Tag: bahas

  • Kisah anak potong payu dara ibu akibat dadah, curi tumpuan Parlimen

    Kisah anak potong payu dara ibu akibat dadah, curi tumpuan Parlimen

    KISAH benar seorang ibu tunggal dicederakan anak kandung akibat pengaruh dadah, mencuri perhatian sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Menceritakan pengalamannya, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi), berkata beliau pernah didatangi seorang ibu tunggal yang hilang sebelah payudara akibat perbuatan ganas anak lelakinya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

    Lebih memilukan, Mohd Suhaimi, yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), berkata wanita itu tidak berani ke hospital mendapatkan rawatan dan hanya menyapu lukanya dengan serbuk kopi kerana takut perbuatan anaknya terbongkar oleh pihak polis.

    “Anak dia itu minta duit tiga empat kali (ibu) tak bagi, anak pergi ke dapur dan ambil pisau… rentap rantai mak dia, dia potong buah dada kiri mak dia. Itu kasih seorang ibu, tapi anak sanggup potong buah dada mak dia yang menyusukan dia, itu akibat dadah,” katanya.

    Mengambil iktibar daripada kisah itu, Mohd Suhaimi, yang pertama kali menjadi wakil rakyat, berharap kerajaan memandang serius isu penagihan dadah dan melaksanakan langkah yang lebih berkesan bagi menanganinya.

    Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar), yang mencelah perbahasan Mohd Suhaimi, berkata kerajaan perlu menukar strategi dan taktik mencegah penyalahgunaan dadah dengan rawatan terutama kes-kes yang tidak serius.

    “Terutama ‘soft drug’, bukankah lebih baik kita guna inisiatif untuk merawat mereka, tidak meletakkan dalam penjara tetapi biar pakar dan doktor merawat mereka supaya proses pemulihan itu lebih baik seperti dilakukan negara Portugal,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Syahredzan Johan (PH-Bangi), dalam perbahasannya, mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti semula kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai supaya dilakukan persempadanan semula.

    Menjadikan Parlimen Bangi yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar teramai iaitu sebanyak 300,000 pengundi sebagai contoh, Syahredzan berkata saiz Parlimen ‘mega’ itu memberi kesan kepada nilai undi seseorang pengundi.

    Persidangan dewan bersambung Isnin ini.- BERNAMA

  • PN cadang kerajaan gubal polisi lebih inklusif, berdaya saing

    PN cadang kerajaan gubal polisi lebih inklusif, berdaya saing

    PERIKATAN Nasional (PN) hari ini mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu polisi yang lebih inklusif dan berdaya saing dengan penekanan khusus kepada penghasilan sumber manusia berkualiti tinggi.

    Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu dapat memudahkan negara merebut peluang ekonomi yang lebih besar, seterusnya membolehkan Malaysia beralih menjadi negara berpendapatan tinggi.

    Beliau berkata melalui pendekatan itu, negara akan memiliki generasi baharu, sumber manusia yang lebih inovatif, sekali gus bakal melahirkan lebih banyak syarikat berteraskan teknologi tinggi.

    “Penekanan mestilah terarah kepada usaha menambah baik aspek peningkatan daya saing, mencipta lebih banyak peluang kerja berprestasi tinggi serta memperkasakan institusi.

    “Galakan juga perlu diberikan kepada pihak swasta menerusi insentif-insentif menarik bagi memperkasakan dan memacukan lagi agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen Larut itu berpandangan insentif-insentif menarik bagi mengurangkan pekerja asing perlu ditambah baik kerana peluang kerja berprestasi tinggi mesti diisi rakyat tempatan terutamanya golongan belia.

    Menyentuh soal kos sara hidup, Hamzah berkata kerajaan perlu melakukan tindakan segera bagi menangani isu tersebut termasuk memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera dan polis terutama dalam aspek penyelarasan pencen.

    Sementara itu, Hamzah memohon kerajaan berhati-hati dengan perkembangan terkini mengenai ketegangan antara China dan Amerika Syarikat berhubung Laut China Selatan kerana ia boleh memberi impak kepada negara.

    “Kita perlu kekal berkecuali tetapi pada masa yang sama kita perlu bijaksana dan cermat menyusun strategi agar kita tidak terlihat cenderung kepada satu-satu negara hanya kerana kita mempunyai hubungan baik dengan kelompok tertentu,” katanya.

    Hamzah turut memberi jaminan blok pembangkang akan memainkan peranan semak dan imbang dengan menegur dan memberi pandangan secara bertanggungjawab, malah menyokong perkara baik yang dibawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Hamzah turut memuji keputusan kerajaan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye susulan bencana gempa bumi dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang tepat. – BERNAMA

  • Dewan Negara bahas usul projek LCS petang ini

    Dewan Negara bahas usul projek LCS petang ini

    DEWAN Negara akan membahaskan usul berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) pada persidangan petang ini, selepas ia mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini.

    Rais berkata usul yang dibawa Senator Lim Hui Ying itu akan dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3) kerana ia memenuhi tiga syarat iaitu bersifat tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

    “Saya telah meneliti perkara ini dan mendapati perkara ini adalah perkara tertentu, kedua ia adalah bagi kepentingan orang ramai kerana melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara. Perkara ini telahpun disebar luas.

    “Oleh yang demikian, saya membenarkan usul ini untuk dibahaskan. Mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3), usul ini akan dibahaskan petang ini dalam dewan ini. Saya membenarkan pihak pencadang untuk berbahas selama 30 minit dan selepas itu pihak kerajaan akan menjawab selama tidak lebih daripada 30 minit,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

    Terdahulu, Lim mengusulkan supaya persidangan Dewan Negara merundingkan perkara berhubung laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan perolehan LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan. 

    “Syarikat Boustead Novel Shipyard Sdn Bhd menerima kontrak kerajaan Malaysia dengan RM9.1286 bilion untuk membina enam kapal LCS dan lima daripada kapal itu perlu siap dihantar kepada TLDM pada Ogos 2022.

    “Namun sehingga kini, tiada sebuah LCS disiapkan walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada syarikat tersebut malah kos projek itu juga melebihi kos asal sebanyak RM1.4 bilion,” katanya.

    Lim berkata usul tersebut perlu dibahaskan susulan laporan PAC turut mendedahkan pelbagai kepincangan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam keseluruhan projek perolehan LCS.

    Pada 4 Ogos lepas, PAC mendedahkan tiada satupun LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022.

    Pada 11 Ogos lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS.- BERNAMA