Tag: alor gajah

  • Hajat beli persiapan raya tak kesampaian, bapa, anak saudara maut kemalangan

    Hajat beli persiapan raya tak kesampaian, bapa, anak saudara maut kemalangan

    HASRAT seorang pekerja kilang membawa bapa saudaranya membeli persiapan raya tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut setelah kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Lendu Masjid Tanah, Alor Gajah malam tadi.

    Kejadian pukul 12 tengah malam itu mengakibatkan, mangsa, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Seorang lagi penumpang bahagian belakang, Azizul Hamis@Jainy pula cedera parah dalam kejadian itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, ketiga-tiga mangsa menaiki Perodua Myvi dari arah Taman Dimensi Lendu menuju ke arah Masjid Tanah.

    Namun katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian kereta dipandu Muhammad Hasraf hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

    “Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan menuju ke bazar Aidilfitiri di Masjid Tanah.

    “Impak kemalangan itu pemandu dan bapa saudaranya yang duduk di kerusi penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala, manakala Azizul yang mengalami cedera parah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan dirawat di zon merah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Arshad berkata, mayat kedua-dua saudara itu dibawa ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

  • Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    ALASAN sakit kaki untuk dibawa ke klinik nyata tidak dapat menutup perbuatan seorang wanita warga Nepal, yang menyembunyikan kelahiran bayinya berusia dua hari yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang di sini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang tersebut, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

    “Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Kata beliau hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 Sept) sekitar 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.

    “Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.

    Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya.- BERNAMA