Tag: bakar

  • Polis tahan wanita bakar al-Quran

    Polis tahan wanita bakar al-Quran

    POLIS menahan seorang wanita yang disyaki membakar helaian dua naskhah al-Quran di laluan tangga tempat letak kereta sebuah premis di Jalan Ampang, di sini awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di lokasi kejadian pada 2 pagi selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 1.51 pagi.

    “Wanita itu melakukan perbuatan tersebut lebih kurang pukul 1.15 pagi. Motif suspek bertindak sedemikian masih belum jelas.

    “Bagaimanapun, siasatan awal mendapati suspek menghadapi tekanan perasaan dan kesan daripada masalah keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Beliau berkata pemeriksaan air kencing mendapati wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian saringan dadah negatif serta tidak mempunyai rekod masalah mental.

    Noor Dellhan berkata suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

    “Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – BERNAMA

  • Polis tahan empat terlibat kes bunuh, bakar

    Polis tahan empat terlibat kes bunuh, bakar

    EMPAT ditahan polis bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang dipercayai ditetak dan dibakar di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala, Alor Setar, semalam.

    Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, sehingga kini, empat tangkapan telah dilakukan pihak polis bagi membantu siasatan.

    “Bedah siasat terhadap mangsa pula dijangka dilakukan pada jam 10 pagi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

    Semalam, media melaporkan mangsa berusia lingkungan 50-an dipercayai dibunuh antara pukul 6.30 hingga 7 pagi.

    Siasatan awal polis mendapati terdapat kesan tetakan pada bahagian tangan dan muka mangsa sebelum dibakar di sebuah bilik di tingkat satu bangunan berkenaan.

  • Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar pondok bit polis berhampiran Pasar Jelawat, Bachok, pada 11 Sept lepas.

    Tertuduh Mohd Zamri Mohd Zakariyah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, Mohd Zamri yang masih bujang didakwa melakukan khianat dengan api dengan cara membakar pondok bit polis di Jelawat, Bachok pada jam 2.20 pagi, 11 Sept lepas.

    Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Okt depan untuk sebutan semula kes.- BERNAMA