Tag: akad nikah

  • Kelantan benar akad nikah di premis persendirian, masjid

    Kelantan benar akad nikah di premis persendirian, masjid

    KELANTAN membenarkan majlis akad nikah dijalankan di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sebarang sentuhan berkuat kuasa serta-merta.

    Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata majlis akad nikah yang dijalankan tidak melebihi 30 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    Beliau berkata kehadiran semasa majlis akad nikah dibenarkan tidak melebihi 10 orang yang telah lengkap divaksin termasuk pasangan pengantin, jurunikah/imam, wali pengantin perempuan dan saksi.

    “Bagi pasangan dan wali pengantin perempuan yang belum lengkap divaksin diwajibkan menjalani ujian saringan pengesanan jangkitan COVID-19 sama ada ujian pantas (RTK) antigen, ujian reaksi berantai polimerase (PCR) ataupun ujian kendiri selewat-lewatnya dua hari sebelum majlis akad nikah dijalankan.

    “Keputusan ujian kendiri hendaklah dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Che Mohd Rahim berkata wali pengantin perempuan boleh membuat permohonan wakalah wali sekiranya mengalami keuzuran untuk hadir di majlis akad nikah.

    “Hanya jurunikah atau imam yang telah lengkap divaksin sahaja boleh mengakad nikah pasangan tersebt. Bagi imam atau jurunikah yang belum melengkapi vaksin, pasangan boleh memohon untuk diakad nikah oleh imam atau jurunikah mukim bersebelahan yang telah lengkap divaksin,” katanya.

    Beliau berkata majlis akad nikah boleh dibatalkan jika melanggari mana-mana perkara dan peruntukan yang telah ditetapkan.

    “Apa-apa arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah terpakai. Semua arahan pentadbiran yang telah dikeluarkan sebelum ini adalah terbatal,” katanya.- BERNAMA

  • Saringan Covid-19 sebelum akad nikah di P Pinang

    Saringan Covid-19 sebelum akad nikah di P Pinang

    PASANGAN yang bakal menjalankan akad nikah di pejabat agama daerah (PAD) di Pulau Pinang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri 30 minit sebelum majlis berlangsung berkuat kuasa hari ini dan hanya pasangan yang didapati negatif dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah.

    Perkara itu antara garis panduan terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di negeri berkenaan.

    Selain pengantin lelaki dan perempuan, wali dan saksi nikah juga diwajibkan untuk menjalani saringan Covid-19 sekurang-kurangnya menggunakan kit ujian kendiri.

    Pengarah JHEAIPP, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, pasangan pengantin yang diterima bagi tujuan akad nikah pula tidak boleh melebihi 10 orang setiap hari bagi setiap PAD.

    Jelasnya, pasangan pengantin yang tidak mendapat kebenaran untuk merentas daerah atau negeri pula boleh melantik dan mewakilkan kepada seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.

    “Selain itu kesemua pihak perlu mematuhi tarikh dan masa yang ditetapkah oleh PAD antaranya tempoh masa pelaksanaan akad nikah tidak melebihi 30 minit.

    “Majlis boleh dibatalkan sekiranya ada pihak yang gagal hadir pada masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu kata beliau, kehadiran bagi majlis akad nikah dihadkan kepada tujuh orang sahaja  termasuk pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi, ayah atau ibu pengantin lelaki dan jurugambar.

    Tambahnya, semua permohonan perkahwinan luar negeri diterima dan hanya permohonan yang lengkap akan diproses.