Tag: ayer Keroh

  • Tak pernah serik, ‘Petong’ dicekup polis buat kali ke-19

    Tak pernah serik, ‘Petong’ dicekup polis buat kali ke-19

    TAK serik, seorang penyamun bergelar ‘Petong’ditangkap polis buat kali ke-19 semalam, selepas dipercayai aktif melakukan pecah rumah di sekitar Ayer Keroh, Melaka.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis di kawasan Limbongan, di Ayer Keroh.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, dalam kejadian terbaru Jumaat lalu, suspek dipercayai melakukan pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM50,000.

    Menurutnya, susulan daripada laporan diterima, polis melancarkan usaha menjejaki suspek dan berhasil apabila penganggur berkenaan berjaya ditahan di sebuah rumah semalam.

    “Turut dirampas bersama suspek adalah hasil pecah rumah, antaranya sebuah beg golf, wang berjumlah kira-kira RM2,190 dan resit jualan barangan kemas berjumlah RM5,351,” katanya.

    Christopher berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi suspek adalah bergerak solo dan menyasarkan rumah mewah sekitar Ayer Keroh untuk melakukan jenayah.

    “Malah suspek juga dikatakan menggunakan kenderaan sewa bagi menyukarkan dikesan polis. Semakan mendapati sejak 2020 hingga 2022, dia sudah ditahan sebanyak 18 kali dan sudah dituduh dengan 23 pertuduhan, malah perbicaraan di mahkamah membabitkan kes itu belum selesai,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau menambah, suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dijalankan.

  • Wanita hamil cuba samun kedai emas ditahan polis

    Wanita hamil cuba samun kedai emas ditahan polis

    POLIS menahan seorang wanita hamil enam bulan selepas disyaki terbabit dalam cubaan samun di sebuah kedai emas, di Ayer Keroh, Melaka Selasa lalu.

    Suspek yang juga Eksekutif Sumber Manusia sebuah syarikat swasta itu ditahan polis di Kampung Kuala Linggi, kira-kira pukul 5 petang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun itu mendakwa dia berbuat demikian kerana ingin mencuba sesuatu yang ekstrem.

    “Semakan dilakukan juga mendapati dia sudah berkahwin dan mempunyai anak serta kini, hamil enam bulan.

    “Turut dirampas bersama suspek adalah sebilah pisau berukuran kira-kira 13 sentimeter (sm), yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari sehingga 27 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan iaitu cubaan merompak menggunakan senjata.

    Terdahulu, tular satu video pendek, yang memaparkan seorang wanita berjubah hitam dan memakai pelitup muka mengacukan sebilah pisau kepada seorang pekerja kedai emas.

    Dia kemudian meminta pekerja terbabit memasukkan barang kemas ke dalam beg galas yang dibawanya, namun tindakan itu tidak berjaya apabila seorang lagi pekerja kedai emas itu menyedari kejadian berkenaan.

  • Penghantar makanan didakwa tumbuk, tendang isteri

    Penghantar makanan didakwa tumbuk, tendang isteri

    SEORANG penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan menumbuk muka dan menendang isterinya, Khamis lalu.

    Lapor Harian Metro, mangsa mendakwa dikasari kerana enggan menemani tertuduh menghadiri majlis tamat latihan adiknya minggu lalu.

    Tertuduh, Kamal Ariffin Sehat, 40, mengaku bersalah, namun ditolak Majistret Mazana Sinin kerana pengakuan ‘bersyarat’ tertuduh membabitkan pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Fadilah Hussin, 39, dengan menumbuk muka dan menendang bahagian belakang badan mangsa di sebuah premis di Taman Tanjung Minyak Perdana, kira-kira pukul 9 malam, 8 Disember lalu.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Kejadian dikatakan berlaku selepas tertuduh mengajak isteri bersama lima anak pergi ke majlis tamat latihan adiknya di Port Dickson, Negeri Sembilan, namun ditolak membuatkan tertuduh berang dan mencederakannya.

    Bagaimanapun tertuduh dalam pengakuannya mengaku menarik rambut dan menampar muka isterinya selepas wanita itu dikatakan memanggil ibunya sebagai anjing.

    Mahkamah kemudian menolak pengakuan bersalah tertuduh kerana pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha ingin mengekalkan pertuduhan seperti dibacakan kepada lelaki itu.

    Justeru, mahkamah menolak pengakuan bersalah yang dibuat Kamal Ariffin selepas pihak pendakwaan turut ingin mengekalkan pertuduhan seperti dinyatakan kepada tertuduh.

    Pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.