Tag: ATM

  • Enam helikopter MD-530G sedang jalani proses prapenghantaran

    Enam helikopter MD-530G sedang jalani proses prapenghantaran

    ENAM buah helikopter jenis MD-530G yang akan dioperasikan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sedang dalam peringkat pemeriksaan prapenghantaran (PDI), sebelum mula digunakan secara rasmi, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

    Beliau berkata proses PDI helikopter buatan McDonnell Douglas berkenaan adalah bagi memastikan aspek teknikal dan spesifikasi dipatuhi sepenuhnya, bagi pengoperasiannya kelak yang bertujuan mengukuhkan lagi mobiliti udara TDM.

    “Berdasarkan kepada kontrak perolehan, semua pesawat helikopter terbabit dijangka sampai ke Malaysia pada akhir tahun ini,” katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM ke-88 di Wisma Perwira ATM, di sini.

    Pada Februari lepas, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain menyatakan Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal menerima helikopter buatan McDonnell Douglas bernilai RM321.9 juta itu, pada bulan Ogos tahun ini.

    Mengulas mengenai perancangan ATM terutamanya dalam menguruskan aset-aset pertahanan yang disifatkan agak berusia sama ada ia mencukupi untuk mempertahankan negara, Affendi berkata pihaknya mempunyai perancangan dalam perkara itu.

    “ATM mempunyai rancangan pengurusan aset-aset yang merangkumi Program Senggaraan, ‘Upgrading program’ dan Program Penggantian Aset Pertahanan, bagi membolehkan ATM menjalankan fungsi mempertahankan negara.

    “Selain itu, ATM telah memfokuskan Rancangan Pengurusan Aset kepada Tonggak 1 Strategi Pertahanan Negara iaitu Cegah Rintang Berpadu, seperti mana yang terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan, di mana ATM mendapati ada kekangan terhadap keupayaan dan bilangan aset untuk menjaga keseluruhan kawasan operasi,” katanya.

    Affendi berkata ATM telah membuat perancangan operasi secara sistematik melalui aset-aset sedia ada, bagi memberikan efek pertahanan yang lebih berkesan.

    Mengulas mengenai perkembangan latihan komprehensif di prermis MD Helicopter Inc di Arizona, Amerika Syarikat bagi juruterbang dan juruteknik, Affendi berkata ATM telah menghantar seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik, untuk menjalani latihan berkenaan pada 24 April hingga 13 Ogos lepas.

    “Latihan berkenaan bertujuan meningkatkan kemahiran juruterbang dalam pengendalian sistem persenjataan, penerbangan taktikal dan latihan menembak pesawat, manakala latihan kru untuk penyelenggaraan pesawat, enjin dan persenjataan,” katanya.

    Dalam pada itu, Affendi berkata sejumlah lapan syarikat pengeluar telah menyatakan minat membida tender perbekalan jet latihan penggempur/jet tempur ringan (FLIT-LCA) yang telah diiklankan pada 22 Jun lalu.

    “Di antara pesawat yang terlibat adalah PAC JF-17 keluaran Pakistan Aeronautical, Hongdu L15B keluaran China National Aero-Technology, M-346 keluaran Leonardo dari Itali, Yak-130 keluaran Irkut Corporation dari Rusia dan T-7 Red Hawk keluaran Boeing dari Amerika Syarikat.

    “Tender dijadualkan akan ditutup pada 22 Sept depan dan proses tender itu masih sedang berjalan,” katanya.- BERNAMA

  • 25 unit ACMVT bantu vaksinasi seluruh negara

    25 unit ACMVT bantu vaksinasi seluruh negara

    SEBANYAK 25 unit Pasukan Vaksinasi Perubatan Medan ATM (ACMVT) telah diatur gerak di seluruh negara sejak 22 Jun lalu bagi memenuhi agenda nasional khususnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, memiliki kepakaran anggota, aset serta kelengkapan logistik yang mencukupi, keutamaan ACMVT ialah membantu pasukan Kementerian Kesihatan mencapai kawasan-kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.

    Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 25 pasukan ACMVT telah diatur gerak bagi vaksinasi iaitu 18 di Sarawak dan tujuh di Sabah.

    “Alhamdulillah, pasukan berkenaan telah sampai ke 92 penempatan dan berupaya melaksanakan suntikan sebanyak 11,001 dos vaksin kepada penduduk di sana.

    “Tiada istilah berundur sebelum selesai dalam disiplin penugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Gambar: Facebook Hishammuddin Hussein

    Hishammuddin juga telah menegaskan baru-baru ini, usaha membantu Kementerian Kesihatan untuk memberi vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman akan dilipatgandakan dan ACMVT akan ditambah mengikut keperluan Kementerian Kesihatan.

    “Terima kasih ACMVT – semoga gandingan ATM – Kementerian Kesihatan ini berupaya memerangi COVID-19 habis-habisan!” jelasnya.

  • Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber setakat April – ATM

    Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber setakat April – ATM

    Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber dilaporkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

    Beliau berkata angka yang tinggi itu membimbangkan perancang dan pengamal pertahanan.

    “Berikutan kewujudan dan kemunculan bahaya tersebut, pihak kerajaan dan ATM telah mempertingkat kapasiti keselamatan siber masing-masing dalam meramal, mengesan, mencegah dan bertindak terhadap ancaman ini.

    “Seperti kita sedia maklum usaha mengekang ancaman siber ini bukanlah murah, berikutan teknologi dan modus operandi pelanggaran keselamatan siber berkembang dengan begitu pantas, melampaui masa yang diambil untuk melaksanakan langkah memeranginya,” katanya.

    Affendi berkata demikan dalam ucaptamanya menerusi  seminar bertajuk “It Is Safe To Outsource Cyber Security Outside Your Borders?” (Adakah Selamat Untuk Penyumberluaran Keselamatan Siber di Luar Sempadan) anjuran Defence Services Asia (DSA) menerusi aplikasi Zoom, hari ini. 

    Beliau berkata kerajaan Malaysia telah memperuntukkan RM1.8 bilion untuk mentransformasikan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menangani ancaman tersebut, selari dengan aspirasi Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024.

    Katanya, penilaian NACSA dalam Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 itu telah menjangkakan berlakunya peningkatan ancaman siber.

    Justeru, bagi menangani isu berkenaan, Affendi berkata ATM telah menubuhkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) selaras dengan Kertas Putih Pertahanan, sebagai sebahagian daripada langkah untuk memastikan keupayaan menghadapi ancaman siber.

    Beliau berkata kerajaan dan agensi-agensi keselamatan lebih cenderung memilih untuk mengekalkan langkah keselamatan siber dalam lingkungan sempadan nasional, dalam mematuhi undang-undang dan strategi keselamatan siber negara, bagi membolehkan pihak tersebut mempunyai kawalan yang lebih baik ke atas persekitaran dan infrastruktur.

    “Sedia maklum, perang dingin moden berlaku dalam talian pada masa kini, dalam keseluruhan persekitaran kerajaan secara kaedah perang hibrid. Oleh yang demikian, menggunakan sumber luar untuk menjaga keselamatan siber berisiko mendedahkan negara kepada bahaya,” tambahnya.- BERNAMA

  • ATM atur gerak aset bantu kurangkan beban hospital, pusat kuarantin – TPM

    ATM atur gerak aset bantu kurangkan beban hospital, pusat kuarantin – TPM

    Oleh:Bernama

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur gerak anggota dan aset-asetnya, bagi membantu mengurangkan beban hospital dan pusat kuarantin berikutan peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, komitmen ATM serta kerjasama dengan pelbagai agensi lain juga diteruskan, bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa dilindungi.

    “ATM juga sentiasa bersiap-siaga dalam segala aspek dalam menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar, terutama penguatkuasaan kawalan sempadan darat, laut dan udara,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, selepas mengadakan perbincangan bersama Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, mengenai isu perairan negara dan peranan ATM dalam penubuhan hospital Medan.

    Malaysia hari ini merekodkan 20,596 kes baharu jangkitan COVID-19, iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara tahun lepas.- BERNAMA

  • Operasi hospital medan HTAR Jumaat ini

    Operasi hospital medan HTAR Jumaat ini

    Oleh: Bernama

    HOSPITAL medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dijangka akan mula beroperasi pada petang Jumaat ini (6 Ogos).

    Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata ketika ini pihaknya sedang melakukan persiapan dan pemeriksaan terakhir membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta ATM bagi memastikan fasiliti itu selamat digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

    “Hari ini kami sedang laksanakan pemeriksaan dengan teliti dan esok kami akan mulakan latihan pengoperasian sehingga pagi Jumaat, pada sebelah petang atau malam kami jangka akan mula menggunakan hospital medan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dr Zulkarnain berkata hospital yang dibangunkan di tempat letak kenderaan HTAR dengan anggaran keluasan 15.24 meter (m) panjang dan 30.48m lebar itu mempunyai kelengkapan yang selesa antaranya bilik rawatan pesakit, bilik donning dan doffing, tandas, bilik mandi serta kaunter jururawat.

    Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang merawat kira-kira 1,000 pesakit COVID-19 dan hospital medan yang mempunyai 100 katil akan digunakan untuk pesakit kategori tiga dan ke atas yang memerlukan rawatan terapi oksigen khusus.

    Sementara itu, Dr Zulkarnain mengalu-alukan penyertaan orang awam yang ingin menjadi sukarelawan bukan perubatan di hospital medan dalam membantu kelancaran pengoperasian hospital itu dan boleh menghubungi Mercy Malaysia bagi maklumat lanjut.

    Pembinaan hospital medan adalah Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital COVID-19 Mercy Malaysia, usaha tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Maybank dan Mercy Malaysia dalam menghadapi lonjakan pesakit COVID-19 terutamanya di Lembah Klang. – BERNAMA