CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berazam memastikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man tumbang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu pada masa sama akan ke Bintong untuk berkempen bagi memastikan kerusi DUN Bintong tidak lagi dikuasai Barisan Nasional (BN).
“Matlamat kita adalah ‘jatuhkan’ Menteri Besar dengan dahsyatnya kerana dia melanggar keputusan UMNO Bahagian berhubung isu pemilihan calon dan saya akan ke Bintong selepas ini untuk berkempen dan menceritakan keadaan yang sebenarnya.
“Sebelum ini, UMNO Bahagian Arau dengan terang mencadangkan lima nama sebagai calon Parlimen dan DUN Arau, namun nama yang dihantar itu tidak terpilih,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.
Semalam, Azlan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, menyifatkan Shahidan adalah pengkhianat kerana memilih meninggalkan parti dan berjuang dengan PN.
Malah, Azlan yang juga calon BN DUN Bintong, berkata bahawa Shahidan kini menelan semula kata-kata yang pernah dikeluarkannya pada PRU14 lalu yang meminta kepada pemimpin BN yang tidak tersenarai sebagai calon untuk reda dengan keputusan parti namun pada hakikatnya, Shahidan kini bertindak sebaliknya dan cuba untuk melawan kehendak takdir.
Penyandang kerusi DUN Bintong itu juga mempersoalkan sama ada Shahidan ikhlas berjuang untuk parti selama ini atau sekadar dengan menggunakan platform UMNO dan BN demi kepentingan diri sendiri semata-mata.
Sejak kebelakangan ini, Shahidan secara lantang sering mengkritik kepimpinan Azlan yang dilihat menjadi ‘pak turut’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan mendakwa Menteri Besar itu mengamalkan sikap ‘warlord’ untuk menjatuhkannya, selain mengganggu sistem politik di negeri ini.
Pada PRU15 ini, Shahidan yang akan mempertahankan kerusi itu untuk kali kelima akan berhadapan dengan saingan tiga penjuru menentang calon BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie.