Tag: Amang seksual

  • Guru didakwa laku amang seksual terhadap murid 11 tahun

    Guru didakwa laku amang seksual terhadap murid 11 tahun

    SEORANG guru di sebuah pusat pendidikan Islam didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan berusia 11 tahun.

    Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Zakri Amirsah, 29, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, menurut Berita Harian.

    Dia yang mula mengajar di sekolah terbabit pada akhir 2021 didakwa melakukan perbuatan itu sejak Mac 2022 hingga Januari lalu ketika mengajar mangsa membaca Iqra dalam bilik guru muslimin.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, sesi mengaji sebelum ini diadakan setiap Sabtu dan Ahad pada waktu siang di surau berkenaan, namun tertuduh menukar waktu itu sekitar Mac 2022 kepada malam Isnin dan Selasa.

    Mangsa menghadiri kelas mengaji berkenaan bersama seorang adik lelakinya.

    Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Ia dibaca bersama Seksyen 16(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan rotan tidak kurang dua sebatan.

    Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin.

    Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus dan Najiha Farhana Che Amat mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.

    Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Mac depan.

  • Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    WARGA emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya.

    Tertuduh yang berusia 67 tahun dan bekerja sebagai kontraktor membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara jam 2 petang hingga 7 malam pada Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan disebat tidak kurang 10 sebatan.

    Berita Harian melaporkan, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

    Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adik perempuannya yang berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala diwakili tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Warga emas mengaku salah laku amang seksual

    Warga emas mengaku salah laku amang seksual

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEORANG warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan rakannya sendiri, tahun lalu.

    Tertuduh berusia 61 tahun yang juga seorang buruh membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan kes, warga emas tersebut didakwa melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di laman sebuah rumah di Pasir Puteh pada pukul 2 petang, Jun 2020.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan rakan kepada bapa mangsa yang dikhuatiri boleh mengganggu kanak-kanak tersebut.

    Namun, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan di mana tertuduh diminta melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap bulan. 

    Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 20 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan juga menjatuhkan hukuman.

    Tertuduh tidak membayar jaminan seperti ditetapkan mahkamah.

  • Guru didakwa 32 pertuduhan seks luar tabii, amang seksual

    Guru didakwa 32 pertuduhan seks luar tabii, amang seksual

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas 32 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar lelaki pada tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd Faizal Amir, 32, yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Tapah mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

    Dia didakwa atas 10 pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii kepada tujuh pelajar lelaki berusia 14 hingga 16 tahun.

    Perbuatan itu dilakukan di rumah warden sekolah berkenaan antara 28 Julai hingga 29 September 2020.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

    Bapa kepada seorang anak itu juga didakwa dengan 22 pertuduhan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

    Kesalahan yang dilakukan di lokasi, tarikh dan masa yang sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan tidak menawarkan sebarang jaminan namun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Farid Wajdi Hanif memohon agar jaminan RM3,000 dikenakan ke atas anak guamnya bagi setiap kes.

    Hakim Intan Nurul Farena kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap 11 kes dengan jumlah keseluruhan jaminan sebanyak RM55,000 sebelum menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Mahkamah juga menetapkan tertuduh untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan dilarang mendekati mangsa.

  • 15 tuduhan seks luar tabii, amang seksual, cabul 2 anak tiri

    15 tuduhan seks luar tabii, amang seksual, cabul 2 anak tiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penganggur berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Selayang, hari ini, atas 15 pertuduhan melakukan seks luar tabii, amang seksual fizikal dan mencabul dua anak tiri perempuannya antara 2015 dan 2020.

    Tertuduh yang memakai baju-T berwarna merah membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin dan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

    Di Mahkamah Sesyen, lelaki itu didakwa atas tiga pertuduhan melakukan seks luar tabii dan empat tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas dua anak tirinya yang kini berusia 19 dan 20 tahun di kediaman mereka di Sri Gombak antara 29 Ogos 2015 dan 25 Ogos 2020.

    Bagi kesalahan seks luar tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

    Bagi kesalahan amang seksual fizikal pula, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Di Mahkamah Majistret, tertuduh berdepan lapan pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatan mereka antara 27 Ogos 2015 dan 15 Mac 2017 di lokasi sama.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Bagi kes di Mahkamah Sesyen, lelaki itu diberikan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin manakala untuk kes di Mahkamah Majistret pula, dia diikat jamin RM16,500.
    Kedua-dua mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai dan tidak tinggal serumah dengan mangsa serta menetapkan 20 Okt ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh diwakili peguam Mohammed Fudhail Ahmad Zulaini.

    Sebelum prosiding bermula, tertuduh dilihat menangis sambil memandang ke arah ahli keluarganya yang berada di galeri awam.