Tag: Asia Tenggara

  • Rasuah, penguatkuasaan lemah jadi halangan perdagangan di Malaysia, Asia Tenggara

    Rasuah, penguatkuasaan lemah jadi halangan perdagangan di Malaysia, Asia Tenggara

    PENGUATKUASAAN yang lemah dan rasuah di sempadan dan hab logistik kekal menjadi cabaran bagi aktiviti perdagangan di Malaysia dan Asia Tenggara.

    Sebuah badan pemikir berpangkalan di Amerika Syarikat berpendapat Malaysia dikaitkan sebagai sumber untuk perdagangan haram bagi segala-galanya.

    “Daripada rokok kepada minyak sawit, produk perhutanan, hidupan liar dan banyak lagi,” katanya memetik laporan FMT.

    Sebelum ini dilaporkan kerajaan kehilangan lebih RM15 bilion hasil antara 2018 dan 2020 akibat kegiatan penyeludupan rokok.

    Menurut Kajian Rokok Haram oleh firma analisis Nielsen, rokok haram menyumbang 56.6 peratus daripada rokok yang dijual di negara ini tahun lalu.

    Sementara itu, jabatan kastam merampas barangan terlarang berkaitan hidupan liar dianggarkan bernilai kira-kira RM73.4 juta tahun lalu.

    Philip Thompson daripada Tholos Foundation berkata, kerajaan boleh melaksanakan rejim penguatkuasaan perdagangan lebih ketat, dan memuktamadkan rundingan perdagangan dengan rakan kongsi mengenai penguatkuasaan bersama atau perkongsian maklumat dan penyelarasan bagi membendung aktiviti perdagangan haram.

    “Langkah ini akan membantu meningkatkan kemudahan perdagangan Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata, pada masa akan datang, Malaysia mempunyai pilihan sama ada meneruskan liberalisasi pendekatannya terhadap perdagangan global atau mencontohi negara jiran serantau dalam melaksanakan halangan perdagangan digital dan strategi perindustrian bersifat populis.

    Jika Malaysia memilih untuk terus meliberalisasikan pendekatannya terhadap perdagangan, katanya, beberapa pembaharuan kepada sekatan perkhidmatan diperlukan bagi menunjukkan bahawa negara terbuka kepada perniagaan asing yang bersaing dalam sektor utama seperti perbankan dan telekomunikasi.

  • Kedutaan Jepun keluar amaran ancaman pengganas

    Kedutaan Jepun keluar amaran ancaman pengganas

    KEDUTAAN Jepun di Kuala Lumpur mengesahkan kedutaan itu telah mengeluarkan amaran kepada warganegaranya di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.

    Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

    Seorang pegawai dari kedutaan ketika dihubungi Bernama berkata nasihat itu dikeluarkan pagi ini kepada semua warga Jepun yang berada di Malaysia.

    “Kami mengeluarkan nasihat tersebut selepas menerima arahan dari Tokyo,” katanya tanpa memperincikan lebih lanjut mengenai hal itu.

    Pegawai itu berkata buat masa ini terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

    Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempatĀ perhimpunan besar-besaran di rantau ini.- BERNAMA