Tag: bali

  • Pengeboman Bali:Dua rakyat Malaysia dibicarakan di Teluk Guantanamo esok

    Pengeboman Bali:Dua rakyat Malaysia dibicarakan di Teluk Guantanamo esok

    DUA rakyat Malaysia akan dihadapkan di Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Teluk Guantanamo, Cuba, pada esok.

    Memetik BenarNews, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin dituduh berhubung insiden pengeboman mati di Bali, Indonesia, 19 tahun lalu.

    Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 bersama seorang rakyat Indonesia, Encep Nurjaman yang turut dikenali sebagai Hambali.

    Menurut Pejabat Suruhanjaya Tentera AS, tiga suspek sepatutnya dihadapkan ke mahkamah itu Februari lalu, namun perbicaraan terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.

    Kertas pertuduhan yang dimuat naik pejabat berkenaan menunjukkan Nazir dan Farik berdepan sembilan tuduhan, manakala Hambali lapan pertuduhan berkaitan dengan serangan pengganas Bali pada 2002 serta di Jakarta (pada 2003).

    Pihak berkuasa dilaporkan berkata, pertuduhan itu tidak membawa kepada hukuman mati.

    Suspek didakwa terbabit dalam serangan bom di Bali pada November 2002 yang mengakibatkan 202 orang maut dan serangan di Hotel JW Marriott, Jakarta pada Ogos 2003 yang membunuh 12 orang.

    Pada 2003, ketiga-tiga suspek ditahan di Thailand dan dihantar ke rangkaian penjara rahsia Agensi Risikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Guantanamo, pada September 2006.

    Sementara itu, memetik The Vibes rakyat Malaysia itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan rancangan al-Qaeda untuk menghancurkan pesawat yang dirampas di Menara Bank AS setinggi 73 tingkat yang turut dikenali sebagai Menara Perpustakaan di Los Angeles.

    Hambali digambarkan sebagai ‘dalang untuk Jemaah Islamiyah’ kumpulan militan Asia Tenggara yang berkaitan dengan al-Qaeda.

    Dia antara yang bertanggungjawab merancang serangan di AS pada 11 September 2001.

  • Sekolah kembali dibuka di luar Pulau Jawa dan Bali di Indonesia

    Sekolah kembali dibuka di luar Pulau Jawa dan Bali di Indonesia

    PEMERINTAH Indonesia kembali membenarkan kegiatan sosio-ekonomi di luar Pulau Jawa dan Bali yang berstatus Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) level 3.

    Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), level 3 menunjukkan bagi setiap 100 ribu penduduk kawasan, zon atau wilayah tertentu pada setiap minggu, jumlah jangkitan COVID-19 adalah antara 50 hingga 150 orang selain angka kematian adalah dua hingga lima kes.

    Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto dalam sidang media menerusi webinar berkata sebanyak 302 kabupaten dan kota di luar Pulau Jawa dan Bali kini berstatus PPKM Level 3.

    “Menerusi PPKM Level 3 di luar Jawa-Bali, pemerintah membenarkan kembali sekolah dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dengan kuota maksima (kehadiran pelajar) di kelas hanya 50 peratus.

    “Selain itu, rumah-rumah ibadat boleh dibuka dengan maksima 20 orang, pusat-pusat membeli belah dibenarkan dibuka dengan jumlah pengunjung hanya maksima 50 peratus dan beroperasi hingga pukul 8 malam,” katanya.

    Bagaimanapun, PPKM level 4 dilanjutkan lagi di Pulau Jawa dan Bali bermula hari ini sehingga 16 Ogos ini.

    Mengikut WHO, level 4 menunjukkan angka kes positif COVID-19 setiap minggu bagi setiap 100 ribu penduduk lebih daripada 150 kes dan lebih daripada 5 kes kematian.

    Mengikut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), setakat semalam, jumlah kes positif keseluruhan di Indonesia kini melebihi 3.6 juta kes, dengan jumlah kematian sebanyak 108,571 orang, manakala lebih 440,000 pesakit aktif (sedang dirawat).- BERNAMA