Tag: amang seksual fizikal

  • PU Azman didakwa lagi, hadapi 4 tuduhan jenayah seksual terhadap 4 remaja

    PU Azman didakwa lagi, hadapi 4 tuduhan jenayah seksual terhadap 4 remaja

    PENDAKWAH selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dihadapkan ke dua mahkamah di Klang hari ini, atas empat pertuduhan jenayah seksual membabitkan tiga remaja lelaki antara Februari hingga Ogos lepas.

    Azman Syah, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di Klang, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Feb serta 29 Jun lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

    Azman Syah turut didakwa atas satu pertuduhan menggalakkan seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun dengan berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp sekitar 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru, di sini pada 16 Ogos lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 11 (1)(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

    Hakim Syafeera Mohd Said membenarkan Azman Syah diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan itu.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Azman Syah didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, di sini pada 9.15 malam pada 10 Jun lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

    Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000.

    Pendakwaan bagi kesemua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala Azman Syah diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah.

      Kedua-dua mahkamah juga mengenakan syarat jaminan tambahan kepada tertuduh iaitu tidak boleh mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran rumahnya setiap awal bulan bermula bulan ini. 

    Sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 12 Jan tahun depan. 

    Azman Syah sebelum ini mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua remaja lelaki bawah umur di Mahkamah Sesyen di Seremban pada 12 Okt lalu.  – BERNAMA

  • Kes amang seksual penceramah bebas: Dua lagi laporan diterima polis

    Kes amang seksual penceramah bebas: Dua lagi laporan diterima polis

    POLIS Negeri Sembilan mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan kes amang seksual fizikal membabitkan seorang penceramah bebas.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata laporan dibuat dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 17 tahun pada bulan ini di Seremban.

    “Pada masa ini, siasatan selari dijalankan bersama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor. Polis sedang melengkapkan siasatan dan perkembangannya akan dirujuk ke Bukit Aman, untuk dikemukakan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Justeru, Ruslan berkata orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan fitnah kepada mana-mana pihak serta menimbukan kegusaran kepada masyarakat.

    Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, pihaknya menerima empat laporan berkaitan kes itu pada 30 Ogos lepas iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, serta masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

    Hasil siasatan mendapati penceramah berusia 40-an itu, mengenali empat mangsa berumur lingkungan 17 hingga 18 tahun menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

    Susulan itu, lelaki terbabit ditahan pada 4 petang pada Khamis dan kemudian direman selama enam hari sehingga 14 Sept ini bagi membantu siasatan.- BERNAMA