Tag: anak saudara

  • Anak saudara, bekas pekerja R. Sivarasa lepas bebas tiga tuduhan rasuah

    Anak saudara, bekas pekerja R. Sivarasa lepas bebas tiga tuduhan rasuah

    ANAK saudara bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dan bekas pekerjanya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada tiga tuduhan rasuah berhubung tindakan tidak melaporkan mengenai kemasukan pekerja asing kepada pihak imigresen, enam tahun lalu.

    Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membebaskan R. Naveen Kularasa, 51 yang juga pembantu peribadi Sivarasa dan pemandu van, Nico Kam Joo Hoe, 25 selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat bahawa Pejabat Peguam Negara menerima representasi kedua-dua tertuduh.

    Noralis berkata, sehubungan itu pendakwaan menarik balik tuduhan dan melepas tanpa membebaskan Kularasa dan Joo Hoe.

    Bagaimanapun, peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Joo Hoe memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan kerana aduan mengenai kes itu dibuat pada 2017 manakala dia pula dituduh pada tahun lalu yang memakan masa yang lama.

    “Adalah tidak adil untuk membiarkan kedua-dua tertuduh terus dibelenggu dengan pertuduhan itu dan sepatutnya kes berkenaan dibawa kepada pengakhiran,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, malah pendakwaan tidak memberikan alasan kenapa mereka tidak harus dilepas dan dibebaskan.

    Selepas mendegar hujahan itu, Azura memutuskan melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh dan memerintahkan wang ikat jamin berjumlah RM10,000 seorang dikembalikan kepada penjamin masing-masing.

    Mengikut pertuduhan pertama, Kularasa dan Joo Hoe didakwa bersama-sama secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada Mono Miah Siddikur Rahman iaitu lelaki warga Bangladesh.

    Wang itu sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn. Bhd. milik lelaki itu yang dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

    Bagi tuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa dengan niat bersama-sama iaitu secara rasuah bersetuju menerima wang tunai RM45,000 dan RM20,000 bagi diri mereka daripada pemilik syarikat sama melalui tertuduh kedua (Joo Hoe) berhubung perkara sama.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding itu, Kularasa diwakili peguam M. Puravalen.

  • Lelaki didakwa guna kedudukan lantik anak saudara dapatkan tender kantin

    Lelaki didakwa guna kedudukan lantik anak saudara dapatkan tender kantin

    SEORANG penolong pegawai pendidikan daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin sebuah sekolah bernilai RM50,400.

    Tertuduh Mahalay @ Mahali Jahaya, 48, dituduh melakukan kesalahan itu melibatkan tender kantin sekolah SK Bukit Garam II, Kinabatangan dengan mengambil tindakan dalam proses pemilihan penawaran kerja untuk syarikat Damai Enterprise, yang pemiliknya adalah anak saudaranya Amiruddin Baro, 37, bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Dis 2015 hingga 30 Nov 2018.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan pada 11 Nov 2015.

    Mahalay didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Hakim Abu Bakar Manat membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan RM4,000 didepositkan oleh seorang penjamin tempatan, dan menetapkan 7 Okt depan untuk sebutan semula.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Jaswant Singh.- BERNAMA