Tag: Anwar

  • Anwar, kenapa hanya bangkitkan isu Rohingya di China?

    Anwar, kenapa hanya bangkitkan isu Rohingya di China?

    DALAM satu lawak ngeri ketika lawatan rasmi ke China minggu lepas, Perdana Menteri, DatuK Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping membangkitkan isu Rohingya.

    Ada dua sebab mengapa ia lawak ngeri. Pertama, Anwar sendiri mengakui yang China mengamalkan dasar tidak campur tangan walaupun mereka rapat dengan Myanmar, jadi mengapa masih bangkitkan?

    Tambahan pula, isu Rohingya adalah isu salah sebuah ahli negara Asean, organisasi yang turut mengamalkan prinsip tidak campur tangan.

    Ia merupakan salah satu prinsip teras pembentukan Asean, walaupun organisasi serantau itu dalam satu tindakan bersejarah pada 2021 tidak menjemput pemimpin Myanmar ke Sidang Kemuncak Asean di Brunei kerana isu rampasan kuasa junta.

    Tindakan Anwar ‘bertanyakan’ kepada Jinping tentang Rohingya secara tidak langsung adalah tindakan menjemput kuasa besar masuk campur dalam isu ahli Asean.

    Kedua, ketika Anwar ‘bertanyakan’ tentang Rohingya, etnik Uighur di Xinjiang yang terus ditindas tidak menjadi topik perbualan.

    Krisis kemanusiaan Xinjiang disifatkan negara dunia antaranya, United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat sebagai penghapusan bangsa dan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggapnya sebagai jenayah kemanusiaan.

    Untuk konteks, dianggarkan terdapat 11 juta penduduk etnik Uighur beragama Islam menetap di Xinjiang.

    Berdasarkan siasatan pelbagai badan hak asasi manusia dunia, kerajaan China memenjarakan lebih 1 juta orang etnik Uighur sejak 2017.

    Bagi yang tidak dipenjara, mereka dikenakan sekatan beragama, dipantau ketat, menjadi buruh paksa dan menjalani proses pemandulan paksa.

    Kalaupun kita mahu bersangka baik dengan pertanyaan Anwar kerana menurutnya ‘ada hampir 200,000 pelarian Rohingya’ di Malaysia sebagai sebab beliau membangkitkan isu itu kepada Jinping, itu sekadar borak kosong.

    Beliau sudah tahu jawapan Jinping dan kompleksiti hubungan antarabangsa yang setiap pertemuan adalah untuk mendapat manfaat terbaik membuatkan kita garu kepala. Ini bukan borak kedai kopi.

    Isu penindasan Uighur adalah isu rumit kerana ia adalah program sistemik penindasan hak asasi ditaja negara.

    China bukan asing dalam perkara ini, negara itu misalnya melaksanakan The Great Proletarian Cultural Revolution (1966-1976) dan One Child Policy (1980-2016).

    Dalam kes penindasan Uighur, China menyifatkannya sebagai ‘program pendidikan semula’ dalam ‘pusat latihan dan pendidikan vokasional’.

    Pelbagai pemerhatian dan kajian pakar menganggarkan program itu bermula pada 2014 dan diperhebat pada 2017.

    Pada tahun itu, pakar mengesan bukti pembinaan ‘pusat pendidikan semula baharu’ dan peluasan fasiliti sedia ada untuk penahanan besar-besaran.

    Laporan Reuters berdasarkan kajian imej satelit turut menemui 39 kem, meningkat tiga kali ganda antara April 2017 hingga Ogos 2018.

    Keluasan kawasan ini bersamaan dengan saiz 140 padang bola sepak.

    Malah, kajian ke atas perbelanjaan kerajaan tempatan dan pusat China turut mendapati bajet untuk pembinaan fasiliti berkaitan sekuriti di Xinjiang meningkat 20 bilion yuan pada 2017 sahaja.

    Pada hujung 2019, gabenor Xinjiang mengatakan mereka yang ditahan sudah ‘bergraduasi’ dan pusat sudah ditutup. Tetapi pada 2020, penyelidik Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) mengenal pasti lebih 380 kem disyaki pusat tahanan berdasarkan kajian imej satelit.

    Badan pemantau hak asasi global, Human Rights Watch turut melaporkan lebih setengah juta orang didakwa sejak 2017 di Xinjiang.

    Menurut laporan Associated Press pula, di satu daerah dianggarkan satu daripada 25 orang dipenjara atas pelbagai dakwaan berkaitan keganasan, kesemua mereka daripada etnik Uighur.

    Isu Rohingya di Myanmar juga tidak kurang dahsyat, selepas krisis pelarian Rohingya 2015 dan siri serangan tentera di Negeri Rakhine pada 2016 dan 2017, lebih sejuta orang menjadi pelarian di Bangladesh dan negara-negara Islam lain.

    Lebih 100,000 orang Rohingya pula masih ditahan dalam kem di Myanmar.

    Pertimbangan sekarang bukan untuk membandingkan krisis mana lebih buruk, persoalan sekarang mengapa Anwar hanya membangkitkan isu Rohingya?

    Sehingga sekarang, pendirian rasmi Wisma Putra berkaitan isu Uighur adalah ‘tiada pandangan’, malah perwakilan negara juga tidak hadir ketika sesi mengundi Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk mengadakan sesi perdebatan berkaitan isu Uighur.

    Untuk rekod, semua negara Islam dalam majlis seperti Pakistan, Qatar, Indonesia sama ada mengundi tidak untuk perdebatan atau tidak hadir mengundi.

    Bagi Malaysia, yang sekian lama dikenali sebagai antara negara Islam progresif, tindakan itu sangat mengecewakan.

    Negara kita tidak asing dalam perjuangan membela hak penganut Islam yang tertindas, misalnya kita antara paling aktif mengecam Israel dan membela hak pelarian ketika Perang Bosnia.

    Mengapa dalam jenayah kemanusiaan terhadap Uighur ini kita membisu? Adakah kerana gentarkan kuasa dan kepentingan pelaburan China? Agaknya jika kita mempunyai hubungan diplomatik dan pelaburan ekonomi dengan Israel, perjuangan rakyat Palestin juga tidak akan dipandang.

    Pentadbiran Anwar Ibrahim tidak boleh meneruskan legasi dasar diplomatik ‘tiada pandangan’ dalam isu Uighur.

    Kerajaan menjanjikan pembaharuan tata kelola dan dasar untuk kemakmuran negara dan sudah tiba masanya kita turut melakukan pembaharuan ke atas dasar luar.

    Solidariti terhadap rakan seagama tidak boleh secara terpilih, atau inikah wajah sebenar Malaysia, hanya tunjuk berani kepada yang tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada kita?

    Khairul Adam adalah pembaca MalaysiaNow.

    *Tulisan ini yang disiarkan MalaysiaNow adalah pandangan peribadi yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Warta Rakyat.

  • Projek tebatan banjir disegerakan untuk kurangkan impak bencana – Anwar

    Projek tebatan banjir disegerakan untuk kurangkan impak bencana – Anwar

    PROJEK-projek tebatan banjir akan disegerakan untuk mengurangkan impak bencana itu di negara ini pada masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican telah diarahkan untuk menyegerakan projek-projek tebatan banjir itu.

    “Saya telah minta Perbendaharaan untuk segerakan proses tender segera untuk mengurangkan tekanan bagi tahun-tahun akan datang,” katanya ketika berucap melancarkan Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) Pasca Banjir ke Johor di sini hari ini.

    Seramai 1,520 penjawat awam yang mewakili pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan menyertai misi pascabanjir selama dua hari itu, yang dikhususkan ke kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempena majlis pelepasan pasukan itu, misi berkenaan lebih tertumpu dan bersasar kepada aspek pembersihan fasiliti perubatan, fasiliti pendidikan, bangunan kerajaan serta tempat awam.

    Pada 17 Mac lepas, Anwar mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

    Anwar pada majlis hari ini merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang menyertai misi pascabanjir di Johor itu serta menyifatkannya sebagai tindakan luar biasa.

    “Kehadiran saudara saudari, percayalah dapat mengurangkan (beban) rakyat yang tertekan. Saya berdoa kita semua dapat jalankan tugas dengan ikhlas dan diberkati,” katanya.

    Anwar berkata mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) juga telah diminta untuk membantu misi pascabanjir di Johor.

    “Pascabanjir ini mencabar, kita tahu jabatan dan keluarga di Johor tidak mampu kendalikan kecuali ada usaha tambahan,” katanya.

    Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat menunjukkan penurunan dengan 6,740 orang masih ditempatkan di 43 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 7,972 orang di 44 PPS yang direkodkan pada 8 malam tadi.

    Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. – BERNAMA

  • Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam, RM300 pesara

    Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam, RM300 pesara

    KERAJAAN bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM350 turut disalurkan kepada pesara kerajaan. 

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan itu diberi sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam. 

    “Kerajaan silih berganti, pemimpin negara kerap bertukar tetapi penjawat awam sebagai tulang belakang kerajaan setia menggalas amanah negara.

    “Ke arah Malaysia MADANI, penjawat awam perlu segera bawa perubahan, menerapkan pembaharuan dengan matlamat akhir menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini. 

    Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

    Beliau berkata kerajaan turut bersetuju untuk memberi elaun khas RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang terlibat dalam misi di Turkiye dan Syria. 

    “Elaun ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan ke atas jasa besar yang diberikan atas nama kemanusiaan,” kata beliau.

    Sementara itu, bagi memastikan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang berkesan, beliau berkata Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah mengambil startegik dengan menaik taraf perkhidmatan MyGovCloud.

    “Perkhidmatan ini mampu berfungsi secara hibrid dengan turut menggabungkan perkhidmatan public cloud oleh penyedia perkhidmatan awan yang dilantik kerajaan,” katanya. – BERNAMA

  • Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah lebih awal tidak mengambil gaji, iaitu sejak COVID-19 melanda negara kerana Seri Paduka cakna dengan keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak COVID-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak COVID-19. Saya ingat eloklah kita beri penjelasan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini  hari ini.

    Anwar sebelum ini menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan perdana menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

    Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 Nov.

    Jemaah Menteri turut bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan atas atas semangat keprihatinan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.

    Sementara itu, Anwar menyatakan keyakinan pemimpin parti politik Kerajaan Perpaduan akan menyokong usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen 19 Dis ini.

    “Ketua parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan beberapa parti lain telah beri komitmen.

    “Insya-Allah, kita dapat teruskan dengan baik…minta doakan sebaiknya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin akan memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat ketika usul undi percaya itu dibentangkan pada persidangan Parlimen itu, Isnin depan.

    Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.

    Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

    Anwar semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri. – BERNAMA

  • GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di sini hari ini, Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

    “Ini akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerja-kerja mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat,” katanya.

    Jumlah kerusi diperlukan untuk mendapatkan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat adalah 148 kerusi.

    Mengenai pembentukan Kabinet, Anwar berkata saiznya akan diperkecilkan dan beliau akan meminta persetujuan daripada ahli-ahli yang akan dilantik nanti untuk mengurangkan gaji mereka.

    Menurutnya, pembentukan Kabinet masih dalam perbincangan dan akan diumumkan segera mungkin.

    Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti-parti terlibat berhubung pembentukan Kabinet.

    “Parti masing-masing akan mengusulkan nama. Jadi, saya harus berikan pertimbangan sedemikian,” katanya ketika ditanya mengenai pecahan anggota Kabinet mengikut parti.

    Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri malam tadi, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Anwar sebelum ini dilaporkan berkata akan mengecilkan saiz Kabinet kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding jumlah 31 menteri dalam pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA  

  • DUN Selangor, N. Sembilan dan P. Pinang tidak dibubar tahun ini

    DUN Selangor, N. Sembilan dan P. Pinang tidak dibubar tahun ini

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hanya akan dibubarkan tahun depan iaitu pada satu tarikh yang akan diumum kelak, menurut Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

    Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diperoleh menerusi satu perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada hari ini berhubung isu tarikh pembubaran DUN di negeri berkenaan.

    Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di bangunan Parlimen di sini berkata pendirian pemimpin di ketiga-tiga negeri itu adalah menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa berdepan bencana itu.

    “Oleh yang demikian, mereka (negeri berkenaan) tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir dijangka Februari, Mac dan mereka ada ruang atau wewenang untuk menetapkan (tarikh) selepas itu.

    “Pokoknya (negeri berkenaan) tidak akan bersama dengan Kerajaan Persekutuan seandainya pilihan raya diadakan semasa banjir kerana pada anggapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan mereka tidak harus tambah derita dan penderaan kepada rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir,” katanya.

    Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Anwar yang juga Presiden PKR, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. 

    Sementara itu, Anwar mengumumkan PH bersetuju menggunakan logo baharu, namun gabungan itu akan menggunakan logo lama untuk pilihan raya akan datang sekiranya diadakan dalam masa terdekat kerana kesukaran melibatkan logistik.

    “Maknanya soal logo ini tidak perlu dibincangkan lagi… saya ucap terima kasih kerana ketua-ketua parti PH itu menghargai pandangan, kita juga bersama dan bersetuju tetapi kepentingan kita ialah untuk menghadapi pilihan raya segera,” katanya.

    Berkenaan perkembangan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam PH, Anwar berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

    Pada 21 Sept, Majlis Presiden PH dilaporkan memaklumkan bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    Majlis Presiden PH memaklumkan jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen gabungan itu iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Steven Sim Chee Keong (DAP), Mohd Hasbie Muda (Amanah) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO).- BERNAMA