Tag: Azam Baki

  • Siasat tuduhan terhadap Azam, jangan biar SPRM ditohmah

    Siasat tuduhan terhadap Azam, jangan biar SPRM ditohmah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Siasatan dijalankan terhadap setiap tuduhan yang melingkari Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu dipandang serius dan dijalankan dengan cara yang mendapat kepercayaan rakyat secara keseluruhan.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan tersebut perlu diambil memandangkan SPRM merupakan satu entiti yang terlalu penting untuk dibiarkan daripada ditohmah atau difitnah.

    “Untuk memastikan tuduhan-tuduhan itu tidak berlarutan dan menjejaskan kredibiliti SPRM di mata rakyat, perlu ada siasatan lebih mendalam dengan cara yang membolehkan rakyat percaya dengan hasil siasatan tersebut.

    “Sebagai seorang yang amat menghormati institusi SPRM, saya amat berharap agar isu ini diselesaikan dengan cara dipercayai rakyat,” katanya.

    Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis PTPTN Prihatin di Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol dekat Changlun, Kedah, hari ini.

    Beliau menambah, isu tersebut juga tidak seharusnya dipolitikkan bagi memastikan hasil siasatan mahu pun langkah yang diambil, benar-benar yang terbaik buat suruhanjaya tersebut dalam menjalankan fungsinya untuk membanteras rasuah di negara ini.

    “Saya amat berharap supaya semua pihak ketepikan dulu pandangan bersifat politik. Apa yang -penting, pastikan isu ini dapat diselesaikan dalam cara paling dipercayai rakyat.

    “Di pihak SPRM, mereka jangan bersifat defensif manakala orang politik usahlah ofensif pula,” katanya.

    Ditanya sama ada Azam perlu bercuti sementara siasatan berlangsung, Wan Saiful berkata perkara itu terpulang kepada prosedur dalaman SPRM.

    “Ramai tokoh berkaliber, dipercayai dan dihormati rakyat ada dalam beberapa struktur SPRM sekarang. Saya yakin mereka boleh buat keputusan yang baik” katanya.

    Tambahnya, ketika ini harapan rakyat cukup besar agar isu integriti yang menyelubungi negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak berulang.

    “Selepas PRU-14, agenda integriti terutama sekali melalui kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup ditegaskan. Tiada kompromi dalam soal integriti, tadbir urus dan pentadbiran.

    “Kita tak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang kembali. Apa yang kita mahukan adalah penyelesaian terbaik terhadap isu ini dan semua pihak harus memainkan peranan penting untuk memberi komen membina serta menjauhi pendekatan negatif,” katanya.

  • LPPR perlu lebih telus perinci kenyataan isu Azam Baki

    LPPR perlu lebih telus perinci kenyataan isu Azam Baki

    LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) perlu lebih telus dalam memperinci dan melanjutkan siasatan terhadap kenyataan berkaitan isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Rasuah Busters dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa kontroversi peribadi itu langsung tidak menyumbang kepada pemulihan institusi yang reputasinya sedang terjejas akibat dakwaan salah laku segelintir pegawainya pada waktu ini.

    “Rakyat ingin melihat wibawa moral SPRM sebagai badan yang berakauntabiliti dan boleh diharap bertindak segera untuk mencegah, mendakwa dan mendidik masyarakat.

    “Sebarang risiko yang menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan integriti SPRM sebagai badan yang bebas wajar dikekang,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyebut #Rasuah Busters tidak akan bertoleransi dengan tingkah laku rasuah dan salah guna kedudukan yang mewujudkan apa jua potensi konflik kepentingan dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap badan yang seharusnya melindungi kepentingan rakyat dan pemegang taruh.

    SPRM harus bebas, sebagai badan profesional yang dihormati dan isu peribadi tidak wajar mengatasi kepentingan itu, menurut kenyataan tersebut sambil menambah konflik berkenaan tidak harus ditangani secara emosi. – BERNAMA

  • Ahmad Fadhli nasihat Azam bercuti, beri laluan siasatan

    Ahmad Fadhli nasihat Azam bercuti, beri laluan siasatan

    KETUA Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu bercuti rehat bagai memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan nama beliau.

    Secara peribadi, Ahmad Fadhli menghormati Azam dan pernah beberapa kali bersua dalam prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

    “Saya boleh simpulkan beliau seorang mahir dengan selok-belok urus tadbir sesuai dengan kedudukannya.

    “Bagaimanapun dalam isu terkini ini, saya berpandangan adalah baik untuk beliau bercuti rehat memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan nama beliau.

    “Insya-Allah saya berharap agar beliau dapat kembali bertugas dengan nama yang bersih dari segala tohmahan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Dewan Pemuda PAS dalam hantaran Facebook yang sama:

    Dewan Pemuda PAS Malaysia mengikuti rapat isu melibatkan tuduhan-tuduhan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk melibatkan pegawai tertinggi SPRM yang dilihat boleh menjejaskan kredibiliti serta komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah dan memperkukuhkan integriti yang sedang diusahakan kini.

    Pemuda PAS memandang serius isu ini dan ianya menjadi suatu kewajipan kepada pihak kerajaan terutama kepada pimpinan YAB Perdana Menteri untuk mengambil langkah segera dan mengadakan siasatan secara bebas dan terbuka.

    Pemuda PAS juga dengan penuh hormat menyarankan supaya semua yang terlibat, termasuk pegawai tertinggi SPRM yang terbabit dalam isu tersebut direhatkan sehingga siasatan selesai dan nama mereka yang terbabit dibersihkan. Ini bagi memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

    Pemuda PAS percaya perkara ini harus diambil serius oleh kerajaan bagi menangkis persepsi buruk kepada kerajaan dan negara, serta memastikan integriti terus terpelihara.

    Semoga Malaysia sentiasa dipelihara Allah SWT dan kedaulatan undang-undang terus ditegakkan dengan amanah dan berintegriti.

  • Saham milik adik, Suruhanjaya Sekuriti minta penjelasan Azam

    Saham milik adik, Suruhanjaya Sekuriti minta penjelasan Azam

    SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia akan mendapatkan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung kenyataan bahawa saham-saham yang dibeli dalam jumlah yang besar adalah milik adiknya.

    Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di bawah Seksyen 25, Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti dibuat di bawah nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau wakil yang sah.

    Selain itu, katanya, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik benefisial sekuriti berkenaan atau wakil yang sah.

    “Suruhanjaya Sekurti Malaysia akan menghubungi pihak-pihak terlibat termasuk Tan Sri Azam Baki bagi mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpulkan keterangan yang relevan,” jelas suruhanjaya itu dalam kenyataan media, hari ini.

    Semalam, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

    Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, hasil penjelasan dibuat, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki iaitu adik kepada Azam.

    Justeru, beliau berkata, LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau ‘conflict of interest’ dalam perkara tersebut.

    “LPPR telah mengadakan satu mesyuarat khas pada 24 November lalu bagi mendapatkan penjelasan Tan Sri Azam berhubung perkara tersebut. Semua wakil LPPR telah mengambil bahagian untuk mengetahui keadaan sebenar daripada beliau.

    “Dalam pertemuan itu, beliau telah menjelaskan kedudukan sebenar kepada saya dan ahli-ahli LPPR yang lain bahawa akaun saham beliau ketika itu digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham-saham berkaitan pada tahun 2015, yang mana beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan ‘pecuniary’ atau ‘benefisial’ bagi pembelian mahupun pemilikan saham-saham berkenaan.

    “Pada masa sama, pembelian saham-saham tersebut dibuat di pasaran saham terbuka (open market) dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015,” katanya.

    Beliau bagaimanapun berkata, kesemua saham-saham tersebut telah dipindahkan semula kepada Nasir dalam tahun berkaitan dan ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Azam tiada sebarang kepentingan ke atas saham-saham berkenaan.