Tag: Amirudin

  • MB Selangor nafi kebocoran data dalam pendaftaran polisi INSAN

    MB Selangor nafi kebocoran data dalam pendaftaran polisi INSAN

    MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan berlaku kebocoran dan salah guna data rakyat negeri itu dalam melaksanakan polisi Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) sebagaimana yang tular di media sosial hari ini.

    Amirudin menjelaskan data berkenaan ialah data awam yang boleh dibeli, serta menafikan keuntungan daripada pelaksanaan polisi berkenaan telah digunakan bagi membiayai kempen pilihan raya lepas.

    “Apa yang berlaku, skim ini melaksanakan proses prapendaftaran dengan kita berhubungan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya SPR boleh mengemukakan data. Data itu merupakan data awam yang boleh dibeli dan kita mendaftarkan mereka sebagai prapendaftaran.

    “Sebab itu bagi mereka yang telah mendapat (notifikasi) prapendaftaran ini, mereka boleh terus mengesahkan maklumat berkenaan pendaftaran tersebut dan barulah mereka akan terangkum di bawah sistem polisi INSAN,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Exco Khas di sini hari ini.

    Namun, katanya beliau akan meminta pihak pengendali kepada sistem INSAN memberikan kenyataan berhubung perkara itu dan menjelaskan proses prapendaftaran itu dilakukan untuk memudahkan polisi itu dilaksanakan tanpa perlu melakukan pendaftaran satu persatu.

    “Kita akan mantapkan kawalan kita terutama jika berlaku pelanggaran terhadap data dan sebagainya, tetapi yang berlaku ini adalah prapendaftaran maknanya kalau tak nak tak perlu ambil polisi ini,” katanya.

    Amirudin berkata buat masa ini pihaknya akan mengetatkan kawalan untuk tidak membenarkan semua pihak boleh mengakses kepada prapendaftaran polisi terbabit. – BERNAMA

  • Jalan Batang Kali-Genting diperbesarkan, dibuka semula bulan hadapan

    Jalan Batang Kali-Genting diperbesarkan, dibuka semula bulan hadapan

    JALAN Batang Kali-Genting yang ditutup akibat bencana tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor akan diperbesarkan dan dibuka semula pada awal atau pertengahan bulan hadapan.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut ialah hasil perjumpaannya dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, semalam.

    Beliau berkata pembukaan jalan tersebut dijangka mampu membantu seramai 4,000 hingga 5,000 penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor, bagi berulang-alik terutamanya bagi mereka yang bekerja di Genting Highlands, Pahang.

    “Kita akan besarkan kawasan di sebelah kiri atau kanan Jalan Batang Kali-Genting Highland, untuk membenarkan penduduk di Batang Kali menggunakan jalan tersebut, tapi ia untuk kenderaan ringan sahaja yang boleh melaluinya.

    “Kawasan itu telah ditambak dengan batu dan dipadatkan, kita juga akan aturkan pasukan keselamatan untuk mengawal laluan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak Stadium Shah Alam di sini hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Amirudin turut memaklumkan kerajaan Selangor tidak akan menganjurkan sebarang majlis sambutan ambang tahun baharu 2023, bagi menghormati mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.

    Bagaimanapun beliau tidak menghalang pihak-pihak lain seperti syarikat swasta atau kelab penduduk, untuk mengadakan majlis berkenaan, tapi ia perlu dibuat dalam kadar sederhana.

    “Mungkin tahun ini kita boleh teruskan dengan program solat hajat, seperti yang dibuat pada tahun lalu dan untuk itu, saya sedang merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan lain-lain.

    “Saya juga akan hadir ke program tersebut, tapi bukan ke program berbentuk hiburan dan sebagainya,” katanya.

    Mengenai inisiatif RiDE, beliau berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi inisiatif tersebut, dengan memanfaatkan seramai 3,000 orang penghantar makanan yang menerima wang tunai sebanyak RM500 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM50. – BERNAMA