Tag: Armada Bersatu Malaysia

  • Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    ARMADA Bersatu mendesak Wisma Putra memanggil kedua-dua Duta Besar Denmark dan Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras negara ini terhadap jenayah keji ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan di Stockholm baru-baru ini.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan memanggil duta berkenaan adalah penting untuk menunjukkan bahawa Malaysia memandang serius perkara itu.

    Menurutnya, ia juga bagi menunjukkan negara ini tidak akan bertolak ansur dengan jenayah yang telah berulang kali dilakukan oleh ahli politik itu.

    “Armada mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji membakar Al-Quran oleh Paludan di Stockholm.

    “Ia dengan malangnya dibenarkan oleh kerajaan Sweden di atas nama kebebasan bersuara; yang mana Armada membantah sekeras-kerasnya pendirian yang diambil oleh kerajaan Sweden kerana kami percaya bahawa kebebasan bersuara bukanlah termasuk kebebasan untuk menghina agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, ahli politik berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan kawalan polis yang ketat lapor Berita Bersatu.

  • Armada kecam tindakan ahli politik Sweden bakar al-Quran

    Armada kecam tindakan ahli politik Sweden bakar al-Quran

    ARMADA Bersatu Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab ahli politik Sweden, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Qur’an, kelmarin yang jelas menzahirkan sifat Islamofobia.

    Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan itu hanya mengeruhkan lagi keadaan hubungan antara agama dan masyarakat Islam di Eropah, khususnya di Sweden serta membangkitkan sentimen perkauman dan anti-Islam yang dahsyat khusus ke atas kaum migran beragama Islam.

    “Kerajaan Sweden perlu mengecam dan mengambil tindakan tegas ke atas Rasmus Paludan dan konco-konconya sebelum keadaan menjadi lebih parah.

    “Hak kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghinjak maruah dan kesucian agama lain,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor BeritaBersatu

    Kelmarin, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

    Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

  • Piala AFF: Rakyat nak tengok Harimau Malaya bukan Jay Chou

    Piala AFF: Rakyat nak tengok Harimau Malaya bukan Jay Chou

    ARMADA Bersatu Malaysia kecewa kerana Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak digunakan secara penuh untuk perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pada separuh akhir Piala AFF 2018, 87,545 penyokong hadir namun pada tahun ini, 21,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan.

    “Kenapa konsert hiburan oleh penyanyi Taiwan ini begitu penting berbanding maruah sukan negara dan kemahuan penyokong Harimau Malaya? Di saat kita ingin pupuk perpaduan dan patriotisme negara melalui sukan khususnya bola sepak, boleh pula diberi alasan sebegitu.

    “Ini masalah bila Stadium Nasional yang sepatutnya mengutamakan sukan negara digunakan untuk acara lain yang sepatutnya boleh saja dibuat di tempat lain contohnya di Axiata Arena,” katanya di Facebook hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang pada masa sama mengingatkan kerajaan khasnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa, hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih!.

    Tegasnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu gunakan segala kuasa yang beliau ada untuk perbetulkan keadaan ini.

    “Korbankan konsert artis Taiwan ini untuk membolehkan majoriti rakyat yang mahu menonton Harimau Malaya beraksi dalam sukan no. 1 negara!

    “Jangan khianati perjuangan para perwira negara kami! Ini MALAYSIA FIRST!,” katanya.

    Semalam, Yeoh dalam kenyataannya berkata, SNBJ sudah ditempah terlebih dahulu oleh Penganjur Jelajah Dunia Jay Chou pada 2019 sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbuat demikian pada 18 Ogos lalu.

    “Booking (tempahan) stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022.

    “Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew+185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu. Mereka dah delay 2.5hari bagi ruang AFF,” katanya.