kepada keluarganya.

    Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- BERNAMA

  • Varian Lambda dikesan di Bangladesh

    Varian Lambda dikesan di Bangladesh

    BANGLADESH telah mengesan kehadiran varian Lambda yang dijumpai dalam sampel seorang wanita berusia 49 tahun di Dhaka.

    “Varian baharu itu dikenal pasti dari sampel jujukan genom yang diperoleh Majlis Penyelidikan Saintifik dan Industri Bangladesh (BCSIR) dan Universiti Jahangirnagar pada Mac.

    “Kami kemudian menyerahkan laporan itu kepada Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID) Jerman untuk kajian lanjut dan hasil keputusan ujian adalah sama,” kata pegawai saintifik BCSIR, Salim Khan, kepada Agensi Anadolu.

    Varian Lambda dipercayai berasal dari Peru dan menyumbang hampir 81 peratus kes di negara itu.

    Bangladesh pada Isnin merekodkan 174 lagi kematian dan 6,959 kes jangkitan akibat COVID-19, menjadikan jumlah korban terkini mencecah 24,349 dan kes keseluruhan 1,425,861, menurut Direktorat Perkhidmatan Kesihatan Awam (DGHS).- BERNAMA