Tag: Ambulans

  • Pemandu CRV halang ambulans ada masalah pendengaran

    Pemandu CRV halang ambulans ada masalah pendengaran

    POLIS akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang menghalang sebuah ambulans di Kilometer 292 Lebuh Raya Utara – Selatan arah utara, seperti tular di media sosial hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu dan pemilik kenderaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah pada 5 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan yang juga seorang lelaki berusia 62 tahun mengalami masalah pendengaran iaitu tinnitus – acoustic neuroma sejak tiga tahun lepas.

    “Lelaki berkenaan masih lagi mendapat rawatan lanjut daripada pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tular di media sosial mengenai tindakan pemandu SUV jenis Honda CRV yang memandu di lorong kanan sehingga menghalang ambulans di belakangnya yang turut membunyikan siren dan hon sekali gus pemandu ambulans itu terpaksa memotong melalui laluan kiri.

    https://www.tiktok.com/@info.semasa.my/video/7097933801275280667?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=halang%20ambulans&t=1652620052682

    Insiden itu turut menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi video di akaun Twitternya dan menyifatkan tindakan pemandu berkenaan sebagai mementingkan diri. – BERNAMA

  • Berkelakuan pelik sebelum dijemput ajal

    Berkelakuan pelik sebelum dijemput ajal

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PEMANDU ambulans Kementerian Kesihatan yang maut dalam kemalangan Lebuh Raya Utara-Selatan, Johor Bahru semalam, berkelakuan aneh sebelum nahas tersebut.

    Menurut anak saudara mangsa, Nur Shafika Ooyob, 33, Shamsul Shamshuri, 49, kerap menatap wajah isterinya, Roslina Abdullah, 43, sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

    Nur Shafika berkata, kelakuan pelik itu diceritakan Roslina kepadanya sejurus Shamsul menemui ajal dalam tragedi tersebut.

    “Apabila isterinya menyedari perkara itu, dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Setelah ditanya arwah hanya tersenyum dan menjawab tiada apa-apa,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam.

    Cerita Nur Shafika, mereka sekeluarga mengetahui kejadian yang menimpa arwah menerusi panggilan telefon sebelum bergegas ke HSA.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kemalangan tersebut berlaku semasa van ambulans berkenaan mengelak sebuah kereta yang membrek secara mengejut.

    “Selepas itu ambulans tersebut merempuh belakang sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.

    “Pemandu dan tiga penumpang dalam ambulans itu iaitu seorang pegawai farmasi dan dua jururawat dalam perjalanan dari Pusat Kesihatan Kluang ke Hospital Permai,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Akibat kemalangan itu katanya, pemandu dan penumpang hadapan tersepit manakala dua penumpang di belakang cedera.

    Beliau berkata, Shamsul meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa yang cedera dirawat di HSA.

    Selain arwah, mangsa lain yang terlibat Rosnilam Satari, 48, Azlina Mohd. Rawi, 41 dan Amelia Pek Ying Hung, 26.

  • Covid-19:KKM runding sewa 100 ambulans untuk tempoh hingga setahun

    Covid-19:KKM runding sewa 100 ambulans untuk tempoh hingga setahun

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berunding untuk melaksanakan penyewaan 100 ambulans untuk tempoh lebih panjang antara enam bulan hingga setahun bagi menampung kekurangan ambulans sedia ada.

    Ketua Setiausaha KKM, Datuk Shafiq Abdullah berkata, terutamanya kekurangan di Lembah Klang selain sedang memuktamadkan perolehan menerusi tender terbuka sejumlah 490 buah ambulans.

    “KKM juga mengubah suai kenderaan van termasuk melengkapkannya dengan peralatan perubatan minimum seperti silinder oksigen bagi membolehkan van itu digunakan untuk membawa pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital.

    “Langkah ini diharapkan dapat membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa dan mengurangkan kadar kematian Brought in Dead (BID),” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya, semalam.

    Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong.

    Shafiq berkata, KKM juga telah meluluskan RM39 juta untuk membeli ubat Baricitinib sebanyak 12,873 kotak.

    “KKM juga akan memohon kepada Kementerian Kewangan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta lagi bagi perolehan ubat ini dan ubat-ubatan lain bagi perawatan Covid-19 seperti ubat Tocilizumab, suntikan Methylprednisolone dan Enoxaparin,” katanya.

    Shafiq berkata, dalam memastikan bekalan oksigen mencukupi, KKM juga sedang menguruskan pembinaan empat buah ‘bulk tank’ oksigen di Hospital Selayang dan Hospital Kajang yang dijangka siap untuk kegunaan pesakit Covid-19 dalam masa terdekat.

    Selain itu, beliau berkata, aktiviti penyumberluaran perkhidmatan untuk membolehkan pesakit bukan Covid-19 dipindahkan ke hospital swasta telah mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan serta membolehkan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima mendapat rawatan di hospital awam.