“JANGAN pangkah Ali Biju.” Itu peringatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pengundi Krian agar tidak memangkah calon Bebas Datuk Ali Biju pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 Sabtu ini.
Beliau berkata sebaliknya, sokongan padu perlu diberikan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik meskipun nama Ali terpapar di kertas undi.
“Perkara itu sudah dijelaskan oleh Ali Biju… beliau tidak bertanding. Jadi beliau sudah beritahu pengundi jangan pangkah dia dan saya pun cakap sekarang ini, jangan pangkah dia. Kita perlu berikan undi kepada GPS untuk kerusi itu (Krian),” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negeri edisi Sarawak hari ini.
Pada 6 Dis lepas, Ali yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak mengesahkan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri Krian sebagai calon Bebas sebelum mengumumkan menarik diri dan meminta penyokongnya menyokong Friday pada PRN itu.
Muhyiddin turut mengesahkan tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding dalam PRN Sarawak atas tiket calon Bebas telah digugurkan keahlian secara automatik susulan tindakan mereka yang bercanggah dengan perlembagaan parti.
Mereka ialah Siki Balarik yang bertanding di Belaga, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan Ricky Enteri (Bawang Assan). – BERNAMA
SETELAH mengumumkan penarikan diri daripada bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian semalam, Datuk Ali Biju hari ini berkata beliau akan berkempen secara aktif bermula Ahad bagi membantu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Naib Pengerusi Bersatu Sarawak itu berkata beliau akan menerangkan kenapa langkah untuk berundur daripada pilihan raya berkenaan dibuat, agar pengundi dan penyokong tahu bahawa keputusan itu adalah bagi kebaikan semua pihak.
”Saya akan ke kampung-kampung dan setiap rumah panjang dan terangkan kepada pengundi supaya tidak perlu pangkah saya, pangkah calon GPS. Ini saya akan buat semasa saya berjumpa pengundi di peringkat akar umbi,” kata Ali, yang merupakan penyandang kerusi Krian, pada sidang media di Saratok hari ini.
Semalam Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata keputusan itu adalah bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.
Semasa penamaan calon pada Isnin, Ali membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian, bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan parti itu tidak bertanding pada PRN kali ini, sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.
Walaupun nama Ali secara rasminya masih akan tersenarai di kertas undi nanti, pertandingan sebenar bagi merebut kerusi DUN Krian kini membabitkan calon GPS, Friday Belik; Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Danny Kuan daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Selaras dengan keputusan itu, Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok turut merayu agar penyokongnya selama ini memberi sokongan kepada calon GPS.
“Kita kena tenangkan penyokong saya yang selama ini setia selama 10 tahun, dan dengan kenyataan baik dan bermakna, maka saya rasa penyokong-penyokong saya boleh menerima, iaitu kita memberi laluan kepada GPS dan menyokong calon GPS di Krian,” katanya pada sidang media, yang turut dihadiri Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ali merupakan penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal apabila meraih undi terbanyak pada PRN 2011 dan 2016 ketika mewakili PKR. Pada 2016, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi.
Ditanya jika beliau tetap menang di kerusi berkenaan memandangkan namanya masih terpapar dalam kertas undi, beliau berkata: “Ia hanya spekulasi.”
Ali sebaliknya optimis dan yakin dengan sokongan kepada calon GPS menerusi kempen nanti, parti itu mampu memenangi kerusi berkenaan.
“Kemenangan GPS juga adalah kemenangan saya, kalau GPS menang saya juga menang,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata calon tidak boleh menarik diri selepas penamaan calon pada pukul 10 pagi seperti yang termaktub di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
Dengan pengorbanan yang dilakukannya itu, Ali turut berharap agar GPS memberikan laluan kepada Bersatu untuk bertanding di Parlimen Saratok, yang turut disandangnya, pada Plihan Raya Umum ke-15 akan datang.
Sementara itu, Mohamed Azmin turut menzahirkan penghargaan kepada Ali atas pengorbanannya demi memperkukuhkan hubungan akrab antara GPS dan Bersatu di peringkat Persekutuan. – BERNAMA
PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Ali Biju mengumumkan beliau menarik diri daripada menjadi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 18 Disember ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Saratok turut memberi dukungan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi tersebut, Friday Belik.
“Saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka, dan DUN Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Isnin lalu, Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli menjelaskan, atas dasar menghormati permintaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau hadir mendaftarkan diri sebagai calon Bebas di Dewan Masyarakat Sri Krian.
Tindakan beliau itu agak mengejutkan kerana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan partinya tidak meletakkan calon bertanding pada PRN Sarawak dan Perikatan Nasional (PN) menyokong GPS.
Ali menambah, beliau telah menawarkan diri sebagai calon DUN Krian setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi di situ.
Menurut beliau, sebagai wakil rakyat yang telah dipilih sejak 2011, dukungan dan sokongan yang padu itu telah memperkukuh tekadnya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.
“Walau bagaimanapun, saya menginsafi hakikat bahawa keputusan ini akan menjejaskan hubungan baik di antara BERSATU dan GPS.
“Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara PN l dan YAB Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg selaku Pengerusi GPS.
“Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS,” jelasnya.
TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bahawa partinya tidak menyokong tindakan Datuk Ali Biju mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian yang disandangnya sebagai calon Bebas di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
“Tindakan Ali Biju tidak selari dengan keputusan parti.
“Perikatan Nasional (PN) menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRN Sarawak dan tidak meletakkan calon di semua kerusi,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Namun , beliau tidak menjelaskan adakah Ali akan diambil tindakan disiplin kerana melanggar keputusan Bersatu.
Ali memberi alasan bahawa permintaan pengundi mendorongnya terus mempertahankan kerusi DUN Krian walaupun sebagai calon Bebas, menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu.
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, atas dasar menghormati permintaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau hadir mendaftarkan diri sebagai calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, hari ini.
Bagaimanapun Ahli Parlimen daripada Bersatu itu berkata, keputusannya mendaftarkan diri sebagai calon Bebas hari ini, tidak diketahui oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahmad Faizal menegaskan, partinya tetap dengan keputusan Muhyiddin sebelum ini mengumumkan gabungan itu tidak akan menyertai PRN Sarawak bagi menghormati kehendak kepimpinan GPS.
“Saya mendoakan GPS akan diterima oleh para pemilih dan akan berjaya menubuhkan kerajaan di negeri Sarawak untuk meneruskan pembangunan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti tidak membenarkan ahli bertanding dalam pilihan raya tanpa kebenaran.
“Tindakan tatatertib boleh diambil termasuk dipecat. Peraturan ini terpakai kepada Sarawak dan parti akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini tanpa menamakan Ali.
Beliau menegaskan, ahli Bersatu telah diarahkan oleh Presiden parti untuk berkempen bagi sekutu GPS pada PRN Sarawak.
PERMINTAAN ramai sehingga di peringkat akar umbi, menjadi sebab utama Datuk Ali Biju memilih terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 (PRN) ini walaupun sebagai calon Bebas, menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu.
Katanya, atas dasar menghormati permintaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau hadir mendaftarkan diri sebagai calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini hari ini.
Bagaimanapun Ahli Parlimen daripada parti Bersatu itu berkata, keputusannya mendaftarkan diri sebagai calon Bebas hari ini, tidak diketahui oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini permintaan rakyat.. kita perlu hormati permintaan akar umbi… itu saja.
“Presiden (Bersatu) pun tidak tahu, sekarang mungkin dia dah tahu lah..,” kata Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok kepada Bernama.
Menurutnya, soal sama ada keputusan beliau bertanding atas tiket Bebas akan memberi kesan kepada Bersatu, Ali berkata, perkara itu belum difikirkan lagi.
“Itu kemudian.. bincang kemudian.. saya tak dapat komen sekarang sebab keputusan dibuat atas permintaan rakyat,” jawabnya ringkas.
Dalam perkembangan sama, Ali, 53, berkata strategi kempennya pada PRN Sarawak kali ini sama sekali tidak akan terjejas walaupun sebagai calon Bebas, malah beliau yakin mampu meraih kemenangan pada hari pengundian 18 Dis nanti.
“Krian adalah unik.. dia (pengundi) mahu ke arah personaliti, individu.. parti bukan perkara utama sangat.
“Kita semua kena yakin yang kita akan menang,” katanya sambil disahut dengan sorakan para penyokongnya.
Pertandingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik.
Ali memenangi kerusi DUN Krian pada PRN 2011 dan 2016. – BERNAMA
PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju bertanding sebagai calon Bebas dalam usaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016.
Teka-teki sama ada Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu akan mempertahankan kerusi tersebut akhirnya terjawab apabila beliau hadir di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Masyarakat Sri Krian di sini sebagai calon Bebas menggunakan logo kerusi.
Beliau yang juga ahli parti Bersatu hadir pada jam 9.02 pagi di dewan tersebut seterusnya menyempurnakan proses pencalonan.
Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Krian Bilong Engkas mengumumkan pertandingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik. – BERNAMA
DAKWAAN pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan sokongan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Nasional (PN) kepada Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak sah merupakan satu tuduhan yang tidak masuk akal.
Tuduhan itu menurut Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju, jelas menunjukkan ketidakfahaman mereka kepada Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga mengatakan, dengan mengatakan sokongan PN tidak sah kerana ianya bersyarat juga menunjukkan pimpinan PH kini amat terdesak mencari sokongan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Menurut Ali Biju, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya menetapkan untuk sokongan PN, Ismail Sbari perlu memastilan kerajaannya bersih; menjaga kuasa dan kebebasan badan perundangan dan mempertahankan institusi raja berpelembagaan.
“Tidak masuk akal untuk mengatakan apa yang diminta Muhyiddin salah dan menjadikan sokongan PN kepada Ismail Sabri tidak sah kerana mana-mana kerajaan yang akan ditubuhkan perlu melakukan apa yang bekas Perdana Menteri katakan.
“Tiada orang mahupun Ahli Parlimen atau parti politik yang waras akan menolak perkara ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Selanjutnya beliau menjelaskan, dakwaan para pemimpin PH juga salah kerana surat akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong telah mengatakan sokongan mereka tidak bersyarat dan diserahkan sendiri kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Semalam, dua pemimpin kanan pakatan harapan iaitu Mahfuz Omar dan Hanipa Maidin bersama peguam, Ambiga Sreenevasan dilaporkan media tempatan menuduh sokongan PN kepada Ismail Sabri sebagai tidak sah kerana bersyarat seperti yang diumumkan Muhyiddin.