Tag: Azalina Othman Said

  • ‘UMNO dipersila bertanding guna logo sendiri’, kata MIC

    ‘UMNO dipersila bertanding guna logo sendiri’, kata MIC

    NAIB Presiden MIC, Datuk T Mohan berkata, UMNO dipersilakan untuk bertanding menggunakan logo sendiri dalam mana-mana pilihan raya, jika parti itu yakin menjadi pilihan pengundi kawasan.

    Tegas beliau, MIC tidak mempunyai halangan untuk UMNO berbuat demikian sekiranya parti itu mendapat kepercayaan pengundi di kawasan yang dipertandingkan.

    Beliau bagaimanapun berkata, konsep utama Barisan Nasional (BN) adalah kebersamaan antara parti komponen yang dipegang sejak puluhan tahun lalu.

    “Terpulang kepada fikiran UMNO jika mahu bertanding atas tiket sendiri, sekiranya mereka mendapat kelebihan majoriti kaum. Jika kawasan itu Melayu, mungkin itu boleh dilakukan.

    “Tetapi mengikut konsep kebersamaan BN yang dipegang sejak puluhan tahun, walau siapa pun calon yang dipilih tanpa mengira Melayu atau India, kita sentiasa bersama MCA, parti Sabah dan Sarawak.

    “Apa yang mustahak kita perlu tanya ialah, adakah parti itu masih kekal relevan dan pemimpin parti itu sendiri masih relevan,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said melontarkan persoalan sama ada parti itu boleh mempertimbang untuk bertanding atas tiket UMNO berbanding logo BN pada pilihan raya akan datang.

    Ia dilontarkan Azalina ketika UMNO kini berdepan penolakan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selain ‘perselisihan’ dalaman dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    “Izinkan saya untuk melontarkan persoalan ini, adakah sudah tiba masanya untuk UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera BN, ataupun di bawah BN dengan gabungan baharu?” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohan berkata, MIC sendiri mengakui mereka sukar untuk menang sekiranya bertanding atas tiket sendiri tanpa kehadiran parti komponen BN.

    “Pendirian kita jika mahu bertanding bukan berdasarkan perkauman atau menggunakan logo sendiri. Kita tahu kita sukar menang walaupun mempunyai majoriti kaum,” katanya.

    Beliau turut berkata, MIC sebenarnya tidak terkejut dengan persoalan yang dikeluarkan oleh Azalina itu malah menganggap ia sebagai kenyataan peribadi selagi ia tidak dikeluarkan oleh Presiden UMNO.

    “Itu pendirian dia, bukan hadir daripada Presiden UMNO,” katanya yang mengesahkan, tiada perbincangan antara pemimpin parti komponen berhubung perkara itu setakat ini.

  • SPRM dapati Nazlan langgar Kod Etika Hakim – Azalina

    SPRM dapati Nazlan langgar Kod Etika Hakim – Azalina

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyimpulkan beliau melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.

    Dalam surat bertarikh 20 Mac kepada peguambela Datuk Seri Najib Razak, Shafee & Co, Azalina mengesahkan Nazlan, hakim perbicaraan bagi kes SRC Najib, melanggar kod dan mempunyai konflik kepentingan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Azalina berkata, ini berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Feb yang dipanjangkan oleh agensi itu kepadanya.

    Beliau menjawab surat daripada peguambela Najib bertarikh 15 Mac yang bertanya sama ada SPRM menulis kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Nazlan berhubung pengendaliannya dalam kes SRC.

    Dalam surat itu, firma guaman berkenaan bertanya sama ada SPRM pada dasarnya membuat kesimpulan bahawa Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan.

    Dalam suratnya membalas kepada Shafee, Azalina berkata: “Saya boleh mengesahkan persoalan-persoalan yang dikemukakan bahawa soalan-soalan tersebut telah dijawab secara afirmatif.

    Paparan surat yang dikatakan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada Tengku Maimun tersebar di media sosial beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukumannya.

    Surat itu, yang bertarikh 20 Feb, menyatakan bahawa siasatan SPRM mendapati ” terdapat isu salah laku” oleh Nazlan yang “perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim negara”.

    Pada 24 Feb lepas, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun menuduh SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Nazlan.

    Siasatan itu susulan dakwaan bahawa sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan telah dimasukkan ke dalam akaun banknya.

    Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata agensi penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan.

    Nazlan, kini hakim di Mahkamah Rayuan, telah mensabitkan Najib pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dana milik SRC International.

    Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib. Rayuan Najib kepada Mahkamah Rayuan telah ditolak pada Disember 2021. Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas mengekalkan sabitan dan hukuman itu.

    Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun sejurus selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.

    Jumaat lalu, panel Mahkamah Persekutuan yang berasingan menolak permohonan Najib untuk semakan semula sabitan dan hukumannya.

    Akibatnya, bekas perdana menteri itu akan dikehendaki menjalani baki tempoh penjaranya, melainkan dia mendapat pengampunan diraja.

  • RUU mansuh hukuman mati dibentang kali pertama di Dewan Rakyat

    RUU mansuh hukuman mati dibentang kali pertama di Dewan Rakyat

    RANG Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Ketika mengemukakan rang undang-undang tersebut, Azalina berkata ia juga akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini.

    Menurutnya, naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, rang undang-undang itu bertujuan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan; serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengannya dengan meminda tujuh akta berkaitan.

    Akta-akta tersebut ialah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

    Pindaan terhadap kesemua akta berkenaan adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam semua perundangan.

    Selain itu, pindaan terhadap Akta 574 dilakukan bertujuan menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati yang tertakluk dengan budi bicara antaranya bagi kesalahan di bawah Seksyen 121A, 130C, 302 dan 374A.

    Dengan pindaan itu, mahkamah mempunyai nilai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak melebihi 40 tahun.

    Kerajaan sebelum ini bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan mengenakan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022. – BERNAMA

  • Asyraf Wajdi, Azalina dilantik Setiausaha Agung, Ketua Penerangan UMNO

    Asyraf Wajdi, Azalina dilantik Setiausaha Agung, Ketua Penerangan UMNO

    MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menamakan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agungnya yang baharu bagi sesi 2023-2026, menurut laporan.

    Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Memetik laporan UtusanTV, Mesyuarat MKT hari ini turut memilih Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu bagi menggantikan Isham Jalil.

    Hari ini barisan kepimpinan MKT UMNO mengangkat sumpah jawatan bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Mesyuarat ini adalah yang pertama diadakan selepas pemilihan UMNO melibatkan 187 bahagian di seluruh negara.

    Pada pemilihan lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memenangi jawatan Naib Presiden UMNO.

    Seramai 25 calon disahkan memenangi jawatan ahli MKT UMNO bagi sesi 2023-2026.

  • Azalina sah tanding Naib Presiden, calon tunggal wanita

    Azalina sah tanding Naib Presiden, calon tunggal wanita

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, sah menghantar borang pencalonannya bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac ini.

    Ini menjadikan Azalina sebagai satu-satunya calon wanita yang mencabar jawatan nombor tiga parti itu setakat ini.

    Pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) mengesahkan penyertaan Ahli Parlimen Pengerang itu

    Menurutnya, Azalina menghantar borang pencalonannya pada pukul 12 tengah hari tadi di Auditorium UMNO di Menara Dato’ Onn, hari ini.

    “Datuk Seri Azalina Othman Said sudah menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan UMNO Penggal 2023-2026 di Ibu Pejabat UMNO pada jam 12 tengah hari hari ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Penyertaan Azalina itu melengkapkan senarai sekurang-kurangnya lapan pemimpin UMNO yang sudah menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan itu menjelang tempoh akhir pencalonan esok.

    Selain Azalina, turut mengemukakan borang pencalonan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad; Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Hanya seorang penyandang Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera belum mengesahkan diri sama ada mempertahankan jawatannya dalam parti atau sebaliknya.

    Azalina sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Puteri UMNO, sebelum merebut jawatan Ahli MKT UMNO.

  • Kelantan, Terengganu tak layak terima royalti minyak, kata Azalina

    Kelantan, Terengganu tak layak terima royalti minyak, kata Azalina

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

    Menurut beliau, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

    Mengikut Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.

    “Namun, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Kelantan dan Terengganu,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Bagaimanapun, katanya, kerajaan persekutuan telah menyalurkan wang ehsan ke negeri-negeri yang berhampiran dengan kawasan penggalian petroleum, termasuk Kelantan dan Terengganu, untuk projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

    Azalina menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanya sama ada kerajaan akan menyalurkan hasil minyak “secara terus” kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu “seperti yang dilakukan oleh kerajaan PN”.

    Bayaran yang dirujuk oleh Muhyiddin itu ialah wang RM200 juta yang diberikan kepada kerajaan Kelantan masing-masing pada 2020 dan 2021.

    Ini adalah peningkatan yang besar berbanding wang ehsan RM28 juta yang diterima negeri melalui Jabatan Kemajuan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

    Bagaimanapun, pada 2019, Putrajaya di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membayar Kelantan RM400 juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran “sekali sahaja”. Bayaran itu tidak diminta oleh kerajaan Kelantan yang menuntut bayaran petroleum sebanyak 5 peratus.

    Menjelang pilihan raya Parlimen ke-15, Muhyiddin telah berjanji bahawa Kelantan dan Terengganu akan dibayar royalti 5 peratus sekiranya PN berkuasa.

    Pertikaian berkaitan royalti minyak Kelantan itu telah berlarutan sejak bertahun-tahun sehingga kerajaan negeri membawa kes itu ke mahkamah.

    Kelantan bagaimanapun menarik balik saman itu selepas yakin dengan pentadbiran Mahathir Mohamad ketika memimpin kerajaan kali kedua bersama Pakatan Harapan (PH).

    Bagaimanapun, isu kembali hangat selepas Kelantan tidak mengiktiraf pemberian pusat itu yang menganggapnya hanya sebagai wang ehsan.

    Beberapa pihak beranggapan masalah itu tidak selesai kerana kedudukan telaga minyak dalam sempadan perairan negeri tidak ditentukan.

    Malah, tindakan Kelantan menarik balik samannya pada 2019 menyebabkan perkara itu terus tergantung.

    Menteri ekonomi sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan bahawa, bayaran royalti petroleum kepada Kelantan setakat ini daripada lapangan Bumi Selatan dan Suria Selatan saja.

    Kedua-dua lapangan itu berada dalam lingkungan tiga batu nautika daripada pesisir pantai Kelantan.

    Sepuluh lagi lapangan pengeluaran masih tidak mempunyai persempadanan perairan antara Kelantan, Terengganu dan Pahang, menyebabkan hasilnya belum disalurkan kepada mana-mana negeri.

    Katanya, bayaran tunai royalti minyak oleh Petronas terhadap 10 lapangan itu disalurkan ke akaun terimaan tidak diperuntukkan (ATTD) berjumlah hampir RM1.2 bilion, untuk tempoh 2013 hingga 2019 sementara menunggu persempadanan ditentukan.

  • Siasatan LCS masih berjalan, kata Azalina

    Siasatan LCS masih berjalan, kata Azalina

    SIASATAN ke atas kes projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Menurut beliau, beberapa kertas siasatan sudah dibuka dan keterangan daripada pelbagai pihak perlu diperoleh termasuk dari luar negara.

    “Bagaimanapun, terdapat kertas siasatan yang sudah lengkap, yang mana seorang bekas Panglima Tentera Laut Malaysia (TLDM) sudah dituduh dengan tiga pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan pada 18 Ogos 2022,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian.

    Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai perkembangan siasatan LCS.

    Selain itu, Azalina memaklumkan, SPRM turut mengemukakan Surat Makluman Penyiasatan (SMP) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan untuk tindakan sewajarnya bagi menutup ruang dan peluang berlakunya perbuatan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan ke atas projek LCS.

    “SPRM juga masih lagi dalam tindakan melaksanakan pemeriksaan untuk penambahbaikan tata kelola berkaitan dengan perolehan oleh kementerian,” katanya.

  • ‘Kabinet’ PN permulaan reformasi blok pembangkang, kata Azalina

    ‘Kabinet’ PN permulaan reformasi blok pembangkang, kata Azalina

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan pembentukan ‘Kabinet’ Perikatan Nasional (PN) sebagai permulaan progresif ke arah reformasi blok pembangkang.

    Azalina berkata, pembentukan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen membolehkan Ahli Parlimen di pihak pembangkang memainkan peranan mereka mengikut portfolio masing-masing.

    “Kabinet bayangan adalah satu inisiatif dan permulaan yang progresif ke arah reformasi blok pembangkang untuk memainkan peranan mereka dalam mekanisme semak dan imbang,” katanya menerusi ciapan di Twitter, lapor Berita Harian.

    Khamis lalu, PN mengumumkan barisan anggota Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen yang ditubuhkan bagi menyelaras pengurusan gabungan parti itu sebagai pembangkang di Parlimen.

    Ia dianggotai Ahli Parlimen PN yang memiliki kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang lalu mengikut bidang masing-masing.

    Azalina berkata, pihaknya sedia dan terbuka menerima sebarang pandangan daripada jawatankuasa berkenaan.

    “Saya sentiasa mengalu-alukan teguran dan idea konstruktif daripada blok pembangkang,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata menteri dalam kerajaan mahu melihat prestasi Ahli Parlimen pembangkang yang dilantik kabinet bayangan itu.

    Beliau berkata, semua itu bergantung kepada komitmen diberikan setiap anggota terutama dalam hal berkaitan dasar kerajaan.

    “Tak ada masalah dengan penubuhan jawatankuasa ini. Ia bukan perkara baharu pun, ketika UMNO (berada di blok pembangkang) ketika negara ditadbir kerajaan 22 bulan (PH), sudah ada jawatankuasa seperti ini.

    “Ketika itu kami ditugaskan mengikut portfolio ditentukan,” katanya kepada BH.

    Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pula memberikan reaksi positif mengenai pelantikan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang pernah memegang jawatan diterajuinya sekarang.

    “Saya mengalu-alukan pelantikan (Tuan Ibrahim). Menangani isu perubahan iklim adalah agenda nasional yang tidak mengira fahaman politik,” katanya.

    Nik Nazmi berkata, kementeriannya turut mengesyorkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) yang bersifat merentas parti mengenai alam sekitar dan perubahan iklim.

    Malah, beliau turut berharap mendapat sokongan penuh dan kerjasama daripada semua Ahli Parlimen bagi mendepani dan mencari penyelesaian terbaik berhubung isu berkaitan.

  • Zahid dikritik beri Azalina ‘arahan’ tentang inkuiri Thomas

    Zahid dikritik beri Azalina ‘arahan’ tentang inkuiri Thomas

    GESAAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menteri undang-undang “mengorek hingga ke lubang cacing” dalam inkuiri memoir bekas peguam negara Tommy Thomas bersifat partisan dan tidak boleh diterima.

    Peguam Andrew Khoo berkata, inkuiri itu bertujuan menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Thomas dalam buku itu, bukan peranannya sebagai bekas peguam negara mahupun sebarang “agenda sulit”.

    “Ini dilihat sebagai seruan yang sangat (bersifat) partisan, seolah-olah menjadi agenda UMNO untuk ‘mengejar’ bekas peguam negara itu,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pada perhimpunan agung UMNO (PAU) semalam, Zahid, yang juga timbalan perdana menteri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Azalina Othman Said akan “menggagalkan UMNO keseluruhannya” jika tidak bersungguh-sungguh dalam inkuiri itu.

    Azalina sebelum ini berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk meneliti dakwaan dalam memoir Thomas.

    Dalam pada itu, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan berkata, kenyataan Zahid itu membayangkan wujudnya campur tangan dalam kebebasan inkuiri yang dicadangkan itu, dan bukti bahawa inkuiri tersebut adalah untuk kepentingan Umno, terutamanya pemimpin parti itu yang berdepan perbicaraan.

    Ambiga berkata, beliau menyokong kerjasama gabungan perpaduan, tetapi ia tidak boleh mengatasi institusi penting.

    Memoir Thomas mengundang kritikan daripada Peguam Negara Idrus Harun, peguam, ahli politik, malah orang awam, yang membawa kepada banyak laporan polis dibuat.

    Antara dakwaan dalam buku itu termasuk bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, mengenai pelantikan ketua hakim, presiden Mahkamah Rayuan dan hakim besar Sabah dan Sarawak.

    Oktober tahun lepas, polis berkata, mereka sedang melengkapkan siasatan terhadap Thomas atas dakwaan menghasut serta kesalahan lain yang disyaki berhubung dakwaan dalam memoirnya.

  • Azalina belakangi seruan RCI perbaharui Jabatan Peguam Negara

    Azalina belakangi seruan RCI perbaharui Jabatan Peguam Negara

    KETUA Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari membidas penasihat khas perdana menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana membelakangi cadangan pernah disuarakannya bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara ketika berkhidmat sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kenyataan Azalina “melantik peguam negara orang dia” merupakan seruan kembali ke belakang, selain mempersoalkan visi Ahli Parlimen Pengerang itu yang mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi pembaharuan dikatakan sebelum ini.

    “Ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan pada hari ini, seruan ini kelihatan kembali ke belakang.

    “Pada ketika kenyataan itu dibuat, menariknya ia juga sebagai menyahut cadangan Ahli Parlimen Pengerang yang ketika itu sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, di mana beliau menuntut supaya sebuah RCI ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara,” katanya di Facebook.

    Katanya, langkah paling baik adalah memisahkan fungsi peguam negara dengan tugas pendakwaan.

    Ini sebenarnya telah dimulakan perancangan oleh pihak kerajaan ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang),” katanya.

    Fadhli bagaimanapun tidak pasti sejauh mana perancangan pemisahan fungsi yang disebut itu sudah dilaksanakan.

    “Namun, ia perlu dihidupkan dan dijayakan dengan serius jika mahu melihat undang-undang dilaksanakan dengan adil dan dilihat adil,” katanya.

    Semalam, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kenyataan lantik “orang dia” membuktikan UMNO dan Barisan Nasional mengawal penjawat awam mengikut kehendak parti mereka.

    Radzi yang juga menteri kanan pendidikan ketika mengulas lanjut, berkata kenyataan Azalina itu menunjukkan sikap sebenar Umno.

    Pada 27 Ogos ketika berucap pada taklimat khas presiden Umno, Azalina menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan peguam negara.

    Katanya, kuasa peguam negara adalah sangat besar dan “tidak boleh dipersoalkan”.

    “Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik orang dia untuk jadi peguam negara,” katanya.