Tag: Azmi Abu Kassim

  • 5 termasuk 2 wanita pakar bancuh jus dadah antara 12 ditahan polis

    5 termasuk 2 wanita pakar bancuh jus dadah antara 12 ditahan polis

    LIMA pembancuh jus dadah atau digelar ‘doktor’ ditahan dalam 10 serbuan berasingan membanteras penyalahgunaan dadah oleh Polis Kuala Lumpur dan Bukit Aman, sejak 7 Februari hingga 9 Februari lalu.

    Kejayaan itu hasil serbuan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN Bukit Aman, terhadap tiga sindiket dadah yang disyaki aktif sejak enam bulan lalu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim GAMBAR: Warta Rakyat

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ketiga-tiga sindiket dadah itu didalangi warga tempatan dan bergerak aktif di sekitar Kuala Lumpur.

    Katanya, sindiket itu menyasarkan pengunjung pusat hiburan sebagai pembeli dadah jenis minuman berjus yang dicampurkan dengan serbuk dadah ketamin.

    “Operasi pertama pada 7 Februari membabitkan lima serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, dan menahan enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 39 tahun.

    “Operasi pertama ini membawa kepada rampasan dadah Ketamin seberat 21 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.2 juta dan syabu seberat dua kg bernilai kira-kira RM72,000.

    “Susulan itu, Polis Kuala Lumpur menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita membabitkan seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Thailand yang berperanan sebagai ‘doktor’ atau pembancuh jus dadah, sehari kemudian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Sebahagian daripada botol air pelbagai perisa yang telah dicampur dengan dadah bernilai RM 2.1 juta yang dirampas selepas polis berjaya menangkap lima ‘doktor’ pusat hiburan serta menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mengulas lanjut Azmi berkata, kelima-lima pakar pembancuh ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur susulan siasatan awal operasi pertama.

    “Siasatan mendapati kesemua `doktor’ ini turut berperanan menjual minuman jus yang sudah bercampur dadah dengan harga antara RM280 hingga RM300 sebotol.

    “Atas maklumat yang dikumpulkan, polis kemudian melakukan operasi ketiga di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang dikesan memiliki satu kg dadah ketamin bernilai RM55,000,” katanya.

    Azmi berkata, secara keseluruhan dadah yang dirampas dalam ialah 22 kg dadah ketamin, 2 kg dadah syabu, 248 botol cecair dadah ketamin, 2.6 kg serbuk ketamin, 200 biji pil eramin five dan 49 batang rokok mengandungi mushroom sintetik.

    “Semua rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM1.6 juta selain sitaan 10 kereta dan sebuah motosikal bernilai RM515,000, barang kemas, jam tangan dan wang tunai,” katanya.

    Beliau menambah, Polis Kuala Lumpur percaya semua bekalan dadah itu yang mampu menampung penggunaan seramai 253,000 orang diperoleh daripada pembekal di sekitar Lembah Klang.

  • Inap desa jadi stor simpanan dadah diserbu, dadah bernilai RM10j dirampas

    Inap desa jadi stor simpanan dadah diserbu, dadah bernilai RM10j dirampas

    HELAH sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang dengan menjadikan rumah inap desa sebagai stor simpanan dadah berjaya dibongkar polis selepas pihak berkuasa itu menyerbu sebuah premis di Kajang, 13 Oktober lalu.

    Ini susulan Op Leslie yang dilancarkan polis sehingga membawa kepada penahanan lima suspek sekali gus membawa kepada rampasan 213 kilogram syabu dan 33 kilogram pil erimin 5 bernilai RM10.1 juta.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan bermula pukul 12 tengah hari hingga 3.15 petang itu dijalankan hasil maklumat susulan tangkapan lima individu di sebuah kondominium di Taman Desa, di Kuala Lumpur, 13 Oktober lalu.

    “Lanjutan itu, kami membuat serbuan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.

    “Dalam serbuan kedua di hadapan pos pengawal sebuah taman perumahan di Bandar Damai Perdana, Kajang pula, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

    Azmi berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah unit kediaman inap desa di Bandar Damai Perdana sebelum menemui 206 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis syabu seberat 213 kilogram (kg) dan 112,000 pil erimin 5 seberat 33 kg.

    “Kami turut membuat sitaan harta membabitkan wang tunai sebanyak RM70,000 dan dua kereta jenis Toyota Altis serta sebuah Kia Forte.

    “Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah yang boleh dibekalkan kepada 538,000 penagih itu serta sitaan harta berjumlah RM10.1 juta,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan menjadikan inap desa itu sebagai stor simpanan dadah sejak dua bulan lalu.

    “Kami percaya sindiket ini sentiasa mengubah lokasi simpanan dadah yang dipercayai diperoleh dari utara tanah air bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Setakat ini, kami percaya dadah berkenaan dipasarkan di sekitar Lembah Klang. Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada ia dijual bagi pasaran luar Lembah Klang atau luar negara,” katanya.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah selain ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin.

    “Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 21 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.