Tag: APMM

  • Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

    Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

    SEBUAH kapal kargo Malaysia yang membawa muatan besi paip dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang semalam berkaitan kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang berdaftar di Malaysia.

    Menurutnya, maklumat diterima susulan laporan polis yang dibuat pukul 12.11 tengah hari semalam oleh ejen kapal yang dikendalikan lima kru itu.

    Katanya, laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti di Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.

    Beliau menjelaskan, lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

    “Maklumat terkini yang diperolehi pada 10.42 malam semalam, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

    “Isyarat kecemasan ini dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat APMM Johor di Johor Bahru, hari ini, lapor Harian Metro.

    Nurul Hizam berkata, Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

    Beliau berkata, Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kapal kargo berkenaan.

    Menurutnya, MRSC Johor Bahru turut menghantar IMB Piracy Alert dan Navigational Telex (NAVTEX) bagi memohon bantuan komuniti Maritim sekiranya memiliki maklumat berkaitan kehilangan kapal berukuran 52 meter itu.

    Ketika diminta mengulas sama ada kejadian berkenaan terdapat unsur serangan lanun mahupun masalah teknikal kapal berikutan cuaca buruk, Nurul Hizam menyatakan tidak mahu membuat sebarang andaian.

    “Kita tidak mahu membuat sebarang andaian apa yang terjadi tanpa mendapat gambaran atau maklumat jelas.

    “Kita terus berkomunikasi dengan Indonesia dan meminta bantuan untuk mengesan kapal berkenaan,” katanya.

  • Maritim Malaysia rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta

    Maritim Malaysia rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup satu juta batang rokok putih bernilai lebih RM1 juta di Tumpat, Selasa lepas.

    Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata ia hasil kejayaan selepas bot peronda APMM mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak laju ke perairan muara Tumpat pada 3.30 pagi.

    “Bot peronda bertindak mengejar bot pancung sehingga memasuki perairan alur Sungai Padang Tambun.

    “Keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot peronda terpaksa bergerak perlahan seterusnya meminta bantuan pasukan darat untuk mencari bot pancung di kawasan sekitar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.

    Syed Nor Adli berkata semasa melakukan pencarian, pasukan APMM menemukan dua lori di tebing Sungai Tambun pada 6.10 pagi dan dipercayai terdapat barangan seludup dipindahkan daripada bot yang dicari ke dalam dua lori tersebut.

    “Pemeriksaan pada lori pertama menemukan 70 bungkusan plastik hitam manakala 30 bungkusan plastik hitam di dalam lori kedua.

    “Kesemua 100 bungkusan tersebut mengandungi kira-kira satu juta batang rokok putih yang dianggar bernilai RM1.04 juta termasuk cukai. Dua lori itu dianggar bernilai RM55,000,” katanya dan menambah kes disiasat lanjut di bawah Akta Kastam 1967. – BERNAMA                       

  • Ceroboh perairan negara, bot nelayan asing Indonesia ditahan

    Ceroboh perairan negara, bot nelayan asing Indonesia ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah  bot nelayan Indonesia bersama empat kru pada kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi, pukul 1.10 tengah hari kelmarin.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan Kapal Maritim (KM) SIKUATI sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara semasa rondaan rutin Op Tanjung. 

    Menurut beliau, ketika pemeriksaan dilakukan, bot yang dikendalikan empat kru warga Indonesia termasuk tekong kesemua lelaki berumur sekitar 27 hingga 47 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Kesemua mereka ditahan dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu tambah beliau, KM SIKUATI turut mengusir tiga bot nelayan asing Indonesia pada awal pagi kelmarin sekitar pukul 7 hingga 8 pagi yang dikesan berada di kawasan “Unresolved Maritime Boundary” iaitu kira-kira 80 batu nautika dari barat Pulau Kendi kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

    Jelasnya, bot bersama kru termasuk tekong dibawa masuk ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.  

    “Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di sempadan perairan negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sentiasa terjamin,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Kapal OPV 1 APMM tiada masalah

    Kapal OPV 1 APMM tiada masalah

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan dakwaan sebuah kapal peronda baharu miliknya mengalami masalah, berikutan video merakamkan kapal itu berada dalam keadaan condong.

    Ketua Pengarahnya, Zubil Mat Som dalam laporan Free Malaysia Today berkata, Kapal Peronda Luar Pesisir 1 (OPV 1) itu tidak mengalami sebarang masalah semasa dilancarkan.

    “Kapal itu berada dalam keadaan baik,” katanya yang turut berkongsi gambar terbaharu kapal itu yang berlabuh berhampiran limbungan.

    Kapal OPV 1 dilancarkan di limbungan TH Heavy Engineering (THHE), Pelabuhan Klang pada Isnin lalu, tetapi video menunjukkan kapal itu senget tersebar di media sosial.

    Pengurus Besar THHE, Azizul Hanafee Zain berkata, kejadian itu berlaku ketika pekerja memotong kabel besi yang dipasang untuk menyokong struktur di bawah kapal.

    “Apabila kabel di satu bahagian dipotong, ia menyebabkan kapal itu ditarik ke arah lain.

    “Kami memang menjangkakan keadaan ini. Kedudukan kapal kembali normal selepas semua kabel dipotong,” katanya.

    OPV1 dijadualkan menjalani beberapa ujian dan sesi latihan bersama kru selama tiga bulan sebelum ditugaskan ke Beting Patinggi Ali di Sarawak pada awal 2023.

  • Ceroboh perairan negara: 2 bot, 19 kru warga Vietnam ditahan

    Ceroboh perairan negara: 2 bot, 19 kru warga Vietnam ditahan

    DUA bot nelayan asing bersama 19 kru warganegara Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing bersama Pasukan Polis Marin (PPM) kerana menceroboh perairan negara.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

    Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat 19 kru termasuk tekong, disyaki warga Vietnam berumur antara 18 hingga 51 tahun.

    “Kesemua mereka didapati gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

    “Dua bot berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dianggarkan 3,000 kilogram dirampas. Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3.1 juta.

    “Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Maritim Malaysia dalam laporan itu mengingatkan seluruh komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan.

    Sebarang aduan jenayah boleh hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

  • PAC akan mulakan siasatan projek kapal OPV belum siap

    PAC akan mulakan siasatan projek kapal OPV belum siap

    JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan akan menyiasat perolehan kapal peronda luar persisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, jawatankuasa berpendirian APMM dan KDN perlu menjelaskan kelewatan penerimaan OPV kepada Parlimen.

    “Ini bagi memastikan rakyat-rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku,” kata Wong dalam kenyataan hari ini.

    Pada 2017, THHE Destini Sdn Bhd mengumumkan syarikat itu telah mendapat kontrak berjumlah RM738 juta untuk membina tiga buah OPV dalam tempoh “tiga setengah tahun”.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som pada 13 September lalu menyatakan ketiga-tiga kapal itu masih dalam pembinaan, dengan kapal pertama dijangka hanya akan diserahkan pada tahun depan.

    Kapal OPV adalah berdasarkan kapal kelas 1800 Damen Group yang berpangkalan di Belanda.

    Wong berkata lagi, pihaknya akan memanggil APMM dan KDN serta Kementerian Kewangan dan syarikat terlibat untuk memberi penjelasan.

    “Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

    Siasatan PAC sebelum ini mendapati satu lagi projek kapal, iaitu kapal tempur pesisir (LCS) untuk TLDM, dipenuhi pelbagai kejanggalan.

    Selain penangguhan penyiapan dan peningkatan kos, PAC juga mendapati rekaan yang dipilih tidak mengikut spesifikasi TLDM.

  • Bot karam: Nelayan hilang ditemukan lemas

    Bot karam: Nelayan hilang ditemukan lemas

    SEORANG nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Bagan Lipas dekat Lumut semalam ditemukan lemas. 

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata mayat lelaki itu ditemukan terapung pada kira-kira pukul 11.30 pagi oleh nelayan setempat. 

    “Kita telah terima laporan insiden bot karam pagi semalam pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut perairan Bagan Lipas dan telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat). 

    “Operasi yang bersambung hari ini berjaya menemukan mangsa dan Op Carilamat telah ditamatkan 12.40 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Beliau berkata mangsa berusia 56 tahun dan berasal dari Kuantan, Pahang bekerja sebagai nelayan sebuah syarikat perikanan dekat Hutan Melintang.

    Katanya dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi itu, bot nelayan dinaiki tiga lelaki dimasuki air dan ketiga-tiga mereka terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri. 

    Dua daripada mereka yang merupakan warga Indonesia sempat mencapai tong air untuk terapung manakala mangsa gagal menyelamatkan diri dan dihanyutkan arus deras.

    Susulan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Op Carilamat dan Bot Petir 83 daripada MN Selangor telah diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan penugasan operasi. 

    Beliau berkata Op Carilamat turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Balai Polis Rungkup dan Komander Operasi Komponen Maritim (MCOC).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan berkata bot terbabit dikatakan berlabuh di muara Bagan Lipas bagi tujuan rehat sebelum kembali ke pelantar di Hutan Melintang.

    “Mereka keluar menangkap ikan pada 13 Sept lepas di lima batu nautika dari kawasan pelantar dan bot mereka tenggelam sekitar pukul 3 pagi. 

    “Operasi menyelamat telah dilakukan pada hari sama pada 12 tengah hari namun terpaksa memberhentikan operasi pada 7 malam akibat cuaca gelap sebelum disambung hari ini,” katanya. 

    Beliau berkata mayat mangsa ditemukan tersangkut pada tiang sebuah kelong di Muara Sungai Bagan Lipas dan mayat telah dikenal pasti oleh waris mangsa sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.- BERNAMA

  • Lima nelayan hilang bot karam, APMM lancar Carilamat

    Lima nelayan hilang bot karam, APMM lancar Carilamat

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan bot dinaiki enam nelayan tempatan dipercayai karam lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang, Isnin lepas. 

    Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira 10 malam dan setakat ini seorang mangsa ditemukan selamat iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun manakala lima lagi termasuk tekong masih belum dapat dikesan.

    Beliau berkata bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan. 

    “Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan juga telah mengaktifkan Carilamat semalam bagi mengesan bot tersebut. Bot Maritim PERKASA 1234 digerakkan ke kawasan bot tersebut dilapor karam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, bagi Carilamat hari kedua, sektor pencarian diperluas sehingga 242 batu nautika dan beberapa aset telah diatur gerak awal pagi tadi seperti Aset Kapal Maritim (KM) REDANG, aset udara Bombardier CL415 bersama bot PERKASA 1234. 

    Katanya, APMM menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357.- BERNAMA

  • Mayat penyelam ditemukan di Sungai Besar

    Mayat penyelam ditemukan di Sungai Besar

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAYAT seorang penyelam ditemukan terapung oleh nelayan tempatan pada kedudukan 8.7 batu nautika barat daya Sungai Besar, Sabak Bernam semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, mayat lelaki itu yang lengkap berpakaian penyelam berserta balang oksigen, ditemukan kira-kira pukul 3 petang.

    Nelayan terbabit kemudian menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memaklumkan penemuan tersebut.

    “Pasukan mencari dan menyelamat APPM, berserta bot Pasukan Polis Marin (PPM) bertindak ke lokasi kejadian bagi mengesan mayat berkenaan, dan telah ditemukan terapung sekitar pukul 6 petang.

    “Pasukan Polis Marin telah membawa mayat ke jeti Nelayan Sungai Besar pada jam 9 malam, sebelum dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk proses pengecaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Rosli berkata, penemuan mayat berkenaan mempunyai kaitan dengan insiden kehilangan seorang penyelam di perairan Sungai Besar pada 3 Ogos lalu.

    Dalam kejadian itu, seorang penyelam, Calvin Patrick Lazaroo, 27, dipercayai telah melakukan selaman bersama tiga rakan yang lain, bagi tujuan mengikat tali pada bot karam sebelum mangsa hilang pukul 10.30 pagi, dan tidak timbul ke permukaan air di perairan Sungai Besar.

    Pencarian telah dilakukan sekitar perairan Sungai Besar dengan melibatkan dua aset APMM, satu aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia, dua aset dari PPM serta komuniti nelayan, manakala pencarian melalui udara dilakukan oleh pesawat dari APMM dan polis. – SB