Tag: air percuma

  • Bantuan bulanan RM400, parkir, air percuma, kuota khas rumah bagi keluarga muda – Tawaran PN Selangor

    Bantuan bulanan RM400, parkir, air percuma, kuota khas rumah bagi keluarga muda – Tawaran PN Selangor

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) Selangor akan memperkenalkan inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor dengan peruntukan sebanyak RM312 juta setahun jika mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini.

    Mengumumkan perkara itu Pengerusi PN, Tan Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif itu dijangka dapat membantu 65,000 keluarga yang memerlukan, menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas.

    “Selain itu kerajaan PN di Selangor juga akan mewujudkan inisiatif Bantuan Prihatin Nelayan Selangor berjumlah RM5 juta setahun dengan menyalurkan bantuan seperti enjin bot dan alatan akuakultur,” katanya berucap mengumumkan Tawaran PN Selangor sempena PRN di Shah Alam malam ini.

    Tawaran lain yang terkandung di tunjang mensejahterakan kehidupan rakyat adalah seperti berikut:

    • Mengecualikan bayaran parkir di kawasan letak kenderaan bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor Utara;
    • Menaikkan elaun bulanan yang dibayar oleh Kerajaan negeri kepada penggerak masjid dan surau iaitu imam sebanyak RM1,700, bilal RM800, siak RM600 dan nazir RM600;
    • Mewujudkan skim Rumah Pertama Darul Ehsan merangkumi pemilikan rumah pangsa tiga bilik bagi golongan yang memerlukan serta menyediakan kuota khas bagi keluarga muda;
    • Memperluaskan Skim Peduli Sihat termasuk Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan kepada rakyat Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah; dan
    • Memperluaskan kemudahan pengangkutan percuma “Van Selangor Care” bagi memudahkan pergerakan warga emas dan OKU ke pusat kesihatan, serta menyediakan dana berjumlah RM15 juta untuk inisiatif jaringan perkhidmatan Ambulans Komuniti Selangor (AKoS).
    1. Bagi menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang sukan serta merancakkan arena sukan di Selangor, pelbagai program pembangunan sukan akan diperkenalkan seperti:

    a. Memperuntukkan dana Infra Sukan Selangor sebanyak RM30 juta setahun bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara fasiliti sukan mesra rakyat;

    b. Menyediakan dana khas Sukan Olimpik dan Paralimpik bagi mencungkil potensi dan menggilap bakat anak Selangor dalam bidang sukan untuk bersaing di peringkat dunia; dan

    c. Menyediakan insentif Darul Ehsan E-Sports (DEES) dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

    1. PN juga akan memberi tumpuan kepada usaha menyantuni keluarga muda dengan menawarkan pelbagai inisiatif-inisiatif. Antaranya:

    a. Mewujudkan inisiatif Bina Keluarga Selangor (BKS) sebanyak RM500 untuk pasangan pengantin baharu;

    b. Menyediakan insentif Lahir Selangor bernilai RM500 kepada ibu bersalin; dan

    c. Memperbanyak rumah transit dan projek perumahan rakyat di kawasan terpilih untuk sewaan kepada pasangan belia yang baru berkahwin.

    PN peka dan mendengar keluhan rakyat berhubung bantuan air percuma. Oleh sebab itu, program air percuma melalui inisiatif 20 meter padu air percuma akan diperluaskan kepada pemegang akaun dengan pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah.

  • Krisis air:Terengganu beri air percuma dua bulan

    Krisis air:Terengganu beri air percuma dua bulan

    KERAJAAN negeri Terengganu bersetuju untuk memberikan air percuma selama dua bulan kepada penduduk daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang mengalami gangguan bekalan air sejak Isnin lalu.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, pengecualian itu berkuat kuasa selepas kerja baik pulih paip yang pecah di dasar Sungai Terengganu selesai.

    “Sebagai menghargai kesabaran penduduk yang terjejas, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua pemegang akaun terlibat selama dua bulan setelah kerja baik pulih selesai.

    “Sepanjang tempoh krisis, kerajaan negeri juga sedang menguruskan bekalan air minuman bersih sampai kepada semua penduduk yang terjejas,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

    Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban ditanggung penduduk termasuk membekalkan mereka dengan air bersih.

    Katanya, ketika ini, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sedang berusaha membaiki paip di dasar sungai berkenaan.

    “Bersama kita doakan agar kerja pembaikan berjalan mengikut jadual sekali gus dapat menamatkan segera krisis air ini,” tambahnya.

    Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun pengguna SATU di lima Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Tepoh, Batu Rakit, Buluh Gading, Manir dan sebahagian Dun Seberang Takir.