Tag: banduan

  • Bekas banduan didakwa cuba rogol, rompak warga emas

    Bekas banduan didakwa cuba rogol, rompak warga emas

    SEORANG lelaki yang baharu dua bulan dibebaskan dari penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Taiping, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk cubaan merogol seorang wanita warga emas, minggu lalu.

    Harian Metro melaporkan, S Saaran, 32, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan tersebut dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

    Bagi pertuduhan pertama, Saaran dituduh melakukan cubaan rogol terhadap seorang warga emas berusia 75 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Lorong 14 Taman Assam Maju, di sini, 8.30 pagi, 15 Ogos lalu.

    Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun yang sama.

    Pertuduhan kedua, Saaran turut melakukan rompakan bersenjatakan pisau terhadap harta milik mangsa berupa wang tunai RM10, serta rantai emas serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga emas itu pada masa, tempat, dan tarikh sama.

    Bagi perbuatan itu ia boleh dihukum mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa pada masa, tarikh dan lokasi sama didakwa melakukan perbuatan sebagaimana pertuduhan pertama dan kedua, melakukan rompakan terhadap harta milik seorang individu berusia 55 tahun iaitu menantu lelaki kepada mangsa warga emas terbabit.

    Saaran didakwa melakukan rompakan terhadap harta lelaki itu membabitkan wang tunai RM5,000 serta sebuah kereta jenis Honda yang pada ketika melakukan rompakan itu tertuduh menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 392 KK, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Bagi kes cubaan rogol, Nur Syuhada menawarkan jaminan RM30,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa, manakala bagi kes merompak bersenjata Nur Syuhada menawarkan jaminan RM20,000 dan syarat tambahan sama.

    Bagaimanapun, tertuduh memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan mengambil kira keadaan dirinya yang tidak bekerja kerana baru keluar penjara dua bulan lalu.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin dengan seorang penjamin RM20,000 bagi kes cubaan rogol dan RM10,000 bagi kes rompak serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi dalam kes berkenaan sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes termasuk bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

  • Banduan lolos Penjara Jelebu mungkin sudah keluar NS

    Banduan lolos Penjara Jelebu mungkin sudah keluar NS

    SEORANG lagi banduan yang melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia di sini pada 10 April lepas dipercayai telah berada di luar Negeri Sembilan.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, lelaki dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32, kini dinotiskan sebagai individu dikehendaki polis dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

    “Kesemua enam lelaki berumur antara 28 dan 62 tahun yang lari berjaya kami tahan semula di Jelebu baru-baru ini, tapi yang terakhir ini dipercayai telah terlebih dahulu melarikan diri dari daerah ini.

    “Bagaimanapun kami masih giat kesan di mana lokasi dia berada ketika ini, berkemungkinan telah melarikan diri dari negeri ini, kami juga turut dibantu polis kontinjen lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Sehubungan itu, Maslan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

    Pada 18 April lepas, enam banduan yang ditahan semula itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, di sini atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi pada 10 April itu berlaku di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang kesemua tujuh banduan reman terbabit ditempatkan.

    Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu. – BERNAMA

  • Banduan cuci kereta anggota Jabatan Penjara dibayar gaji

    Banduan cuci kereta anggota Jabatan Penjara dibayar gaji

    JABATAN Penjara hari ini menjelaskan berhubung isu gambar seorang penghuni penjara mencuci kenderaan seorang anggota jabatan itu yang tular di laman sosial, merupakan individu dilatih dan terlibat dalam program pemulihan luar penjara dikenali sebagai Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP).

    Jabatan Penjara dalam kenyataan memberitahu setiap banduan yang terlibat, telah menjalani saringan ujian fizikal dan mental tertentu untuk menjalani BKLP, dengan pemantauan anggota penjara selain turut menerima gaji hasil daripada pekerjaan mereka lakukan.

    “Kebanyakan institusi penjara menawarkan perkhidmatan mencuci kenderaan dan ia turut dibuka kepada orang awam dengan kadar harga bayaran berpatutan dan perkhidmatan berkualiti.

    “Masyarakat setempat yang berhasrat menggunakan perkhidmatan ditawarkan itu, dialu-alukan untuk berhubung dengan penjara berdekatan sebagai tanda sokongan masyarakat setempat terhadap program pemulihan Jabatan Penjara, dalam menyediakan peluang pekerjaan dan kerjaya kepada penghuni apabila dibebaskan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, tular di media sosial satu tangkap layar mendakwa seorang pegawai Jabatan Penjara menyuruh seorang banduan mencuci kereta miliknya.

    Tangkap layar berkenaan mengundang pelbagai kecaman, yang menganggap pegawai berkenaan menggunakan banduan itu untuk kepentingan peribadinya. – BERNAMA