Tag: angkuh

  • Pinggir minoriti tak benar, toleransi orang Melayu faktor keamanan negara

    Pinggir minoriti tak benar, toleransi orang Melayu faktor keamanan negara

    KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan orang Melayu supaya tidak angkuh sehingga meminggirkan kumpulan minoriti adalah tidak benar sama sekali.

    Menurut Naib Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Abdul Samad Ashaari, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada pemimpin utama negara kerana boleh menyinggung perasaan orang Melayu.

    Menurutnya, kenyataan itu juga seolah-olah menunjukkan orang Melayu di negara ini tidak menghormati kaum lain dengan baik sedangkan sejak merdeka orang Melayu merupakan bangsa yang amat bertoleransi dalam menerima kepelbagaian bangsa, budaya dan agama.

    “Kontrak sosial merupakan bukti keterbukaan dan pengorbanan orang Melayu menerima bangsa lain dan sama-sama hidup dengan harmoni dalam negara ini.

    “Bukan sekadar berkongsi untuk menerima kepelbagaian kaum dalam negara ini malah orang Melayu juga rela memberi puluhan ribu ekar tanah kepada bangsa lain ketika itu.

    “Kita harus menerima hakikat dengan toleransi orang Melayu yang tinggi inilah sebagai faktor utama keamanan negara dapat dicapai sehingga ke hari ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau mengulas kenyataan Anwar yang mengingatkan orang Melayu supaya tidak terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap kelompok minoriti lain tidak boleh diraikan untuk hidup bersama dalam sebuah negara.

    Dalam pada itu, Abdul Samad berkata, merujuk kepada laporan terbaharu Forbes Billionaires List yang dikongsikan oleh The Edge pada Rabu, daripada 15 orang terkaya di Malaysia hanya seorang Melayu yang tersenarai berbanding bangsa lain.

    “Terbukti walaupun bangsa Melayu merupakan bangsa pribumi dan majoriti di negara ini tetapi tetap meraikan bangsa-bangsa lain dan diberi kebebasan sehingga kaum minoriti lebih kaya daripada kaum majoriti dalam bidang ekonomi dan bidang lain,” jelasnya.

  • Perlekeh, angkuh, tidak sensitif pemberian air percuma-Muhyiddin

    Perlekeh, angkuh, tidak sensitif pemberian air percuma-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang merendah-rendahkan dua tawaran manifesto PN bagi meringankan golongan berpendapatan rendah.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Mohamed Khaled dilihat tidak sensitif malah tidak wajar merendah-rendahkan tawaran yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai.

    “Kita menawarkan untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma kepada rakyat di bawah kategori B40 di Johor tetapi seorang bekas Menteri Besar UMNO mempersendakan komitmen itu.

    “Ini jelas menunjukkan sikap tidak sensitif dan angkuh. Beliau tidak peka dengan nasib rakyat Johor terutama mereka yang pendapatannya terjejas teruk

    “Beliau juga kata perkara ini telah dilakukan sebelum ini dan tetapi ini bukan soal meniru tetapi bagaimana untuk membantu rakyat.

    “Perkara kecil seperti ini amat bermakna kepada rakyat tetapi tidak bagi mereka kerana mereka sudah kaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini.

    Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Pada 2 Mac menerusi manifesto PN yang dipanggil Ikrar IKRAR Perikatan Nasional#DemiBangsaJohor yang dilancarkan oleh Muhyiddin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, antaranya menawarkan penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan serta pemberian air percuma.

    Menerusi satu entri dimuat naik dalam Facebook Mohamed Khaled memaklmkan, kerajaan negeri Johor terdahulu telah melaksanakan inisiatif untuk menyediakan 10 meter padu air percuma kepada mereka dalam kategori B40 dalam Bajet Johor 2021.