Tag: Awang Tengah Ali Hassan

  • PBB: ‘Muhyiddin tetap kawan GPS’

    PBB: ‘Muhyiddin tetap kawan GPS’

    PERIKATAN Nasional (PN) pada dasarnya bersetuju dengan persefahaman dicapai dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, perkara berkenaan dipersetujui dalam beberapa pertemuan yang diadakan antara pemimpin dua gabungan parti politik itu.

    Beliau bagaimanapun berkata, apabila PN meletakkan calon di Sarawak pada PRU-15, GPS menerimanya sebagai cabaran dalam amalan demokrasi.

    “Memang ia dipersetujui (persefahaman untuk PN tidak meletak calon di Sarawak) di dalam beberapa mesyuarat yang diadakan.

    “Soal sama ada beliau (Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin) mungkir atau tidak, itu saya tidak tahu tetapi apabila mereka letak calon, kita lawanlah,” katanya kepada media selepas sidang media pelancaran ‘Sarawak Fair in Singapore’ di Kuching, hari ini.

    Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin semalam bahawa persetujuannya dengan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg ialah PN tidak akan bertanding pada PRN12 Disember tahun lalu, tetapi ia tidak termasuk PRU15.

    Sementara itu, Naib Presiden PBB, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pula berkata, GPS tetap menganggap Muhyiddin sebagai kawan meskipun Presiden Bersatu itu meletak tiga calon partinya dan seorang calon Pas di Sarawak pada PRU-15.

    “Walaupun tidak ada perjanjian bertulis berhubung perkara itu (PN tidak meletak calon) saya percaya ada persefahaman (secara lisan) mengenainya kerana ia amalan biasa dalam politik.

    “Ini demokrasi, kalau mereka hendak bertanding di Sarawak kita terima, walaupun berat sedikit (untuk menerimanya) tetapi kita tetap melihat Muhyiddin sebagai kawan dan kita memang tahu beliau adalah kawan baik Premier (Abang Johari),” katanya, lapor Berita Harian.

    Abdul Karim berkata, kini terpulang kepada pengundi di empat kawasan terbabit iaitu Parlimen Saratok, Lubok Antu dan Bintulu yang ditandingi BERSATU, manakala PAS di Batang Lupar untuk menilainya.

    Menurutnya lagi, pelbagai perkara boleh berlaku dalam politik termasuk di Sarawak apabila Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menjadi rakan Barisan Nasional (BN) di Parlimen tetapi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada tahun 1980-an hingga awal 1990-an.

    Semalam, Muhyiddin pada majlis di Pendang, Kedah menafikan beliau memungkiri janji dengan GPS.

    Menurut Muhyiddin, sebelum PRN12 Sarawak tahun lalu, Abang Johari menemui beliau untuk mendapatkan sokongan penuh BERSATU dengan menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya negeri itu.

    Sementara itu, Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak di Singapura (STATOS) akan menganjurkan Sarawak Fair 2022 pada 21 hingga 27 November ini di Singapura.

    Ia diadakan bagi mempromosikan perkhidmatan dan produk Sarawak di republik itu dengan 31 pempamer dari Sarawak akan menyertainya.

  • Memang sudah lumrah pembangkang selalu cetus isu

    Memang sudah lumrah pembangkang selalu cetus isu

    PRN Sarawak

    SUDAH lumrah pembangkang sentiasa menjadikan setiap perkara sebagai isu termasuk perintah darurat yang dikenakan ke atas Sarawak sebelum ini, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata, semasa darurat dikuatkuasakan di negeri berkenaan, pembangkang menuduh kerajaan negeri cuba berselindung di sebalik kuasa darurat.

    “Kita ni sebenarnya dalam masa kecederaan, pembangkang kata apabila darurat ini dipanjangkan, kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) cuba hendak berselindung (enggan adakan PRN) di sebalik darurat…apabila ditamatkan lain pula ceritanya.

    “Itulah pembangkang tiada pendirian tetap, macam-macamlah… semua perkara dia (pembangkang) hendak jadikan isu,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri taklimat bersama jentera PBB bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari, di Lawas.

    Tegas Awang Tengah, setiap keputusan untuk menguatkuasakan dan menamatkan darurat di Sarawak serta pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) kelak bukan dibuat sembarangan sebaliknya penuh berhati-hati dan berdasarkan nasihat dengan mengambil kira semua aspek kesihatan, keselamatan dan kehidupan rakyat di samping mengimbangi proses demokrasi.

    Jelasnya, GPS juga menunggu dan menerima segala keputusan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan PRN Sarawak dengan mengambil kira perkembangan semasa COVID-19, termasuk kemungkinan pengenalan SOP baharu berdasarkan pengendalian PRN Melaka.

    Pada Jumaat lepas, sebuah media melaporkan PKR Sarawak menghantar rayuan kepada SPR untuk menangguhkan PRN negeri itu ke tahun hadapan, susulan peningkatan kes positif baharu dan kematian akibat penularan COVID-19 dalam negara.

    Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju jika PRN Sarawak ke-12 ditangguhkan susulan perkembangan penularan COVID-19 di negeri itu.

    SPR sebelum ini memaklumkan satu mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Sarawak akan diadakan pada 24 Nov ini di Kuching susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak pada 3 Nov lepas.

    Dalam pada itu, Awang Tengah berkata jentera pilihan raya semua parti komponen GPS kini sudah bersedia beradaptasi dengan segala SOP SPR termasuk sekiranya terdapat SOP baharu yang bakal diperkenalkan.

    Jentera parti sentiasa diingatkan untuk mematuhi peraturan ditetapkan dan selain bersedia dengan segala kekangan untuk berkempen pada PRN itu, katanya. – BERNAMA