ANGKA kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye pada 6 Feb kini meningkat kepada 43,556 nyawa, kata Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu pada Rabu.
Soylu membuat kenyataan itu ketika bersiaran langsung di Hatay, antara 11 wilayah yang dilanda gempa bumi.
Kerajaan memerlukan tempoh masa tertentu untuk bertindak balas apabila berhadapan dengan situasi 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).
Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras turut menjejaskan 10 wilayah lain iaitu Hatay, Gaziantep, Adıyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.
Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye akan mula membina lebih 200,000 kediaman seawal Mac di kawasan bencana dan pembinaan dijangka siap dalam tempoh satu tahun. – BERNAMA
ANGKA kematian akibat dua gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, kelmarin meningkat lebih 7,800 orang hari ini.
Lapor BBC, pasukan penyelamat kini berusaha untuk menyelamat sebanyak mangsa yang boleh susulan gempa dengan kekuatan 7.8 magnitud berhampiran Gaziantep diikuti gempa susulan 7.6 magnitud yang menjejaskan selatan Turkiye dan utara Syria.
Usaha menyelamat di Turkiye turut disertai waris mangsa yang berusaha meyelamatkan saudara mara mereka dengan menggunakan peralatan sendiri termasuk linggis.
Penduduk Kahramanmaras di Turkiye memanaskan badan dengan membina unggun api di luar sisa runtuhan rumah yang musnah.
Malah di beberapa kawasan seperti wilayah Hatay, penduduk mendakwa pasukan menyelamat lambat bertindak menghulurkan bantuan ketika pasukan penyelamat berdepan masalah kekurangan jentera berat.
Lapor AFP, sebanyak 5,894 kematian dilaporkan di Turkiye manakala sekurang-kurangnya 1,932 kematian di Syria.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semalam mengumumkan perintah darurat di 10 wilayah negara itu yang terjejas selama tiga bulan.
Wartawan AL Jazeera di Kahramanmaras, pusat gempa di Turkiye melaporkan pasukan penyelamat bekerja selama 24 jam mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan walaupun bergelut dengan cuaca sejuk.
“Cuaca ekstrim, ketiadaan elektrik, makanan dan air mengakibatkan penduduk amat bergelut ketika ini.
“Namun usaha menyelamat digiatkan bagi mengeluarkan tiga mangsa yang menunggu untuk diselamatkan di bawah runtuhan bangunan,” kata wartawan, Resul Serdar.
Di Hatay, sekurang-kurangnya 1,647 orang terbunuh setakat petang semalam, angka kematian tertinggi setakat ini di Turkiye.
Usaha menyelamat tambah sukar selepas landasan lapangan terbang rosak teruk memaksa kemudahan itu ditutup.
Di Syria, sekurang-kurannya 812 kematian dilaporkan di kawasan yang dikawal kerajaan melibatkan Aleppo, Latakia, Hama, Idlib dan Tartous.
Agensi Pertahanan Awam Syria, yang dikenali sebagai “White Helmets,” melaporkan terdapat kira-kira 1,120 kematian di kawasan yang dikawal oleh pembangkang manakala 2,500 lagi cedera.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata, pihaknya menghantar kelengkapan pembedahan cukup merawat 100 orang ke hospital di Aleppo manakala kelengkapan perubatan turut dihantar ke Aleppo, Latakia dan Tartous beserta ribuan makanan dalam tin.
ANGKA kematian akibat gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria boleh meningkat kepada lebih 20,000 orang.
Pegawai kecemasan kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Catherine Smallwood berkata, kemungkinan itu berdasarkan pemerhatian agensi itu dalam kes-kes terdahulu melibatkan kejadian bencana gempa.
“Terdapat kemungkinan berlaku runtuhan berterusan, jadi kami sering melihat kebarangkalian lapan kali ganda peningkatan pada angka awal.
“Kami sentiasa melihat perkara yang sama melibatkan gempa bumi, iaitu laporan awal jumlah mangsa yang meninggal dunia atau cedera meningkat dengan ketara pada minggu berikutnya,” kata Smallwood, menurut laporan Astro AWANI.
Angka kematian akibat gempa bumi kuat 7.8 magnitud yang menggegarkan Turkiye dan Syria semalam mencecah 4,300 orang setakat pukul 10 pagi waktu Malaysia.
Jumlah kematian di Turkiye meningkat kepada 2,900 orang, kata Naib Presiden Turki Fuat Oktay.
Di Syria, 711 kematian dilaporkan di kawasan yang dikawal kerajaan, manakala Agensi Pertahanan Awam Syria “White Helmets” melaporkan 740 kematian di kawasan yang dikawal pembangkang.