Tag: Balik Pulau

  • Kecewa dengan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, 100 ahli keluar parti, bubar cawangan

    Kecewa dengan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, 100 ahli keluar parti, bubar cawangan

    KIRA-kira 100 ahli UMNO Cawangan Matahari Naik di sini mengumumkan keluar parti serta-merta, sekali gus membubarkan cawangan tersebut pada Ahad.

    Ketua cawangannya, Razali Ismail mendakwa Bahagian UMNO Balik Pulau yang dipimpin Datuk Shah Headan Ayoob Shah sudah lumpuh dan menjangkakan akan ada lagi cawangan yang akan mengikut jejak mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Beliau menyatakan hilang kepercayaan terhadap Shah Headan yang juga Ketua Bahagian UMNO itu kerana tidak mengambil peduli kewujudan cawangan serta kebajikan ahli sejak setahun lalu.

    “Tiada sebarang keistimewaan kepada ahli atau aktiviti dilakukan di cawangan ini.

    “Malah sumbangan 300 telefon pintar yang diberikan pada setiap tahun kepada penduduk di sini adalah hasil sumbangan sesama ahli, UMNO tidak ambil peduli langsung,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

    Mengulas lanjut Razali turut menyatakan kekecewaan dengan Shah Headan yang tidak mengunjunginya atau bertanya khabar tentang dirinya setelah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan dia hilang upaya kekal tangan kanan.

    “Ini adalah keputusan sebulat suara daripada semua ahli dan bukan keputusan peribadi saya,” tambahnya lagi lapor Astro AWANI.

    Dalam pada itu, Razali turut menyatakan beralih sokongan kepada calon bebas Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang juga anak jati Balik Pulau.

    “Beliaulah (Sabaruddin) yang menolong saya dan ahli-ahli yang lain sejak berpuluh tahun,” ujarnya lagi.

    Shah Headan bakal berdepan dengan persaingan enam penjuru dengan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan), Datuk Seri Johnny c’Hng Ewe Gee (Bebas), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (Perikatan Nasional), Sabaruddin (Bebas) dan Ahmad Fazli Mohamad dari PEJUANG pada PRU-15 ini.

  • PRU-15: Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau kerusi panas di Pulau Pinang

    PRU-15: Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau kerusi panas di Pulau Pinang

    TIGA kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu masing-masing Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau dikenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot) sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketiga-tiga kawasan itu dikenal pasti berdasarkan insiden-insiden yang berlaku ketika PRU-14.

    Pada PRU-14 lalu jelas beliau, terdapat insiden yang mana pihak-pihak tertentu cuba menahan kenderaan polis dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) di kawasan berkenaan.

    “Sehubungan itu, kita berharap insiden seumpama itu tidak berlaku pada PRU-15 akan datang.

    ”Buat masa ini berdasarkan risikan kita juga, tidak ada maklumat yang menyatakan tempat-tempat ini akan berlaku situasi seperti itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, menjelang PRU-15 juga polis Pulau Pinang telah membahagikan penugasan pilihan raya kepada dua skop termasuk melibatkan penugasan yang dipohon oleh SPR.

    Selain itu jelas beliau, polis juga bertanggungjawab memastikan keselamatan rakyat terjamin bermula daripada tempoh penamaan calon hingga sehinggalah ketika keputusan PRU-15 diumumkan.

    Mengulas lanjut ujarnya, seramai 4,514 anggota dan pegawai polis iaitu 73.51 peratus daripada keseluruhan jumlah anggota kontinjen PDRM Pulau Pinang turut ditugaskan sepanjang PRU-15.

    ”PDRM Pulau Pinang di peringkat daerah dan kontinjen juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan perincian penugasan dengan pihak SPR.

    “Selain itu, kita juga akan mengadakan pertemuan dengan semua calon atau wakil calon PRU-15 bagi menjelaskan berhubung peraturan serta undang-undang pilihan raya yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

    Dalam masa ujar beliau, polis Pulau Pinang turut memohon bantuan Bukit Aman untuk memaklumkan sekiranya terdapat laman-laman web yang menyebarkan maklumat palsu atau melakukan provokasi.

    ”Kepada penyokong parti saya menyeru supaya berkempen dengan matang serta mengawal emosi dan mengelak daripada melakukan provokasi kepada mana-mana pihak,” katanya.