Tag: ayam

  • Harga ayam segar, telur mungkin naik selepas 4 Februari

    Harga ayam segar, telur mungkin naik selepas 4 Februari

    HARGA ayam segar dan telur ayam mungkin naik selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia tamat pada 4 Februari ini namun kerajaan akan mencari mekanisme bagi menanganinya demi kepentingan semua pihak.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan mengkaji semula harga siling ayam bagi mengimbangi kebajikan antara pengguna dan penternak serta satu sesi libat urus bersama pelbagai agensi berkaitan diadakan semalam.

    “Dalam sesi libat urus yang diadakan bersama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan persatuan penternak itu, kita mendengar keluhan penternak mengenai harga ternakan dan kos operasi yang dikatakan meningkat disebabkan kos import dedak ayam.

    “Pengguna juga harus faham mengenai masalah ini sebab ia agak rumit. Bukan mudah nak letak harga rendah tapi penternak tak dapat keluarkan bekalan. Jadi kita akan bermasalah tiada bekalan nanti,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Jasin hari ini.

    Alexander berkata, harga kawalan ayam hingga 4 Februari di peringkat runcit adalah RM9.10 sekilogram namun mendapat keluhan daripada penternak yang bukan sahaja melibatkan kos tetapi tempoh skim kawalan yang terlalu lama.

    Beliau berkata, kementeriannya akan mencari mekanisme terbaik bersama MAFI dan menjaga harga di peringkat runcit dan pemborong.

    “Harga siling mungkin akan tinggi tetapi kita akan lihat dahulu sebab kita ada strategi lain seperti MAFI mengimport ayam dari luar. Kalau itu yang terjadi, harga tak perlu naik sebab ada persaingan,” katanya. – BERNAMA

  • Jangan bawa kambing atau lembu masuk dewan pula

    Jangan bawa kambing atau lembu masuk dewan pula

    YANG Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menegur tindakan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) yang membawa ayam segar ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.

    Beliau berkata, pihak keselamatan diminta melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barangan yang dibawa masuk ke dalam dewan negeri termasuk beg dan bungkusan.

    “Saya ingin menegaskan perkara yang berlaku ketika sesi perbahasan persidangan semalam sewajarnya tidak lagi berulang.

    “Saya harap tidak ada pula hendak membawa kambing atau lembu hari ini ya,” katanya berseloroh sebelum meneruskan persidangan yang memasuki hari keempat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

    Semalam, Muhamad Arafat mengejutkan Dewan pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 kira-kira 12.23 tengah hari apabila bertindak mengeluarkan ayam segar dari bungkusan beg di tempat duduknya.

    Beliau berkata, tindakan itu dilakukan kerana isu harga ayam yang membebankan rakyat ketika ini dilihat seolah-olah tiada tindakan serius daripada pihak berkuasa dan tidak melihat usaha dilakukan exco terlibat seperti mengadakan pertemuan bersama peruncit serta pengusaha bagi menangani masalah sebenar rakyat.

    Tindakannya memegang ayam beberapa minit itu menimbulkan suasana lucu di dalam Dewan malah ada antara Ahli Dewan Undangan Negeri yang mencelah dengan mengatakan “ayam itu letaklah…balik buat rendang” selain Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas-Titi Serong) yang mempersoalkan sama ada rakyat bersedia menghadapi harga mentah ayam terutama apabila musim perayaan. – BERNAMA

  • Kebenaran import ayam bulat sejuk beku 3 bulan

    Kebenaran import ayam bulat sejuk beku 3 bulan

    KERAJAAN memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini sehingga Februari 2022 (Disember 2021 hingga Februari 2022), kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini.

    MAFI dalam satu kenyataan menyatakan kebenaran mengimport bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran itu, melibatkan pertimbangkan import sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

    “Syarikat yang berhasrat untuk mengimport perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai kemudahan penyimpanan sejuk beku serta tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

    “Kebenaran pengimportan ini hanya akan dibenarkan dari negara dan loji penyembelihan yang telah diluluskan oleh kerajaan,” menurut kenyataan dikeluarkan MAFI itu lagi.

    Langkah intervensi itu adalah berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Dis bahawa kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan, dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.

    Kenyataan MAFI itu menyebut kebenaran mengimport ayam bulat itu adalah bersifat sementara sehingga bekalan ayam dapat distabilkan oleh industri ayam tempatan.

    Selain itu, kuantum import itu hanyalah untuk memenuhi kekurangan bekalan ayam semasa untuk tempoh tertentu sahaja.

    Berdasarkan penelitian MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), negara berhadapan kekurangan bekalan ayam dalam pasaran secara purata sebanyak 18 peratus bagi bulan Oktober dan November 2021 dan diunjurkan berlarutan ke bulan Disember 2021.

    “Kekurangan bekalan ayam ini antara lain disebabkan berlakunya peningkatan permintaan yang mendadak berikutan pembukaan semula sektor ekonomi, terutamanya hotel, restoran dan katering bermula bulan Oktober 2021,” menurut kenyataan MAFI itu

    Keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik atau 2.09 juta ekor sehari atau 113,220 tan metrik atau 62.9 juta ekor sebulan.

    Kekurangan bekalan ayam juga telah menyebabkan kenaikan harga ayam mencecah sehingga RM10 bagi satu kilogram di pasar basah dan pasar raya.

    “Langkah intervensi yang diambil kerajaan ini adalah dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh, dalam memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang berpatutan, pada masa sama kebajikan penternak ayam tempatan juga akan terus dipelihara,” katanya. – BERNAMA

  • Subsidi 20 pengeluar utama stabil harga ayam

    Subsidi 20 pengeluar utama stabil harga ayam

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    BAGI menstabilkan harga ayam di pasaran negara, kerajaan mungkin akan memperkenalkan sistem subsidi kepada 20 pengeluar utama yang membekalkan 80 peratus ayam, demi kepentingan orang ramai khususnya pengguna.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, ia bertujuan membantu menampung peningkatan harga berikutan kenaikan harga komponen makanan ternakan di pasaran antarabangsa.

    Justeru katanya, kerajaan akan cuba pertimbang memberi subsidi di peringkat ladang jika harga komponen makanan ayam seperti jagung dan soya di pasaran dunia melonjak kepada paras tertentu.

    “Apabila harga ayam rendah di peringkat ladang, maka harga di peringkat borong dan runcit dapat dikawal sekali gus tidak membebankan pengguna,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pasar Pekan Ajil , Hulu Terengganu, petang tadi.

    Sementara itu, Rosol memberitahu, harga jualan ayam tertinggi yang direkodkan setakat ini adalah RM11 sekilogram (kg) iaitu di Pasar Basah Gopeng, Perak.

    Manakala harga semasa jualan ayam di pasar basah seluruh negara pula, kata beliau adalah antara RM9 hingga RM10.50 sekilogram.

    Bagaimanapun katanya, masih ada premis pasar basah di seluruh negara yang menjual ayam pada harga lebih rendah iaitu sekitar RM8 hingga RM8.50 sekilogram.

    “Malah, masih ada juga premis yang menjual ayam pada harga lebih rendah melibatkan beberapa pasar raya seluruh negara iaitu pada harga RM5.99 sekilogram.

    “Harga jualan ayam di pasar raya lazimnya lebih murah berbanding di pasar basah kerana pasar raya kebiasaannya membuat pembelian bekalan secara kontrak jangka panjang dan dalam kuantiti besar bagi memenuhi permintaan di semua rangkaian pasar raya berkenaan di seluruh negara, ” ujar beliau.

    Rosol berkata, KPDNHEP sentiasa serius mengenai kepentingan yang melibatkan pengguna dan peniaga.

    “Kita juga sedang merangka mekanisme terbaik untuk mengatasi isu ini di mana KPDNHEP telah melancarkan Ops Catut (Pasar) 8.0 bermula Khamis lalu bagi menyiasat faktor kenaikan harga ayam di semua peringkat rantaian bermula daripada penternak atau pengeluar, pemborong dan peruncit,” terangnya.

    Menurut beliau, sehingga semalam sebanyak 63 premis pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negara telah diperiksa di mana 63 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dan 56 Notis Bertulis (NB) dikeluarkan kepada peniaga untuk siasatan lanjut jika berlaku unsur pencatutan dalam jualan ayam hidup, ayam standard dan ayam super.

    Tambah beliau, sepanjang Ops Catut (Pasar) 8.0, penguat kuasa KPDNHEP telah mengeluarkan 12 Surat Pemberitahuan meminta peniaga menyemak semula harga dan menurunkan kadar harga jualan.

    “Mana-mana peniaga yang didapati mencatut atau mengaut untung tinggi tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” jelas beliau.