Tag: Anthony Loke

  • Kedah Aerotropolis: Belum sampai masa mohon lesen AOL, kata Sanusi

    Kedah Aerotropolis: Belum sampai masa mohon lesen AOL, kata Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis ketika ini masih belum sampai ke tahap yang memerlukan pihak terlibat memohon lesen aerodrome (AOL) seperti didakwa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini.

    Menjelaskan perkara itu, Muhammad Sanusi berkata, Anthony juga dalam masa sama seakan mengubah sedikit tuduhannya terhadap negeri ini, hari ini apabila mendakwa Kedah tidak tidak pernah memohon lesen aerodrome kepada kementeriannya.

    Sedangkan katanya, sebelum ini Anthony mendakwa kerajaan negeri tidak pernah mengemukakan apa-apa permohonan berkaitan projek tersebut.

    “AOL iaitu lesen pengurusan ruang angkasa yang berada di bawah bidang kuasa beberapa pihak iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta beberapa pihak lain hanya boleh dipohon oleh operator lapangan terbang.

    “Operator lapangan terbang akan mengemukakan permohonan itu setelah lapangan terbang siap dan bersedia untuk memulakan operasi penerbangan. Pada peringkat ini AOL belum lagi diperlukan dan permohonan lesen itu tidak perlu dibuat lagi,” katanya.

    Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai perkembangan Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) serta permohonan Kedah mengenai projek itu di Dewan Rakyat hari ini, Anthony mendakwa kementeriannya itu belum menerima permohonan aerodrome secara rasmi.

    Berikutan itu Anthony mendakwa, soal kerajaan menolak pembangunan projek berkenaan tidak berbangkit kerana permohonan aerodrome secara rasmi belum dibuat.

    Muhammad Sanusi menambah, hal itu sudah pun dijelaskan secara terperinci dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 15 Mac lalu.

    “Kita belum duduk lagi, takkan ‘depa’ nak suruh bersila dah? Apa yang dilaksanakan kerajaan Kedah setakat ini adalah permohonan kelulusan untuk membina lapangan terbang sebagai ‘enabler’ kepada industri hub kargo serta penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO).

    “Sekarang ini, belum sampai kepada peringkat permohonan memohon AOL yang harus dilakukan mengikut turutan proses projek,” katanya.

  • Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

    Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan itu berkata dalam politik, pemasaan sangat penting untuk membuat sebarang keputusan mengenai parti.

    “Dalam politik, yang penting adalah pemasaan… sesuatu perkara yang hendak dilakukan perlu dipertimbang… apabila sampai masanya, keputusan akan dibuat, jadi memang ada prosesnya untuk kita berbincang dan berunding,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Bakat Belia N9 2022 di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata fokus ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar kerana rakyat mahu melihat Kerajaan Perpaduan berfungsi dan menjalankan tugas dengan baik.

    “Kalau pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat, masih ada tempoh 60 hari baru ada pilihan raya. Masing-masing ada pengalaman yang cukup, jadi saya tidak bimbang soal lambat untuk berunding, tidak timbul masalah itu,” katanya.

    Enam negeri yang terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan politik itu belum memulakan perbincangan mengenai kerjasama dengan BN untuk menghadapi PRN. – BERNAMA

  • Permit operasi syarikat lori terlibat kemalangan di Gerik digantung sementara

    Permit operasi syarikat lori terlibat kemalangan di Gerik digantung sementara

    PERMIT operasi syarikat lori yang terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak yang mengakibatkan kematian seorang bayi, akan digantung sementara untuk dilakukan audit ke atas semua lori syarikat itu.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori dan syarikat berkenaan.

    “Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini yang kehilangan bayi sulung mereka. Salam takziah kepada keluarga.

    “Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalan raya,” katanya yang turut berkongsi video berdurasi 16 saat memaparkan kemalangan itu.

    Tular di media sosial luahan mangsa kemalangan itu yang kesal dengan sikap pemandu lori didakwa membawa muatan melebihi had sehingga menyebabkan muatan tersebut terjatuh dan menimpa kenderaan lain.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood dilaporkan berkata polis telah menahan pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di KM69 Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli) pada 29 Okt lepas itu, ketika lelaki itu melalui sekatan jalan raya Batu Melintang di Jeli, Kelantan, pada hari sama.- BERNAMA