Tag: Azmin Ali

  • 300,000 peluang kerja kemahiran tinggi untuk belia pada 2025

    300,000 peluang kerja kemahiran tinggi untuk belia pada 2025

    SEBANYAK 300,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk golongan belia dijangka dapat diwujudkan pada 2025 yang merentasi sektor berimpak tinggi seperti elektronik dan elektrikal (E&E), automotif, kimia serta bahan termaju dan sains hayat serta teknologi perubatan.

    Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pada tahun ini pula dijangka 20,000 peluang pekerjaan sama dapat diadakan melalui program Academy in Factory (AiF).

    Bagi memastikan pelabur asing terus menjadikan Malaysia destinasi pelaburan, kita bertanggungjawab menyediakan bakat berkemahiran tinggi dan berteknologi.

    “Ini selari dengan penekanan supaya tenaga kerja negara ini meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula, selari dengan Revolusi Industri ke-4 (IR4.0) yang dijangka akan meningkatkan produktiviti sebanyak 30 peratus dalam semua sektor menjelang 2030,” katanya ketika Pelancaran Karnival Belia Produktif di sini, hari ini.

    Program AiF yang dilancarkan pada majlis sama adalah inisiatif Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi menangani cabaran kekurangan pekerja dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam kalangan belia tempatan.

    Mohamed Azmin berkata, Malaysia sedang bergerak ke arah negara maju yang produktif, sehubungan itu tenaga kerja tempatan harus bersedia dengan kemahiran tinggi yang bersesuaian terhadap permintaan industri.

    “Peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi yang diwujudkan adalah untuk semua golongan belia termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar, kampung dan anak Orang Asli, yang akan melatih mereka mendapatkan kemahiran tinggi,” katanya.

    Beliau berkata, demi meningkatkan daya saing jangka panjang, negara perlu membangunkan modal insan yang mahir, produktif, kreatif dan inovatif.

    Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata pihaknya komited dalam menerajui program peningkatan produktiviti dan daya saing berasaskan pemacu utama pertumbuhan produktiviti.

    “Apabila kemahiran meningkat, produktiviti turut meningkat dan boleh membawa kepada keuntungan. Justeru, gaji dapat dinaikkan sejajar peningkatan produktiviti dan keuntungan.

    “Dalam jangka panjang, ini akan menyumbang kepada pencapaian sasaran 40 peratus pampasan pekerja, seperti ditetapkan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.

    Abdul Latif berkata, prestasi produktiviti negara kembali kepada pertumbuhan positif pada kadar 1.8 peratus pada 2021 dan produktiviti buruh bagi setiap pekerja meningkat 2.7 peratus dengan nilai ditambah RM23,129.

    Butiran lanjut mengenai program AiF boleh didapati menerusi http://aif.mpc.gov.my – BERNAMA

  • Azmin Ali sedia tanding mana-mana kerusi waima Permatang Pauh pada PRU-15

    Azmin Ali sedia tanding mana-mana kerusi waima Permatang Pauh pada PRU-15

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan beliau bersedia bertanding di mana-mana kerusi yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau telah melakukan sedaya upaya untuk membangunkan kawasan tersebut sebelum ini dan kini terpulang kepada pucuk kepemimpinan Bersatu untuk membuat keputusan.

    “Saya hanya ahli biasa dan jika dipilih saya bersedia bertanding di mana-mana kerusi sekalipun termasuk di Permatang Pauh.

    “Keputusan untuk bertanding di mana-mana kerusi itu bukan saya yang tentukan, jadi saya akan patuh kepada keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, Mohamed Azmin meminta semua pihak tidak membandingkan beliau dengan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Menurutnya, keputusan beliau menyertai Bersatu sebelum ini bukan disebabkan oleh paksaan mana-mana pihak sebaliknya Bersatu menjadi pilihan wadah politiknya selepas meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana jati diri parti itu yang progresif serta inklusif sangat dekat dengan perjuangannya di dalam politik.

    “Bersatu melakukan anjakan paradigma dalam perlembagaan parti yang membuatkan parti ini terbuka kepada semua kaum, jadi saya perlu mempertahankan dan memperkukuhkan parti bersama kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya akan beri tenaga dan sumbangan untuk kukuhkan Bersatu.

    “Selain itu, dasar-dasar yang dibawa Bersatu sehingga membantu negara keluar daripada kemelut kesihatan, ekonomi dan politik juga akan membuatkan parti ini diterima rakyat pada PRU-15,” katanya.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan menyertai PKR semula susulan dakwaan berjumpa dengan dua wakil PKR di Hotel Sheraton di Petaling Jaya sebelum ini, Mohamed Azmin berkata, perkara itu hanya spekulasi semata-mata.

  • MITI guna tiga pendekatan cerdaskan ekonomi negara

    MITI guna tiga pendekatan cerdaskan ekonomi negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menggunakan tiga pendekatan utama dalam mencerdaskan ekonomi negara susulan ancaman pandemik Covid-19.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antaranya termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan dijadikan sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik.

    Jelas beliau, ekonomi negara berada pada landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik susulan vaksinasi dalam kalangan dewasa telah mencecah 80 peratus.

    Perkembangan tersesebut katanya, merupakan landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik.

    “Kedua, kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus, serta mesra-perniagaan, atau business-friendly.

    “Ini termasuklah usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata pendekatan ketiga adalah Malaysia akan terus mensasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju, berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

    Ini katanya, akan turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang, dengan menekankan elemen alam sekitar, sosial serta tadbir urus.

  • Kemensah Heights:Pembinaan cerucuk besi perlu disegerakan – Azmin

    Kemensah Heights:Pembinaan cerucuk besi perlu disegerakan – Azmin

    PEMBINAAN cerucuk besi perlu dilaksanakan segera di kawasan yang terlibat dengan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan itu.

    Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagi tujuan itu pihaknya telah meminta pertimbangan dan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan. 

    “Jika diikutkan kawasan ini merupakan tanah persendirian, jadi kerja-kerja membaik pulih mengikut undang-undang perlu dilakukan oleh pemilik tanah sendiri. Namun kali ini nyawa rakyat lebih menjadi keutamaan jadi saya telah hubungi Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tujuan itu. 

    “Kita perlu menyegerakan cerucuk besi untuk hentikan pergerakan tanah di lokasi kejadian. Seperti yang kita tahu bahawa kawasan seperti Ampang dan Bukit Antarabangsa merupakan kawasan berisiko berlaku runtuhan tanah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi runtuhan itu.

    Dalam kejadian malam tadi, tiga rumah banglo dan 16 rumah bandar (townhouse) membabitkan 32 keluarga terjejas berikutan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

    Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pihaknya dimaklumkan sejumlah 16 rumah bandar yang berdekatan dengan kawasan tanah runtuh terbabit sedang menunggu laporan penuh teknikal untuk disiapkan Jabatan Mineral dan Geosains. 

    “Ia memerlukan tiga hari untuk laporan teknikal itu dikeluarkan bagi memastikan sama ada kawasan rumah mereka itu selamat untuk didiami atau tidak. 

    “Setakat ini dimaklumkan struktur rumah terbabit masih kukuh dan tiada sebarang pergerakan dan penduduk akan dibenarkan pulang sekiranya laporan mengatakan ia selamat untuk kembali diduduki,” katanya. 

    Beliau berkata kebanyakan penduduk terlibat telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai di AU2 dan AU5 Lembah Keramat. – BERNAMA

  • Lonjakan FDI diluluskan beri isyarat keyakinan pelabur asing – Azmin

    Lonjakan FDI diluluskan beri isyarat keyakinan pelabur asing – Azmin

    LONJAKAN bagi pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan Malaysia bagi separuh pertama 2021 yang menokok 223.1 peratus tahun ke tahun memaparkan isyarat keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan negara yang stabil dan kondusif.

    Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata prestasi kukuh dan mengagumkan itu adalah petanda baik kepada laluan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi yang rancak dan mampan.

    “Prestasi luar biasa ini turut memaparkan bahawa strategi Malaysia untuk menempatkan negara sebagai destinasi pelaburan menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, khususnya bagi operasi pembuatan, menunjukkan hasil yang positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, dalam tempoh ini, FDI memacu prestasi kukuh dan bertenaga sektor pembuatan, mencatatkan RM58.2 bilion pelaburan diluluskan.

    Sementara itu, sumber domestik menyumbang lebihan pelaburan diluluskan dalam sektor ini iaitu RM8.7 bilion.

    Daripada segi jumlah pelaburan diluluskan, Malaysia mencatatkan RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, meraih lonjakan besar berjumlah 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

    Beliau berkata pelaburan itu tercapai di tengah-tengah landskap ekonomi global yang amat mencabar, melibatkan 2,111 projek dan dijangka menjana 44,994 peluang pekerjaan di negara ini.

    “Dengan memanfaatkan kemajuan yang positif dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), penambahbaikan keadaan kesihatan awam secara keseluruhan dan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat, Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi, disokong keupayaan dan kebolehan kita dalam menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dan bersedia menggunakan teknologi maju untuk nilai tambah industri,” katanya.

    Seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), beliau berkata, Malaysia melaksanakan lebih banyak projek berintensif modal secara konsisten selain projek-projek yang menyokong agenda pembangunan negara, selaras dengan matlamat Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

    Mohamed Azmin berkata, ini dicerminkan oleh peningkatan jumlah projek berintensif modal yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

    Menurutnya, selain itu wujud keutamaan untuk mencipta peluang pekerjaan pelbagai kemahiran kepada rakyat.

    Dalam hal ini, Mohamed Azmin berkata, sebanyak 367 projek pembuatan diluluskan yang bernilai RM66.9 bilion dalam separuh pertama 2021 akan mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai jawatan, sekali gus memacu laluan ke arah pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.

    “Ini merangkumi 1,367 jawatan dalam pengurusan dan 4,031 bagi profesional teknikal seperti jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik, mekanik, kimia dan bidang-bidang lain, mencerminkan peralihan rantaian nilai yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan.

    “Projek pembuatan diluluskan turut memerlukan 4,144 pekerja mahir,” katanya.

    Sementara itu, pelaburan domestik menerajui sektor perkhidmatan dan utama berjumlah RM45 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam tempoh enam bulan.

    Dari sudut strategik NIA, Mohamed Azmin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan terus melaksanakan pelaburan berkualiti tinggi pada masa akan datang untuk mewujudkan nilai kepada negara dan rakyat.

    Katanya langkah itu bukan sahaja untuk mengekalkan pekerjaan, malah mewujudkan pekerjaan bernilai tambah tinggi.

    “Kami komited ke arah menempatkan Malaysia sebagai rakan unggul bagi pelabur di rantau ini, menambah baik ekonomi kita yang kompleks dan merangsang pertumbuhan jangka panjang di Malaysia menerusi aliran pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu dan kompleks,” kata Mohamed Azmin. – Bernama

  • Tugas melawan COVID-19 satu penghargaan – Ismail Sabri

    Tugas melawan COVID-19 satu penghargaan – Ismail Sabri

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan ia sebagai satu penghargaan apabila diberikan tanggungjawab yang besar dalam situasi yang sukar ini.

    Beliau yang juga bekas Menteri Kanan Pertahanan berkata, perjuangan melawan pandemik COVID-19 terus menjadi keutamaan semua pihak.

    “Terima kasih untuk semua saya ucapkan. Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan.

    “Sama-sama kita doakan Malaysia terus makmur, aman dan sentosa,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dibubarkan setelah Yang di-Pertuan Agong berkenaan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.

    Kabinet
    Gambar: Facebook Hishammuddin Hussein

    Bekas Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menyifatkan tugas yang digalasnya ketika seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19, bukan sesuatu yang mudah kerana ia penuh dengan dugaan dan cabaran.

    Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, cabaran tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus melunaskan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

    “Saya bersyukur dan rasa bertuah kerana diberi peluang untuk memimpin. Tidak mungkin dapat saya sempurnakan tugasan ini tanpa sokongan, dedikasi, semangat profesionalisme dan ketekunan mereka.

    “Pada saya, tiada noktah dalam perjuangan. Saya akan terus berbakti dalam apa jua kapasiti yang saya boleh,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya.

    Gambar: Facebook Azmin Ali

    Sementara itu, bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha menangani masalah ekonomi dan menjamin pekerjaan untuk rakyat sentiasa menjadi keutamaannya.

    Menurut beliau, walaupun ekonomi semakin pulih, ramai orang menderita dalam situasi pandemik global yang kejam ini.

    “Secara jujur, saya meminta maaf atas segala kekurangan. Satu penghargaan dapat berkhidmat untuk Malaysia,” katanya dalam ciapan Twitter.

    Gambar: Facebook Fadillah Yusoff

    Dalam pada itu, bekas Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusoff berkata, beliau telah berusaha sedaya upaya melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin demi kesejahteran infrastruktur rakyat dan negara.

    Beliau berharap agar sesiapa sahaja Menteri Kerja Raya yang akan dilantik selepas ini akan meneruskan segala projek yang telah diluluskan dan dirancang demi kesejahteraan infrastruktur rakyat.

    “Sepertimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan semua projek yang telah diluluskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini,” jelasnya.