Tag: akar umbi UMNO

  • PRN 6 negeri penentu akar umbi UMNO terima DAP atau tidak – Ismail Sabri

    PRN 6 negeri penentu akar umbi UMNO terima DAP atau tidak – Ismail Sabri

    BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan pilihan raya di enam negeri bakal menjadi penentu sama ada akar umbi parti itu boleh menerima kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP atau sebaliknya.

    Beliau yang juga bekas perdana menteri berkata, penilaian melalui PRN perlu memandangkan kerjasama dengan DAP dibuat secara mengejut iaitu seminggu selepas keputusan PRU15 berikutan dua parti itu mempunyai sejarah panjang permusuhan.

    “Dari segi kajian kita tak ada, kita (UMNO) dengan DAP hubungan tidak pernah bersama. Perjuangan kita berbeza dengan UMNO dan DAP…macam kalau laluan satu ke kanan satu kiri, seminggu selepas PRU kita bentuk kerajaan bersama.

    “Terkejut itu memang terkejut, soal penerimaan (akar umbi) sampai hari ini kita tak buat kajian, tapi mungkin PRN nanti akan memberi gambaran,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan, perjuangan dan sikap orang UMNO terhadap DAP amat jelas apabila mereka tidak boleh menerima parti itu.

    “DAP sejak dahulu lagi tidak boleh menerima UMNO tetapi tiba-tiba seminggu selepas pilihan raya, kita kerjasama, sebab itu saya katakan kawin kena bercinta dulu, sekurangnya kita kenal sudah lama,” katanya kepada media di program beli belah baju raya bersama 41 penghuni Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Keramat.

    Beliau berkata, demikian ketika ditanya sejauh mana akar umbi UMNO boleh menerima kerjasama dengan DAP selepas empat bulan membentuk kerajaan perpaduan.

    Katanya, berbanding kerjasama dengan Pas sebelum ini, ia dibuat lebih lama melalui Muafakat Nasional (MN) dan mempunyai struktur jawatankuasa dari peringkat atasan sehingga bawahan, berbanding PH.

    “Dengan Pas, kita ada jawatankuasa sehingga di peringkat bahagian kerjasama UMNO-Pas, kalau bulan puasa boleh buat majlis berbuka bersama…ibadah qurban bersama, ia tak sama (kerjasama dengan PH),” katanya.

    Mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari bahawa orang Malayu lebih menyokong Perikatan Nasional (PN) berbanding UMNO, Ismail Sabri berkata, itu pandangan pemimpin DAP sebab parti itu ada penilaian sendiri.

    “Tengok keputusan pilihan raya, kita tak tahu itu mungkin andaian dia seperti itu, dan UMNO bukan berdiam diri sahaja, teruskan bekerja pastikan kemenangan dan kita ada kepimpinan baharu, ada perancangan baharu, itu andaian Aziz.” katanya.

  • Akar umbi UMNO diajak undi PN, beri isyarat pimpinan parti agar insaf

    Akar umbi UMNO diajak undi PN, beri isyarat pimpinan parti agar insaf

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AKAR umbi UMNO dan Barisan Nasional (BN) diajak untuk sama-sama memberi undi kepada calon Perikatan Nasional (PN) di seluruh negara, sebagai isyarat kepada pimpinan mereka agar kembali insaf daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau tahu bahawa kalangan akar umbi UMNO dan BN sendiri sememangnya tidak menyukai pemimpin korup, rasuah serta terlibat dalam pelbagai perkara tidak baik hingga berdepan banyak kes di mahkamah.

    Keadaan itu katanya menyebabkan muncul pelbagai gelaran kluster dalam UMNO seperti kluster mahkamah, kluster sakau, kluster menteri dan kluster PWTC dalam kalangan masyarakat umum.

    “Jadi untuk beri isyarat bahawa ahli UMNO dan komponen BN sudah tak mahu pemimpin begini dalam parti tersebut, maka buatlah perubahan tahun ini dengan mengundi PN dan insya Allah tahun depan, mereka insaf.
    Kalau pangkah BN lagi hingga membolehkan mereka kekal berada di tempat lama, mereka takkan insaf.

    “Sepatutnya keputusan PRU14 memberi keinsafan kepada mereka tetapi apabila kita berpakat jatuhkan PH, dia jadi ‘merak’ balik. Kais orang itu, orang ini dan perangai lama dah datang apabila dapat kuasa semula.

    “Kita semua tahu dan nampak dengan jelas perkara itu. Jadi untuk PRU15, kita sekali lagi beri pengajaran serta isyarat jelas kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan BN untuk berubah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam siri ceramah Jelajah PN Best dekat Taman Wira, Alor Setar, malam tadi.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menambah, pimpinan UMNO juga sebelum ini bertindak seperti ‘budak-budak’ apabila diajak untuk memperkukuhkan perpaduan ummah bersama Pas dan Bersatu.

    “Kita ajak buat perpaduan ummah, dia (UMNO) bagi syarat tinggalkan Bersatu. Katanya jangan berkawan dengan Bersatu baru boleh berkawan dengan aku.

    “Perpaduan ummah ini sepatutnya untuk semua orang dan tak bolehlah kalau nak berkawan dengan ‘hang’, tak boleh berkawan dengan ‘orang’ itu. Macam budak-budak main tuju kasut pula.

    “Kalau betul-betul nak buat perpaduan ummah, kenalah terima semua orang,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut menyifatkan UMNO sebagai sebuah rumah yang sedang berantakan dengan balingan belanga dan pinggan di dalamnya.

    “Kepada saudara saya yang berada dalam UMNO dan BN, tak mengapa kalau duduk dalam parti itu pun. Kalau nak pacak bendera, gantung banner dan ari duit sikit tak mengapa tetapi undilah PN.

    “Undi kita ini tak ada orang tahu. Dalam masa sama, rakan-rakan dalam Taman Wira ini juga undilah PN kerana saya telah pusing satu Malaysia dan melihat gelombang kemahuan rakyat ke arah PN ini sedang melanda seluruh negara” katanya.