Tag: Arul Kanda

  • Arul Kanda, Mohd Irwan gagal batal saman RM33.5 bilion 1MDB

    Arul Kanda, Mohd Irwan gagal batal saman RM33.5 bilion 1MDB

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas Pengerusinya Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk mengetepikan saman US$6.59 bilion (RM33.5 bilion) yang difailkan 1MDB terhadap mereka.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dalam keputusannya terhadap permohonan kedua-dua mereka berkata saman itu perlu melalui perbicaraan penuh kerana makkamah mahu keterangan penuh daripada saksi-saksi.

    “Perkara ini tidak boleh diputuskan dengan afidavit dan ini bukannya kes yang boleh diputuskan melalui ringkasan. Secara jelas, pertuduhan terhadap penipuan dan konspirasi tidak boleh diselesaikan menerusi suatu pendekatan mudah, maka, saya mengekalkan status quo dan saman ini akan melalui perbicaraan penuh.

    Ini bukan satu perkara yang jelas untuk mengetepikannya tetapi memerlukan mahkamah ini untuk menyiasatnya menerusi perbicaraan penuh. Keadilan akan datang kepada pihak yang benar dan akan melalui perjalanan yang lebih panjang untuk mencapainya, “kata Raja Ahmad.

    Beliau kemudian memerintahkan defendan (Arul Kanda dan Mohd Irwan) untuk masing-masing membayar kos RM10,000 kepada plaintif dan menetapkan 14 Sept ini untuk pengurusan kes.

    Peguam Datuk Lim Chee Wee hadir mewakili 1MDB sementara Sanjay Mohan mewakili Arul Kanda dan Lavinia Kumaraendran mewakili Mohd Irwan.

    Mohd Irwan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 18 Feb 2022, antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky Ltd serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak US$1.83 bilion dan US$3.5 bilion.

    Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian yang ditanggung 1MDB hasil penyelewengan yang dilakukan oleh orang lain.

    Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap mereka atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang ditukar kepada pelaburan di Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

    1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana 1MDB berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion, yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

    Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

    Sehubungan itu, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan membayar US$6.59 bilion bagi pelanggaran terbabit dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – BERNAMA

  • Kes pinda laporan audit 1MDB: Nasib Najib, Arul Kanda diketahui esok

    Kes pinda laporan audit 1MDB: Nasib Najib, Arul Kanda diketahui esok

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan esok sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB. 

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, akan menyampaikan keputusan itu pada 9 pagi.

    Tahun lepas, Arul Kanda menjadi saksi dalam kes itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pada 7 Sept 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

    Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib akan mewakili pendakwaan manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N.Sivananthan masing-masing hadir bagi pihak Najib dan Arul Kanda.

    Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

    Dua lagi kes membabitkan pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes. – BERNAMA

  • Arul Kanda tidak tahu penglibatan Hakim Nazlan dalam pinjaman 1MDB

    Arul Kanda tidak tahu penglibatan Hakim Nazlan dalam pinjaman 1MDB

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mengetahui tentang penglibatan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam pinjaman RM4.17 bilion kepada dana kekayaan negara itu.

    Malah Arul Kanda berkata beliau tidak pernah berjumpa secara langsung dengan Mohd Nazlan, yang merupakan pegawai undang-undang am Kumpulan Maybank ketika itu.

    Hakim Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta pada 28 Julai 2020.

    Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata berhubung pinjaman yang diambil 1MDB daripada Maybank, beliau sering berurusan dengan jurubank lain seperti Michael Oh-Lau.

    Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan Najib dan Arul Kanda.

    Muhammad Shafee: Adakah mana-mana pegawai ini menyedarkan anda bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada ketua mereka?

    Arul Kanda: Bukan secara langsung… Saya bekas jurubank. Sebelum ini, perbincangan diadakan pada satu peringkat dan dalaman bank, mereka perlu melalui proses kelulusan mereka sendiri.

    Muhammad Shafee: Dari segi undang-undang, siapakah pegawai undang-undang am bagi Kumpulan Maybank? 

    Arul Kanda: Nazlan. Saya tidak pasti nama penuhnya.

    Muhammad Shafee: Adakah Mohd Nazlan Mohd Ghazali?

    Arul Kanda: Ya, (tetapi) saya tidak pernah berjumpa beliau sebelum ini.

    Muhammad Shafee: Saya cadangkan pinjaman sebesar ini mesti mendapat kelulusan daripada bahagian undang-undang bank?

    Arul Kanda: Saya rasa begitu.

    Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi itu berkata beliau tidak mengetahui mengenai penglibatan Mohd Nazlan dalam proses pinjaman itu.

    Sri Ram: Adalah dicadangkan kepada kamu oleh pihak pembelaan bahawa Mohd Nazlan terlibat dalam (pinjaman kepada 1MDB)?

    Arul Kanda: Ya.

    — LAGI

    MAHKAMAH-NAJIB (LAPORAN AUDIT) 4 KUALA LUMPUR

    Sri Ram: Adakah anda mempunyai pengetahuan tentang perkara ini (Mohd Nazlan terlibat dalam pinjaman kepada 1MBD)?

    Arul Kanda: Tidak.

    Semasa prosiding hari ini, Arul Kanda juga memberitahu mahkamah bahawa bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir telah menyekat maklumat daripada pengetahuan Jabatan Audit Negara (JAN) ketika dana kekayaan negara itu dalam proses diaudit pada 2015.

    Arul Kanda seterusnya berkata beliau tidak bertanggungjawab ke atas operasi harian 1MDB, mahupun berhubung terus dengan JAN untuk proses audit kerana tugas itu adalah tanggungjawab Azmi.

    Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 2 Sept.- BERNAMA

  • Najib, Arul Kanda pinda laporan 1MDB lindungi tindakan sivil, jenayah

    Najib, Arul Kanda pinda laporan 1MDB lindungi tindakan sivil, jenayah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy meminda Laporan Pengauditan 1MDB untuk melindungi mereka daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan perjalanan operasi syarikat itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, Haniff Lami, 34, berkata Najib menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu untuk mengarahkan supaya laporan berkenaan dipinda.

    Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, arahan berkenaan sebelum laporan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 24 Februari 2016 manakala Arul Kanda didapati bersubahat dengan Najib dalam kes terbabit.

    “Tertuduh kedua (Najib) dalam kes ini mengarahkan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh untuk mendapatkan laporan terbabit dan menyerahkan salinan laporan kepada tertuduh pertama (Arul Kanda) untuk disemak.

    “Tertuduh kedua kemudian mengarahkan supaya satu pertemuan dibuat di pejabatnya di Putrajaya pada 22 Februari 2016 di mana ia turut dihadiri Tan Sri Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara) dan Tan Sri Ali Hamsa (bekas Ketua Setiausaha Negara).

    “Dalam pertemuan itu, tertuduh kedua mengarahkan Ali untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan antara Jabatan Audit Negara (JAN) dan bekas Perdana Menteri itu bagi membincangkan perkara yang beliau (Najib) tidak berpuas hati dengan laporan dikeluarkan JAN dan untuk laporan itu tidak dicetak hingga mendapat kebenarannya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

    Pasukan pendakwaan diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Mohamad Mustafa P Kunyalam, manakala Najib dan Arul Kanda masing-masing diwakli peguam, Rahmat Hazlan dan Datuk N Sivananthan.

    Pada 12 Disember 2018, Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Haniff berkata, satu mesyuarat diadakan oleh Ali pada 24 Februari 2016 yang turut dihadiri Arul Kanda, susulan arahan daripada Najib dan hasilnya terdapat pindaan dibuat terhadap laporan membabitkan empat perkara.

    Beliau berkata, perkara pertama ialah dua versi penyata kewangan 1MDB berbeza bagi 2014 disusuli perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited (ACME).

    “Dua lagi perkara ialah isu kehadiran Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) dan isu penangguhan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

    “Susulan mesyuarat itu, Laporan Pengauditan 1MDB dibentangkan di hadapan PAC pada 4 dan 7 Mac 2016 adalah laporan dipinda susulan arahan tertuduh kedua,” katanya.

    Ketika pemeriksaan balas oleh Rahmat pula, Haniff berkata, Najib dan Arul Kanda ditahan masing-masing pada 10 dan 11 Disember 2018 dan mereka dirakam keterangan pada hari tangkapan.

    Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam terbabit bahawa versi keterangan tertuduh perlu disiasat secara mendalam bagi menegakkan keadilan.

    Rahmat: Saya katakan izin pertuduhan mereka sebelum tangkapan dan rakaman percakapan Arul Kanda?

    Haniff: Benar.

    Rahmat: Macam mana nak siasat jika arahan tuduh sebelum rakam percakapan?

    Haniff: Siasatan sudah dibuat secara menyeluruh.

    Rahmat: Siasatan menyeluruh tanpa merakam kenyataan?

    Haniff: Najib ada dirakam keterangan sebagai saksi pada 6 Disember 2018.

    Rahmat: Empat hari siasatan versi Najib?

    Haniff: Betul.

    Rahmat kemudian mendakwa bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengeluarkan arahan pertuduhan sebelum satu siasatan lengkap dan adil diberikan kepada Najib, namun ia tidak dipersetujui saksi itu.

    Perbicaraan bersambung 18 Ogos ini.

  • 1MDB: Tiada siapa halang Arul Kanda hadiri prosiding PAC

    1MDB: Tiada siapa halang Arul Kanda hadiri prosiding PAC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tiada siapa yang menghalang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy daripada menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan laporan audit akhir syarikat itu.

    Bekas Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, 65, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda atas tuduhan meminda laporan audit akhir 1MDB.

    Sri Ram: Pada pengetahuan anda, adakah anda atau sesiapa menghalang Arul Kanda daripada menghadiri mesyuarat PAC untuk memberikan penjelasannya?

    Saadatul Nafisah: Tidak.

    Sri Ram: Jadi, anda tidak buat apa-apa untuk menghalangnya?

    Saadatul Nafisah; Ya.

    Bagaimanapun, beliau berkata Arul Kanda menghadiri mesyuarat pada 25 Feb, 2016, iaitu sehari selepas satu mesyuarat yang pegawai kanan kerajaan bersetuju meminda laporan asal 1MDB.

    “Beliau datang dengan laporan meminta pindaan,” kata saksi pendakwaan ketujuh itu, sambil menambah bahawa perkara yang berlaku pada 24 dan 25 Feb 2016 itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PAC.

    Menjawab soalan lain, Saadatul Nafisah, yang menyifatkan laporan audit 1MDB sebagai laporan audit khusus, berkata laporan audit mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2) juga merupakan laporan khusus.

    Beliau berkata laporan audit khusus mengenai 1MDB dan projek klia2 juga dianggap bersifat siasatan.

    “Ini kerana tidak seperti audit biasa yang dibuat JAN, laporan audit khusus diminta oleh kabinet atau PAC, dan juruaudit diberi kuasa bukan sahaja mendapatkan maklumat daripada pihak diaudit tetapi juga daripada pihak lain,” tambahnya.

    Sri Ram: Anda menyifatkan ini (1MDB) sebagai audit khusus. Adakah ini kali pertama dilakukan (oleh JAN)?

    Saadatul Nafisah: Tidak. Kami telah melakukan beberapa kali sebelum ini. Terdapat permohonan daripada kabinet mengenai projek klia2.

    Beliau berkata audit mengenai projek klia2 dijalankan semasa Najib menjadi perdana menteri tetapi beliau (Najib) tidak meminta salinan laporan ataupun sebarang perubahan pada laporan itu.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 29 Nov. – BERNAMA