Tag: autisme

  • Pemandu van mengaku tak bersalah abai kanak-kanak autisme hingga mati

    Pemandu van mengaku tak bersalah abai kanak-kanak autisme hingga mati

    SEORANG pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan autisme sehingga menyebabkan kematiannya, Oktober lepas.

    Mohd Nazree Uzir, 35, didakwa melakukan pengabaian dengan meninggalkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dalam sebuah van miliknya sehingga mendatangkan kematian antara pukul 2.45 petang dan 5.30 petang pada 12 Okt 2021.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Seri Sendayan di sini.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Ong manakala Mohd Nazree diwakili peguam Noliana Ali Othman.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh menganggu keluarga mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 9 Mei untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Kanak-kanak autisme ditemukan terapung di Lombong

    Kanak-kanak autisme ditemukan terapung di Lombong

    SEORANG kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun dipercayai hilang petang semalam selepas keluar dari rumahnya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru, Gopeng dekat sini ditemukan terapung di tepi sebuah lombong, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid ditemukan pasukan operasi mencari dari Balai Polis Gopeng dalam jarak kira-kira 80 meter dari rumah keluarga mangsa pada pukul 9.45 pagi.

    “Mayat mangsa dibawa naik oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal mangsa telah dibuat dan didapati tiada elemen jenayah.

    “Pengecaman mayat telah dibuat oleh keluarga mangsa. Mayat dihantar ke Hospital Kampar bagi tujuan bedah siasat dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Hasron Nazri berkata seorang kanak-kanak autisme dengan masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap, disedari hilang oleh ibunya kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

    Beliau berkata pakaian terakhir mangsa sebelum hilang adalah berbaju T-shirt BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang.- BERNAMA