Tag: Armada Bersatu

  • ‘Rakyat mahu tahu kenapa ada usaha lengahkan kes Zahid’, kata Wan Fayhsal

    ‘Rakyat mahu tahu kenapa ada usaha lengahkan kes Zahid’, kata Wan Fayhsal

    KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, satu laporan polis mengenai apa yang didakwa sebagai konspirasi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pendakwa Raya bagi melepaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada dakwaan di mahkamah, telah dibuat.

    Menurut Ahli Parlimen Machang itu, laporan berkenaan dibuat oleh pemimpin sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Armada Bersatu dengan hasrat memastikan sistem perundangan di negara ini kekal menyakinkan dan tidak ada campur tangan mana-mana pihak.

    Tegas beliau, perkara itu amat penting untuk ditangani dengan serius untuk memastikan keadilan tidak disongsang sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.

    Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan pihaknya berpendapat terdapat konspirasi politik melibatkan pemimpin negara dalam usaha melengahkan kes yang mempunyai prima facie.

    Beliau turut mendakwa pihak Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut terlibat dalam apa yang disifatkan sebagai kepincangan sistem perundangan negara.

    “Kita nak tahu kenapa SPRM, nak buat semakan semula, membantu melengahkan kes ini walaupun dah ada prima facie.

    “Sedangkan kes boleh berjalan untuk pihak tertuduh iaitu Timbalan Perdana Menteri mempertahankan atau membela diri dengan adil menggunakan saluran yang ada.

    “Kenapa perlu ada semakan semula? Nak tangguh lagi? Ini perkara yang dibangkitkan oleh orang awam. apa jadi kepada sistem kehakiman kita,” katanya selepas membuat laporan polis tersebut, lapor Astro AWANI.

    Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal juga mengajak pimpinan Pakatan Harapan untuk bersama menyatakan bantahan terhadap apa yang berlaku ketika ini.

    “Saya nak tanya rakan-rakan saya dalam Pakatan Harapan, where are you in this matter? Kenapa kamu berdiam diri untuk bersuara berkenaan dengan perkara ini?

    “Ini satu perkara yang amat membimbangkan kerana prinsip perjuangan Pakatan Harapan juga sama dengan kami mendaulatkan undang-undang negara, mempertahankan negara daripada dizalimi oleh kleptokrasi,” katanya lagi.

    Wan Ahmad Fahysal berharap pihak Peguam Negara dan SPRM segera memperbetulkan perkara ini agar tidak terpalit dengan usaha yang dianggap tidak bermoral itu.

  • PKR, DAP dicabar dedah perbelanjaan mewah kempen PRU-15 – Armada

    PKR, DAP dicabar dedah perbelanjaan mewah kempen PRU-15 – Armada

    ARMADA Bersatu mencabar PKR dan DAP untuk mendedahkan butiran perbelanjaan dan sumber kewangan mereka semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu jika mereka berpegang kepada imej bersih dan berintegriti.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kedua-dua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) itu juga mewah berbelanja semasa kempen PRU-15 lalu, malah banyak mengadakan program hiburan, poster besar dan juga sewa helikopter digunakan pemimpin mereka.

    “Adakah PKR dan DAP berani mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan mereka khususnya semasa kempen PRU-15?

    “Kita lihat tidak kurang juga bahan kempen yang digunakan termasuklah mengadakan program hiburan, penggunaan helikopter mewah persendirian oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Machang itu berkata, rakyat dapat meihat dengan jelas sekali bahawa kerajaan PH-BN terdesak untuk membunuh karakter ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ yang sinonim dengan Perikatan Nasional (PN).

    Menurutnya, ini dilakukan dengan langsung menggunakan jentera kerajaan yang terkuat untuk menekan dan menindas parti lawan.

    “Bermula dengan tuduhan bahawa kononnya PN menerima dana dari tauke judi, kepada tuduhan penyelewengan RM600 billion, ternyata bahawa kesemua tuduhan ini tidak pun dapat dibuktikan sehingga ke hari ini.

    “Sebaliknya semua ini bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan demi kegagalan kerajaan ini yang saban hari semakin menampakkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah kerajaan yang berkesan,” katanya.

    Malah Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, ia juga dibuat untuk menutup amalan keji nepotisme di dalam pentadbiran pada hari ini, disamping terus dihantui oleh kes-kes mahkamah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri.

    “Armada Bersatu percaya bahawa rakyat dapat menilai dan membuat pemerhatian yang sewajarnya.

    “Armada Bersatu juga menyeru semua penyokong Perikatan Nasional agar tabah dan bersabar serta tidak tunduk kepada desakan dan tekanan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

    Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu bagi membantu siasatan berhubung siasatan melibatkan kempen pada PRU-15 lalu.

  • KPM diminta beri kuota khas ambil guru Sabah, Sarawak – Armada Bersatu

    KPM diminta beri kuota khas ambil guru Sabah, Sarawak – Armada Bersatu

    SEORANG perwakilan Armada Bersatu hari ini meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kuota khusus untuk rakyat Sabah dan Sarawak dalam program pengambilan khas guru secara ‘one-off’ untuk mengisi kekosongan jawatan itu di kedua-dua negeri berkenaan.

    Exco Armada Nasional Johainizamshah Johari berkata kuota khusus itu dapat menjimatkan kos kerajaan bagi penempatan guru di dua negeri berkenaan selain membuka peluang pekerjaan untuk rakyat.

    Johainizamshah Johari

    “Pada tahun ini, kita lihat KPM akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan jawatan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

    “Pendedahan ini jelas membuktikan bahawa Sabah dan Sarawak menghadapi masalah kekurangan guru. Justeru,saya mengusulkan menerusi pengambilan ini, berilah kuota yang  khusus untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

    “Ini perlu diberikan perhatian kerana pada tahun ini, dilaporkan seramai 840 guru berasal dari Semenanjung ditempatkan di Sabah dan Sarawak bagi tempoh 2018 hingga 2021 bagi memenuhi keperluan opsyen di dua negeri itu,” katanya semasa membahaskan ucapan dasar Ketua Armada pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ketiga, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Armada Perak Faizul Ismail mencadangkan KPM supaya mengkaji silibus pembelajaran di sekolah selaras dengan pindaan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik diwartakan.

    Faizul Ismail

    “Kajian silibus perlu melibatkan pelajar berusia 16 tahun bagi menimbulkan kesedaran kepada mereka sebagai pemilih,” katanya.

    Terdahulu, ucapan dasar Ketua Armada Bersatu dibahaskan selama lima jam bermula 2.30 petang oleh 17 anggota perwakilan.

    Perhimpunan itu kemudian diteruskan dengan ucapan penggulungan dan penangguhan oleh Ketua Armada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Perhimpunan Agung Tahunan Armada berlangsung secara fizikal di Mitec dengan dihadiri 768 anggota perwakilan dari seluruh negara. – Bernama