Tag: Air Selangor

  • Lori tangki air digerak bantu pengguna terjejas

    Lori tangki air digerak bantu pengguna terjejas

    SEBANYAK 85 lori tangki air digerakkan ke kawasan terlibat bagi memberi bantuan bekalan air kepada pengguna terjejas, susulan insiden pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

    Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, bantuan bekalan air itu disalurkan dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian, sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

    Terdahulu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi tadi, berikutan henti tugas sementara di kedua-dua LRA tersebut. 

    Lokasi yang terlibat ialah 172 kawasan di sekitar Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).

    Selain itu, Air Selangor turut melakukan ujian persampelan secara kerap, bagi mengukur kualiti air yang terjejas kesan daripada bahan sisa pencemaran tersebut.

    “Usaha menangani insiden pencemaran ini dijalankan secara bersama antara Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bagi mengatasi pencemaran bau tersebut agar LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dapat beroperasi semula dengan segera.

    “Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa, menerusi semua medium khususnya media massa,” menurut kenyataan itu.

    Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat terkini.

    Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

  • Empat hari tiada air, orang ramai mula simpan bekalan

    Empat hari tiada air, orang ramai mula simpan bekalan

    Oleh ADAM RAZAK

    PENGGUNA di sekitar Lembah Klang bakal menghadapi masalah gangguan bekalan air berjadual selama empat hari mulai esok.

    Gangguan bekalan bermula pukul 9 pagi itu akan menjejaskan 998 kawasan di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

    Tinjauan Warta Rakyat di sekitar Kuala Lumpur mendapati pengguna sudah mula membuat persiapan bagi menghadapi masalah berkenaan.

    Orang ramai membeli tong air bagi persediaan berikutan gangguan bekalan air di sekitar lembah klang bermula esok sehingga 16 oktober ini ketika tinjauan UtusanTV di Kampung Baru, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Orang ramai mula menyimpan bekalan dalam tong-tong besar serta baldi untuk kegunaan semasa ketiadaan air.

    Ada juga yang mengambil kesempatan membeli tong lebih besar bagi memastikan bekalan untuk kegunaan harian mencukupi.

    Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. sebelum ini memaklumkan gangguan yang hanya akan berakhir Sabtu ini itu berikutan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1.

  • LRA Sungai Semenyih rekod bacaan sifar ton

    LRA Sungai Semenyih rekod bacaan sifar ton

    PENGURUSAN Air Selangor (Air Selangor) kini dalam proses memulakan proses rawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas semalam agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna. 

    Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata langkah itu penting selepas bacaan tahap sifar TON (ukuran kadar bau) sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan di Sungai Semenyih pada 6 pagi tadi. 

    Beliau berkata berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

    “Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas serta premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan dan Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.- BERNAMA

  • Gangguan air di Selangor, Putrajaya dijangka pulih Jumaat ini – Air Selangor

    Gangguan air di Selangor, Putrajaya dijangka pulih Jumaat ini – Air Selangor

    GANGGUAN bekalan air di 463 kawasan akibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih, dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam, Jumaat ini.

    Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata pihaknya telah menjalankan ujian kualiti air di LRA tersebut dengan mematuhi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. 

     “Air terawat dari LRA Sungai Semenyih telah disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada para pengguna. Pada masa kini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di kesemua kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata bekalan air bersih dan selamat telah mula disalurkan secara berperingkat ke kawasan terjejas bermula 7 pagi tadi dengan menggunakan 94 lori tangki air.

    Semalam, gangguan bekalan air itu meliputi lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

    Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk laman sesawang www.airselangor.com dan semua saluran rasmi media sosial Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram serta menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor, untuk sebarang pertanyaan dan aduan.- BERNAMA