Tag: baik pulih

  • Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki

    Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki

    RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan di Hospital Putrajaya (HPj), semalam.

    Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu, dan pembedahan selesai dengan jayanya tanpa sebarang masalah pada pukul 6.40 petang.

    “Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh rakyat jelata terutamanya di negeri Perlis serta semua kaum kerabat dan sahabat handai yang sama-sama mendoakan kehadapan Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesembuhan segera ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu memaklumkan Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan warga kerja HPj termasuk pakar perubatan dan petugas kesihatan lain serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan urusan rawatan dan pembedahan Raja Perlis itu dapat berjalan dengan sempurna.

    “Pembedahan Tuanku Raja Perlis telah dijalankan bersama empat orang Pakar Perunding Ortopedik dan tiga orang Pakar Perunding Anestesia. Turut berada di hospital pada semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Pengarah (Endokrin) HPj Dr Mohammad Khairol Anwar Yusop,” menurut kenyataan itu.

    Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Pemangku Raja dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berada di HPj ketika pembedahan itu dilaksanakan.- BERNAMA

  • RM500,000 baik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi – Hamzah

    RM500,000 baik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini  mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja membaik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi dekat Kudat bagi meningkatkan tahap keselamatan dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk.

    Beliau berkata penduduk di pulau itu juga boleh membuat laporan kelahiran dan kematian di Balai Polis Karakit sebelum diambil tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setiap bulan.

    “Sebuah bot Polis Marin akan ditempatkan di Pulau Banggi bagi tujuan rondaan keselamatan,” katanya dalam kenyataan pada lawatannya selama sehari ke Pulau Banggi di sini hari ini.

    Beliau berkata menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dijalankan di pulau itu hari ini, sebanyak 30 dokumen pengenalan telah diserahkan kepada penduduk merangkumi sijil kelahiran, Mykad dan Mykid.

    Pada 4 Ogos lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengadakan lawatan ke pulai itu berkata Balai Polis Karakit wajar dinaik taraf bagi memberikan keselesaan kepada anggota bertugas selain meningkatkan keselamatan di pulau berkenaan serta perairan sekitar.

    Acryl Sani berkata ketika ini 38 anggota yang diketuai seorang pegawai berpangkat ASP bertugas di Balai Polis Karakit yang sudah usang dan sempit untuk operasi harian.

    Kudat ialah sebuah daerah terletak di utara Sabah kira-kira 180 km arah utara dari Kota Kinabalu dan Pulau Banggi terletak di bahagian utara daerah itu. – BERNAMA

  • SAM terkejut kejadian tanah runtuh, gesa baik pulih segera

    SAM terkejut kejadian tanah runtuh, gesa baik pulih segera

    SAHABAT Alam Malaysia (SAM) terkejut dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Pusat Falak Sheikh Tahir, Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.

    Presidennya, R. Meenakshi berkata, pihaknya difahamkan kejadian itu berpunca daripada kegagalan ‘stone pitching’ bagi protection slope (perlindungan cerun) akibat hujan lebat sehingga menyebabkan batu-batu besar menggelongsor. 

    Sehubungan itu, pihaknya menggesa kejadian tersebut diberikan perhatian serius oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta pihak yang berkaitan yang mana kerosakan yang berlaku perlu dibaik pulih segera untuk menjamin keselamatan dan kestabilan cerun.

    Jelasnya, tindakan mitigasi juga perlu dilakukan supaya masalah itu tidak lagi berulang di masa akan datang dan sekiranya melibatkan penduduk yang berdekatan, maka mereka perlu dipindahkan segera.
    “Walaupun terdapat maklumat mengenai keselamatan bangunan kerana tiada kerosakan pada struktur bangunan, kami berpendapat perkara ini perlu diteliti dan dikaji secara mendalam.

    “Ini kerana apabila melibatkan runtuhan tanah bukit, kita perlu berhati-hati kerana kesan sampingan daripada runtuhan berkemungkinan besar akan kembali berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, sebahagian tanah di bangunan itu runtuh ekoran berlakunya gelongsoran batu ketika hujan lebat.

    Sementara itu, Meenakshi turut menggesa supaya setiap cerun di negeri ini harus sentiasa diperiksa bagi memastikan ia kukuh.

    Katanya, usaha itu supaya perkara-perkara yang membabitkan hakisan atau kejadian tanah runtuh tidak berlaku dengan mudah, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang mana negara akan berhadapan dengan ribut serta hujan lebat yang lebih kerap. 

    Malah tegasnya, SAM mengulangi pendirian tidak menyokong  sebarang  pembangunan yang melibatkan kawasan cerun atau lereng bukit kerana bimbang perkara-perkara yang tidak dingini berlaku serta memusnahkan ekosistem bukit.