Tag: anak tiri

  • Lelaki rogol anak tiri sejak tahun lalu ditahan

    Lelaki rogol anak tiri sejak tahun lalu ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia 13 tahun di Batu Kikir, Jempol semalam.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan pada pukul 5 petang semalam.

    Menurutnya, polis menerima laporan mangsa yang mendakwa dirogol suspek pada pukul 10 malam 10 Disember lalu.

    “Ketika itu mangsa berada di rumah di Batu Kikir dan sedang tidur di ruang tamu sebelum dirogol suspek.

    “Selepas kejadian itu mangsa menceritakan kejadian kepada kakaknya sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    Chang Hook berkata, mangsa turut mendakwa mula dirogol suspek sejak tahun 2021 dan kali terakhir pada 10 Disember lalu.

    Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

    “Mangsa ketika ini diletakkan dibawah jagaan neneknya sementara pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) mendapat kelulusan bagi permohonan perlindungan interim (IPO) terhadapnya.

  • Penjawat awam mengaku tidak bersalah rogol anak tiri

    Penjawat awam mengaku tidak bersalah rogol anak tiri

    SEORANG penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya yang juga remaja bawah umur pada 2017 dan 2021.

    Bagaimanapun tertuduh, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

    Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Tertuduh mengikut pertuduhan pertama didakwa melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya yang berusia 11 tahun tujuh bulan pada ketika itu di sebuah rumah di Kota Bharu, antara pukul 8 hingga pukul 10 malam, pertengahan tahun 2017.

    Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan sumbang mahram dengan mangsa sama ketika berusia 14 tahun 10 bulan di lokasi sama, pukul 8 pagi pada 6 September 2021.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faizuan Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal bersama.

    Peguam bela tertuduh, Halim Ashgar Hilmi bagaimanapun memohon supaya mahkamah membenarkan tertuduh diberi jaminan untuk kedua-dua pertuduhan itu.

    Menurutnya, tertuduh berkhidmat dengan agensi kerajaan sejak 17 tahun lalu dan tidak akan mengganggu mangsa kerana lelaki itu akan balik ke rumah ibunya di Tumpat.

    Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.