Tag: aset

  • SPRM jejak aset, wang haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa

    SPRM jejak aset, wang haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjejaki aset dan wang, dipercayai berjumlah jutaan ringgit hasil kegiatan haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa, yang dilumpuhkan menerusi Op Tropicana pada Feb lepas.

    Menerusi kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan usaha menjejak aset dan wang haram itu, dijalankan dengan kolaborasi Bank Negara Malaysia dan badan penguat kuasa antarabangsa termasuk Interpol, National Crime Agency (NCA-United Kingdom) dan Federal Bureau of Investigation (FBI).

    SPRM berkata usaha itu, merupakan tindakan susulan setelah empat dalang utama sindiket yang terdiri daripada warga asing, didakwa di Mahkamah Shah Alam pada Khamis (16 Mac) dan di Mahkamah Butterworth semalam (17 Mac), iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas operasi berkenaan dilancarkan.

    Keempat-empat warga United Kingdom telah dijatuhi hukuman penjara dan didenda selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

    Sebelum ini, lima warga British dan dua rakyat Filipina merupakan antara 10 individu yang ditahan SPRM, dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 21 Feb lepas, berkaitan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang turut melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.

    Mereka ditahan dalam operasi dinamakan Op Tropicana diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM yang menyerbu 24 lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, termasuk tiga pusat panggilan sindiket iaitu dua yang terletak di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

    Berhubung dakwaan bahawa lima bank utama dipantau SPRM berkaitan penglibatan dalam sindiket penipuan tersebut, SPRM memaklumkan siasatan berkenaan lebih tertumpu kepada individu-individu terlibat dan bukan melibatkan institusi kewangan tersebut secara khusus.

    “Mereka ini merupakan segelintir golongan profesional termasuk pegawai-pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat, yang bertindak membolehkan urusan sindiket haram tersebut beroperasi,” katanya.

    Sehubungan itu, SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan BNM dan agensi penguat kuasa lain untuk memerangi sindiket penipuan antarabangsa. – BERNAMA

  • Kapal TLDM telah berusia, perlu ditukar – Sultan Selangor

    Kapal TLDM telah berusia, perlu ditukar – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap aset keselamatan negara khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berusia dan perlu ditukar.

    Kebimbangan itu dizahirkan baginda ketika pertemuan dengan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Khamis lepas. 

    Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah semasa pertemuan tersebut bahawa pertukaran aset yang telah berusia itu perlu dilakukan demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga.

    Khamis lepas, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Mohd Reza sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan di sini.

    Beliau dilantik sebagai PTL pada 30 Nov 2018 dan akan menyerahkan tugas kepada penggantinya pada 23 Jan ini.

    Mohd Reza turut merafak sembah memperkenalkan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai Panglima Tentera Laut ke-18. – BERNAMA

  • Banjir: Masjid Mahmudi Melor rugi lebih RM100,000

    Banjir: Masjid Mahmudi Melor rugi lebih RM100,000

    MASJID Mahmudi Kedai Melor, di Kota Bharu mengalami kerugian lebih RM100,000 setelah beberapa aset termasuk kenderaan rosak setelah digenangi air banjir yang melanda negeri ini, sejak Isnin lepas.

    Imam Tua Masjid Mahmudi Kedai Melor Suhaimi Ibrahim berkata kerosakan yang dialami termasuk karpet, stor atau garaj van jenazah serta pagar setelah air banjir naik hampir 0.8 meter di pekarangan masjid.

    “Masjid berusia 35 tahun ini terletak di tepi Sungai Melor sebab itulah air cepat naik dan memasuki masjid separas betis untuk kali kedua malah disifatkan banjir agak besar berbanding 2017, dengan banyak aset hanyut atau rosak.

    “Menerusi kamera litar tertutup (CCTV), kami lihat air mulai masuk secara mendadak pada 4 pagi Isnin lalu dan masjid ini sudah banyak kali menjadi kawasan banjir. Sebelum ini, air bagaimanapun tidak masuk sehingga ke dalam masjid,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

    Menurutnya lebih menyedihkan karpet dan sejadah di masjid itu baharu sahaja dibeli tiga bulan lepas dengan kos hampir RM30,000 dan belum habis dibayar.

    Suhaimi berkata ketika banjir 2017, pihaknya mengeluarkan kos RM120,000 bagi menggantikan karpet baharu.

    “Untuk banjir kali ini, kami terpaksa menggunakan karpet sedia ada biarpun keadaannya lusuh dan mudah tercabut, malah kami menggunakan khidmat kontraktor cucian dengan upah RM6,000 bagi mengeringkan karpet supaya solat Jumaat hari ini dapat dilakukan.

    “Pihak masjid lega apabila pascabanjir hari ketiga ini, kami turut dibantu 100 sukarelawan terdiri daripada orang kampung dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menghulurkan tenaga secara bergilir-gilir,” katanya.

    Katanya, selain karpet, beberapa aset seperti pagar, garaj van jenazah didapati rosak, malah meja dan kerusi untuk kegunaan majlis jamuan masjid itu turut dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir itu. – BERNAMA

  • Tender perolehan meriam SPH belum ditawarkan – Hishammuddin

    Tender perolehan meriam SPH belum ditawarkan – Hishammuddin

    TENDER perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howittzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) belum lagi dianugerahkan kepada mana-mana syarikat, demikian ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

    Katanya, proses perbincangan aset perolehan melibatkan peruntukan RM854 juta itu masih berjalan antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kewangan (MOF).

    Justeru, pendedahan mengenai proses perolehan SPH oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah bagi menimbulkan keraguan masyarakat terhadap kerajaan, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi keupayaan kesiagaan Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) di Lapang Sasar Menembak Praktikal, Kem Sungai Besi, di sini, hari ini.

    Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa tender perolehan SPH itu dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pembekalan yang baru dua tahun ditubuhkan dan bukan menerusi tender terhad.

    Hishammuddin berkata proses perolehan untuk memberi penganugerah itu melibatkan banyak agensi, dan bukan sahaja MINDEF dan seperti biasa mereka akan berbincang dengan MOF terlebih dahulu.

    “Sebelum ini, surat antara kementerian dan sebagainya adalah rahsia kerajaan kerana kita mempunyai Akta Rahsia Rasmi (OSA) tetapi dalam keadaan sekarang, tiada benda yang rahsia.

    “Bagi saya, setakat proses nak beri projek saya tidak risau sangat, tetapi jika maklumat rahsia berhubung kait dengan peralatan dan boleh menjejaskan kesiapsiagaan kita boleh bocor kepada musuh, itu lebih membimbangkan,” katanya.

    Terdahulu, Hishammuddin menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara MINDEF, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Sungai Besi.

    Pemeteraian MoU itu menyaksikan Unirazak akan menyediakan 250 tempat setahun bagi tempoh lima tahun untuk anak-anak anggota ATM dan warga awam MINDEF mengikuti program dermasiswa pengajian asasi Sastera secara percuma melibatkan kos sebanyak RM15.625 juta.

    Mengakhiri lawatannya di Kem Sungai Besi, Hishammuddin turut meluangkan masa melawat Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim ATM dan menyampaikan sumbangan wakalah zakat dan bantuan Pendidikan Yayasan LTAT kepada 74 pelajar sekolah itu dengan jumlah keseluruhan RM80,000. – BERNAMA