Tag: anggota

  • Anggota, pegawai polis ditahan sertai pertubuhan haram

    Anggota, pegawai polis ditahan sertai pertubuhan haram

    BEBERAPA anggota dan pegawai polis ditahan kerana terlibat dengan aktiviti pertubuhan haram di Dungun, kelmarin.

    Menerusi operasi khas yang dijalankan pihak Bukit Aman itu, turut ditahan beberapa orang awam.

    Pertubuhan berkenaan dipercayai aktif dalam kalangan anggota terbabit sejak beberapa tahun lalu.

    Polis turut merampas beberapa kenderaan selain pelbagai barang, antaranya telefon bimbit, senjata tajam, baju berlogo, borang keahlian serta pelekat.

    Difahamkan semua tangkapan telah direman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pertubuhan 1966.

    Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    “Siasatan masih dijalankan dan satu sidang media akan dibuat dalam masa terdekat mengenai perkara ini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Empat anggota polis ditahan bantu siasatan kes samun, cabul

    Empat anggota polis ditahan bantu siasatan kes samun, cabul

    EMPAT anggota polis di Kelantan masing-masing tiga berpangkat konstabel dan seorang koperal ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan cabul di Tanah Merah, Rabu lepas.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua suspek yang berusia 22 hingga 28 tahun itu ditahan oleh pasukannya pada 29 Dis lepas dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    “Pada 28 Dis lalu, lebih kurang pukul 11.24 malam, polis Daerah Tanah Merah telah terima satu laporan polis berkaitan kes samun dan cabul melibatkan suspek anggota polis. 

    Saya mengesahkan perkara tersebut dan pada 29 Dis pihak polis telah menjalankan tangkapan ke atas semua suspek yang akan direman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah seksyen 395/354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Muhamad Zaki berkata ujian saringan air kencing kesemua suspek juga didapati negatif dadah. – BERNAMA

  • 141 pegawai, anggota bomba terjejas banjir seluruh negara

    141 pegawai, anggota bomba terjejas banjir seluruh negara

    SERAMAI 141 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terjejas dengan banjir di seluruh negara, setakat ini.

    Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata bilangan itu membabitkan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan kediaman dinaiki air.

    “Kita akan pastikan kebajikan mereka terjaga dan sedikit sumbangan akan diberi bagi meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin.

    Akmal Nasrullah berkata insentif atau bantuan perlu diberikan kepada pegawai dan anggota yang terlibat kerana mereka tetap komited menjalankan tugas walaupun ditimpa musibah.

    “Kita akan tambah anggota sekiranya diperlukan untuk banjir kali ini. Kelantan telah menerima bantuan daripada anggota kawasan berhampiran yang tidak terkesan banjir,” katanya.

    Beliau berkata JBPM turut mengoperasikan dua helikopter di Bachok dekat sini dan Wakaf Tapai, Terengganu bagi menyelamat mangsa banjir.

    “Penyediaan helikopter adalah sebagai bantuan bagi membawa pesakit dari kawasan terkepung ke hospital dan membawa makanan ke kawasan yang tidak dapat dilalui seperti perkampungan Orang Asli,” katanya. – BERNAMA

  • Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    SEORANG anggota tentera cedera parah dalam satu kejadian trak terbalik di Jalan Chengkau-Pilin, dekat sini, tengah hari tadi, ketika dalam perjalanan ke pusat pengundian awal di Port Dickson.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata trak Regimen ke-11 Kor Armor Diraja, Kem Syed Sirajuddin, Gemas itu membawa 24 anggota tentera berumur lingkungan 24 hingga 30 tahun.

    “Mereka dalam perjalanan ke pusat mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, untuk tujuan mengundi awal. Setibanya di tempat kejadian, trak berkenaan didakwa gagal dikawal dan terbalik. 

    “Susulan kejadian berkenaan, seorang anggota mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Rembau, empat berada di Zon Kuning (cedera sederhana) dan 19 lagi Zon hijau (cedera ringan). Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – BERNAMA

  • TDM perjelas isu anggota dipecat enggan ambil vaksin

    TDM perjelas isu anggota dipecat enggan ambil vaksin

    SETELAH tular laporan sebuah portal berhubung pemecatan seorang anggota tentera kerana menolak untuk mengambil vaksin, Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini tampil menjelaskan perkara itu.

    Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menjelaskan, pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM adalah diwajibkan.

    Namun pengambilan vaksin dikecualikan kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan tidak layak berbuat demikian.

    Menurutnya, tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.

    “Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok. Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan COVID-19,” jelas kenyataan itu.

    “Sehubungan itu, adalah wajar untuk kesemua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota TDM, bahkan boleh menjangkiti keluarga anggota TDM dan masyarakat keseluruhannya,” kata kenyataan itu lagi.

    Kenyataan itu menambah, vaksinasi juga bertujuan mendokong hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok, seterusnya memutuskan rangkaian penularan Covid-19 di negara ini.

    “Setiap anggota TDM hendaklah mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan, bagi menentukan misi/kesiapsiagaan organisasi tercapai,” katanya.

    Terdahulu, sebuah portal melaporkan anggota tentera dikenali Sarjan Wan Ramly Wan Seman mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin.

    Wan Ramly, 39, daripada Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.

    Anggota itu turut mendakwa setiap rakyat mempunyai hak untuk tidak mengambil vaksin dan berkhidmat sebagai tentera tidak menjadikan beliau berbeza dengan individu lain.