Tag: akta racun

  • Nikotin: Apa justifikasi sebenar Menteri Kesihatan?

    Nikotin: Apa justifikasi sebenar Menteri Kesihatan?

    SEORANG ahli akademik mempersoalkan justifikasi Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di sebalik langkah mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun baru-baru ini.

    Menurut Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr. Harmy Mohamed Yusoff, keputusan itu juga mencetuskan tanda tanya pihak manakah boleh diharapkan untuk menjaga kesihatan rakyat jika jika menteri sendiri tidak bertindak untuk melindunginya.

    “Langkah kerajaan untuk mengeluarkan Nikotin daripada senarai racun dalam Akta Racun 1952 adalah satu langkah keji dan terkebelakang serta menggadai kesihatan rakyat di negara ini dan hanya menguntungkan industri vape semata-mata,” tegas beliau.

    KKM pada 1 April lalu mengeluarkan nikotin daripada senarai racun dalam Akta Racun 1952 bagi membolehkan kerajaan mengenakan cukai ke atas rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

    Dengan tindakan itu kerajaan menjangkakan akan mendapat tambahan keuntungan pendapatan kira-kira RM600 hingga RM700 juta hasil daripada percukaian tersebut.

    Mengulas lanjut Harmy turut mempersoalkan, adakah kerajaan khususnya KKM telah mengambil kira kos langsung dan tidak langsung rakyat akibat kesan daripada mengambil vape sama ada dalam jangka masa pendek dan panjang?

    “Sebelum ini pun, pihak kerajaan telah memperolehi cukai daripada rokok sebanyak RM3 billion setahun.

    “Namun begitu, negara kita terpaksa membelanjakan lebih daripada 6 billion untuk merawat penyakit akibat rokok,” tegasnya menurut laporan Harakahdaily.

    Beliau turut memberitahu bahawa dalam keadaan negara lain seperti Singapura, Jepun, Amerika Syarikat sedang memperkasakan peraturan kawalan vape, keputusan yang diambil oleh KKM adalah langkah terkebelakang dalam usaha menangani ketagihan tembakau dan nikotin.

    “Hal ini, telah mendedahkan rakyat khususnya generasi muda kepada satu ketagihan baru yang akan memusnahkan kehidupan mereka,” ujarnya.

    Harmy menegaskan lagi bahawa kajian yang telah dilakukan telah menunjukkan bahawa penghisap vape di Malaysia telah meningkat dengan ketara daripada 0.8 peratus pada tahun 2011 kepada 3.2 peratus pada tahun 2016; dan seterusnya meningkat kepada 5.4 peratus pada tahun 2021.

    “Ini dapat dilihat dengan peningkatan bilangan penghisap vape secara drastik daripada tidak sampai 200,000 orang pada tahun 2011 kepada 600,000 orang pada tahun 2016 dan terus meningkat kepada 1.2 juta orang pada tahun 2019.

    “Pada masa ini dianggarkan jumlahnya sudah melebihi 1.5 juta berdasarkan kepada perkembangan pesat industri ini.

    “Keadaan ini berlaku dalam keadaan penjualan vape yang mengandungi nikotin dikawal oleh Akta racun 1952,” jelasnya.

    Sehubungan itu, beliau turut memberitahu agar bayangkan apa yang akan berlaku setelah tidak ada lagi peraturan yang boleh mengawal selia penjualan vape di negara ini?

    Katanya, selepas ini vape bebas dijual di kedai-kedai runcit, restoran, pasar raya dan dalam talian.

    “Kajian yang telah dilakukan mendapati purata umur remaja yang mula menghisap vape terdiri daripada mereka yang berusia di awal remaja iaitu 13 tahun lagi.

    “Justeru itu, kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat menunjukkan peningkatan sebanyak 900 peratus penagih vape dalam kalangan remaja di antara tahun 2011 hingga tahun 2016.

    “Di Australia pula, hampir sepertiga pelajar sekolah telah terjebak menghisap Vape. Golongan remaja juga didapati menghisap vape sebagai alternatif kepada merokok dan menganggapnya tidak merbahaya. Kajian menunjukkan corak yang sama turut berlaku di negara kita,” kongsinya.

    Tambah beliau, banyak kajian-kajian dan laporan kesihatan yang diterbitkan menunjukkan bahawa vape bukanlah suatu produk yang selamat digunakan.

    Ia boleh memudaratkan kesihatan seseorang dan mencemarkan persekitaran. Antaranya adalah bahaya kepada alam sekitar melalui pembuangan alat peranti vape samada elemen plastik, bateri litium, litar elektronik dan pencemaran kimia hasil daripada penggunaan cecair vape yang tidak habis.

    “Berjuta-juta peranti vape akan dibuang dengan cara yang tidak betul dan memberi kesan kepada alam sekitar.

    “Bahaya letupan alat peranti vape yang menyebabkan kebakaran dan letupan, banyak kecederaan letupan dan kecederaan terbakar yang melibatkan anggota muka, bibir, leher dilaporkan dalam kalangan penghisap vape,” ujarnya.

    Selain itu, bahaya keracunan nikotin akibat terminum terutama dalam kalangan kanak-kanak dan bagi orang dewasa pula cecair nikotin vape digunakan sebagai cecair membunuh diri.

    Sementara itu, Harmy memberitahu bahawa laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Racun Negara Pulau Pinang menunjukkan keracunan vape meningkat berkali ganda sejak vape memasuki pasaran negara mulai tahun 2012.

    Justeru, katanya lagi vape turut menyumbang kepada bahayanya kepada kesihatan seseorang sehingga boleh menyebabkan masalah paru-paru seperti ‘Evali’ yang telah meragut lebih 70 nyawa di Amerika Syarikat dan menyebabkan beribu-ribu orang dimasukkan ke dalam wad sejak vape diperkenalkan.

    Di dalam cecair dan asap vape, semakin banyak bahan-bahan toksik dan karsinogenik di kenal pasti dan ini boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit termasuk kanser, jantung dan sebagainya.

    Sementara, kandungan nikotin pula akan memberi kesan kepada otak neurodegenertaif terutama pada otak yang sedang berkembang (development brain) dan salur darah serta organ-organ yang lain.

    Beliau berkata bahan-bahan ini berpotensi menyebabkan kanser walaupun kajian pada jangkamasa panjang belum dihasilkan (kerana vape baharu dalam pasaran) tetapi kajian pada haiwan telah menunjukkan kesan kanser paru-paru dan kanser pundi kencing.

    “Namun demikian, pandangan daripada pakar-pakar berkaitan perkara ini seperti Bahagian Kawalan Penyakit, Persatuan Farmasi dan Bahagian Farmasi serta Lembaga Racun yang menolak cadangan tersebut bagaimanapun tidak dipertimbangkan oleh pihak KKM,” katanya.

  • Status GEG dipersoal selepas langkah nyahsenarai nikotin

    Status GEG dipersoal selepas langkah nyahsenarai nikotin

    STATUS dan dasar Penamat Generasi atau Generation End Game (GEG) terus dipersoal selepas tindakan kerajaan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan kawalan Akta Racun, menambah risiko lebih ramai anak muda terjebak aktiviti vape.

    Menurut Ketua Eksekutif Galen Center Azrul Mohd Khalib, kenyataan balas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi soal jawab perdana menteri di Dewan Rakyat turut menunjukkan kerajaan merasakan tindakan mengharamkan vape atau rokok elektronik yang mengandungi nikotin sebagai tindakan yang drastik dan tak perlu diberi keutamaan.

    “Memandangkan pada asasnya dasar GEG yang mengharamkan penggunaan rokok, vape dan e-rokok daripada generasi yang dilahirkan dari tahun 2007 dan seterusnya, adakah ini bermakna komponen GEG telah dialih keluar daripada RUU (Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022)” katanya kepada MalaysiaNow.

    Anwar dalam jawapan di Dewan Rakyat pada Selasa berkata sukar untuk kerajaan mengharamkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.

    Meskipun beliau memberi jaminan rang undang-undang GEG bagi mengharamkan tabiat itu tetap akan dibentangkan pada Mei, pakar dan kumpulan kesihatan berpandangan kenyataan tersebut seolah-olah memberi bayangan kerajaan tidak bersungguh melaksanakan usaha tersebut.

    Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengesahkan pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952.

    Keputusan berkenaan tetap dilaksanakan meskipun bertentangan dengan keputusan sebulat suara Lembaga Racun.

    Sementara itu, pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar tidak menolak kenyataan Anwar tabiat merokok sukar dikawal memandangkan tiada satu negara pun yang berjaya mengharamkan produk tembakau kecuali di Bhutan pada tahun 2010.

    Ia menjadi negara pertama yang mengharamkan penjualan tembakau dan merokok di tempat awam.

    Bagaimanapun larangan itu hanya bertahan hanya sedekad lebih sehingga tercetusnya pandemik Covid-19 yang memaksa pembuat dasar bertukar haluan kepada menghalalkan penjualan tembakau dalam negara.

    Bagaimanapun, kata Zainal, kerajaan perlu mengawal penggunaan rokok dan vape dari semua aspek bagi mengurangkan penagihan dan kemudaratannya.

    Ini termasuk kawalan yang ketat termasuk mengenakan cukai untuk kurangkan penggunaan dan juga dana “sin – tax,”.

    Mengulas lanjut, beliau menegaskan langkah nyahsenarai nikotin itu sepatutnya dibuat selepas RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dibentang dan diluluskan.

    “Sekarang kerajaan membuka ‘floodgates’ nikotin, vape dan sejenis dengannya.

    “Dan semua pihak termasuk kanak-kanak boleh dapat dan guna yang akhirnya membawa kepada ketagihan nikotin,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Beliau mengesyorkan kerajaan menangguhkan dahulu keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun sehingga RUU tersebut sudah diluluskan dan menjadi undang-undang.

    Sebelum ini, penggunaan vape sering kali dikaitkan dengan alternatif untuk mengurangkan tabiat merokok.

    Meskipun rokok elektronik atau vape dianggap sebagai alternatif yang jauh lebih selamat daripada tembakau, ia terbukti berpotensi memudaratkan kesihatan.

    Laporan yang diterbitkan dalam American Journal of Preventive Medicine pada Disember 2021 mendapati penggunaan vape secara signifikan meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit paru-paru kronik seperti asma, bronkitis dan emfisema.

    Jonathan Grigg, pengarang bersama dalam jurnal tersebut dan berkhidmat sebagai profesor di Jabatan Pediatrik dan Respiratori berkata vape sepatutnya hanya digunakan untuk membantu orang yang mahu berhenti merokok.

    “Vape tidak boleh digunakan oleh kanak-kanak, orang muda atau bukan perokok.”

  • Kecualikan nikotin dari Akta Racun: MMA tak terima alasan menteri

    Kecualikan nikotin dari Akta Racun: MMA tak terima alasan menteri

    PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan kekecewaan mereka terhadap Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berhubung langkah kerajaan untuk mengecualikan nikotin daripada Akta Racun.

    Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, Dr Zaliha dalam satu mesyuarat pada Rabu lalu mengakui bahawa keadaan itu bukanlah ideal kerana Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 masih belum diluluskan.

    Namun memetik laporan Malaysiakini, Dr Zaliha “dengan berat hati” telah meluluskan pengecualian nikotin itu bagi membuka jalan agar cecair vape termasuk yang mengandungi nikotin dicukai bermula 1 April.

    Selain Dr Zaliha, Muruga berkata wakil MMA, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Majlis Kanser Nasional, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Kementerian Kesihatan turut menyertai mesyuarat itu.

    “Kami telah mendengar penjelasan menteri dan masih mendapati sebab yang diberikan tidak boleh diterima.

    “Kerajaan sepatutnya menunggu satu atau dua bulan lagi untuk Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibentangkan dan diluluskan sebelum terus mengecualikan nikotin daripada Akta Racun.

    “Faktor kesihatan mesti menjadi keutamaan teratas,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewartakan perintah untuk mengenakan duti eksais 40 sen bagi setiap mililiter cecair e-rokok atau gel yang mengandungi nikotin, bermula 1 April.

    Pada 31 Mac, Zaliha turut mewartakan perintah untuk meminda Akta Racun bagi mengecualikan nikotin daripada akta tersebut.

    Sebelum itu, ia diklasifikasi sebagai racun Kumpulan C dan hanya boleh dijual pengamal perubatan dan farmasi. Pengecualian hanyalah untuk produk untuk berhenti merokok dan tembakau seperti gula-gula getah tembakau (yang dikawal selia di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004).

    Menurut laman kesihatan CodeBlue, Zaliha telah menggunakan kuasa sebagai menteri untuk mengambil langkah itu walaupun dengan bantahan Lembaga Racun, iaitu badan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Racun dan berperanan menasihati menteri.

    Bagaimanapun, Kementerian Kewangan didakwa meminta Kementerian Kesihatan mengecualikannya bagi memberi akses kepada pengguna dan pengeluar tempatan untuk mengeluarkan produk berkaitan secara sah.

    Risiko golongan bawah umur

    Sejumlah persatuan termasuk MMA sebelum ini memberi pringatan bahawa pengecualian tanpa langkah lakawan di bawah RUU kawalan tembakau akan membenarkan sesiapa sahaja, termasuk golongan bawah umur, untuk membeli produk vape yang mengandungi nikotin.

    MMA juga mengingatkan yang nikotin adalah bahan yang berbahaya dan mudah mendatangkan ketagihan.

    Zaliha berjanji RUU tersebut akan dibawa ke Parlimen pada sidang akan datang.

    Dengan pengecualian telah pun diberikan, Muruga berkata kerajaan mesti bertanggungjawab atas keputusan itu dan menunjukkan komitmen ke arah dasar generasi penamat yang menghalang penggunaan dan penjualan produk merokok (termasuk vape) kepada warga yang lahir bermula 1 Januari 2007.

    “Ada bukti saintifik berkenaan kesan bahaya vape kepada kesihatan. MMA akan menyokong kerajaan dalam usaha ini.

    “Jika kita terlambat dalam menangani isu ketagihan vape yang kian meningkat di negara ini, semua hasil cukai yang dikutip daripada industri vape mungkin tidak cukup untuk membiayai kos perubatan untuk merawat su kesihatan yang disebabkannya,” katanya lagi.