Tag: Amy Search

  • Amy Search kritik cadangan wang KWSP jadi cagaran pinjaman bank

    Amy Search kritik cadangan wang KWSP jadi cagaran pinjaman bank

    Penyanyi rock legenda, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, mengecam cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membenarkan pencarum menjadikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk pinjaman peribadi di bank.

    Tegas beliau, langkah itu hanya akan menguntungkan institusi kewangan itu memungut faedah.

    “Pinjam bank mesti ada interest (faedah), sebab mana ada bank bagi pinjam tiada interest sebab duit bank duit orang ramai (pendeposit).

    “Lagi satu kalau tak bayar interest bertambah. Akhirnya interest pinjaman campur dengan interest lewat bayar akan jadi berganda-ganda.

    “Jadi untung besar bank,” katanya dalam ruang komen berkaitan video di Facebook yang membincangkan mengenai cadangan tersebut, lapor MalaysiaNow.

    Amy memberi amaran sebarang kegagalan untuk menjelaskan pinjaman bank akan menyebabkan simpanan KWSP seseorang dirampas.

    “Bank peduli apa? Sebab semua termaktub dalam perjanjian yang dah ditandatangani. Berhati-hatilah sahabat semua, jangan sampai duit KWSP habis disebabkan interest.

    “Jadi pinjam duit bank dan cagarkan KWSP bukan satu jalan yang bijak,” tambahnya.

    Anwar dalam sesi penggulungan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 9 Mac lalu bersetuju memperkenalkan kaedah secara kolateral iaitu mencadangkan agar pencarum mencagarkan wang caruman KWSP masing-masing kepada bank untuk membuat pinjaman.

    Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

  • Ulang tahun TYT Melaka: PM dahului senarai, Amy Search bergelar Datuk

    Ulang tahun TYT Melaka: PM dahului senarai, Amy Search bergelar Datuk

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 347 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Melaka sempena ulang tahun ke-73 Yang Di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam hari ini.

    Ismail Sabri dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

    Secara keseluruhan, seramai 883 penerima menerima pingat dan darjah kebesaran pada upacara yang berlangsung dalam tiga sesi istiadat iaitu pada pagi ini yang berlangsung di Balai Istiadat di Seri Negeri, Ayer Keroh dan dua sesi lagi pada 27 Ogos.

    Penerima terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan, pengamal media dan ahli badan sukarelawan.

    Turut menerima pingat kebesaran ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto yang masing-masing menerima pingat Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

    Amy Search kini bergelar datuk. FOTO ASTRO AWANI

    Sementara itu, seramai 26 penerima menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira manakala seramai sembilan orang lagi menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

    Antara penerima DCSM adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari dan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman Datuk Zaini Jass sementara penerima DMSM ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia Datuk Isham Ishak dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah Dr Omar Raisul As-Salam Syah A.S Omar.

    Bagi Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran Datuk, seramai 163 penerima termasuklah penyanyi lagenda rock negara Amy Search atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman.

    Sementara bagi Darjah Seri Melaka (DSM), anugerah tersebut diberikan antaranya kepada Pengarah Bomba Negeri Melaka Abu Bakar Katain.

    Bintang Gagah Perkasa (BGP) dikurniakan kepada Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas dibawa arus deras pada 20 Okt 2021 ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.

    Selain itu, penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) diberikan kepada Azwan Omar atau dikenali sebagai Abang Viva di atas jasa membantu jasa banjir.

    Penganugerahan juga diberikan kepada 71 penerima bagi Bintang Cemerlang Melaka (BCM) diikuti 159 penerima Bintang Khidmat Terpuji , 258 penerima Pingat Jasa Kebaktian, 151 penerima Pingat Bakti Masyarakat dan dua penerima Khidmat Lama. – BERNAMA