Tag: air pasang besar

  • Penduduk tiga negeri diingatkan sedia hadapi banjir, air pasang besar

    Penduduk tiga negeri diingatkan sedia hadapi banjir, air pasang besar

    PENDUDUK di beberapa daerah dan kawasan di Johor, Sabah serta Pahang diingatkan supaya bersedia menghadapi risiko banjir dan air pasang besar ekoran fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata daerah Muar dan Tangkak, Johor adalah antara lokasi seterusnya diramal terkesan banjir dalam masa terdekat mengambil kira hujan yang masih berterusan.

    Beliau berkata di Sabah pula, kawasan di utara dan pantai timur negeri itu juga dikenal pasti akan dilanda air pasang besar selain banjir melibatkan Pitas dan Kota Marudu.

    “Luruan pertama dan kedua MTL telah berlaku Disember tahun lepas. Walaupun belum ada laporan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena hujan lebat berterusan bermula semalam dan diramal berterusan hingga 30 Jan ini boleh dikategorikan sebagai luruan ketiga.

    “… Justeru, semua agensi telah mengambil usaha dan pendekatan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan kampung yang perlu untuk kita pindahkan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek di sini hari ini.

    Beliau berkata ketika ini fokus pihaknya adalah untuk menyelaraskan semua agensi yang tertakluk dalam arahan nombor 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) dalam aspek pengurusan bencana dan penyampaian maklumat lebih jelas kepada orang ramai terutama mangsa yang ditempatkan di PPS.

    “Seterusnya selepas berpindah, fokus kita adalah memastikan kebajikan dan kesihatan mangsa menerusi penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

    Setakat 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 4,207 orang melibatkan 1,164 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS di Segamat, Muar, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Mersing.

    Dalam pada itu, Armizan dalam kenyataan berkata keseluruhannya, MTL yang bermula November tahun lepas hingga hari ini telah menjejaskan seramai 121,594 orang daripada 34,357 keluarga yang dipindahkan ke 444 PPS susulan banjir dan air pasang besar di seluruh negara.

    “Saya ingin memberi peringatan kepada rakyat supaya sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan MetMalaysia serta menjaga keselamatan dan tidak bertangguh untuk berpindah ke PPS sekiranya diarahkan untuk berbuat demikian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

    “Pada masa sama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah diarah supaya memastikan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat negeri dan daerah yang terlibat untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

    Menurut Armizan, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) pula akan beroperasi 24 jam sehari bagi memantau dan menyelaras agensi terlibat dalam pengurusan bencana.

    Beliau berkata semua urusan penyelarasan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan lain-lain bantuan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan banjir akan diuruskan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

    Sementara itu, tinjauan Bernama di PPS terdapat pertambahan mangsa dari semasa ke semasa dengan kebanyakan mereka datang sendiri ke PPS setelah mengambil kira kemungkinan risiko banjir yang lebih teruk ekoran hujan yang masih belum reda. – BERNAMA

  • Air pasang besar: Enam beranak bermalam dalam kereta

    Air pasang besar: Enam beranak bermalam dalam kereta

    BIMBANG laluan ke rumahnya terjejas akibat fenomena air pasang di sebuah perkampungan atas air di Sandakan, sebuah keluarga enam beranak mengambil langkah bermalam dalam kereta sebagai langkah keselamatan malam tadi.

    Riden Abdul Mutalib, 43, berkata dia sekeluarga keluar rumah yang berkedudukan hampir dengan kawasan darat di Kampung Forest kira-kira 9 malam apabila mendapati paras air laut mulai meningkat.

    “Kami risau jambatan (ke rumah) roboh nanti, susahlah kami turun (keluar rumah).

    “Sudahlah banyak rumah di laut sudah roboh (malam Sabtu lepas). Jadi, tiada lampu di sana,” katanya ketika ditemui di kampung itu.

    Riden berkata dia sekeluarga memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 kerana mahu menyelamatkan barang lain milik keluarganya tetapi pihak keselamatan hanya membenarkannya pulang ke rumah apabila paras air telah surut.

    “Mana yang kita boleh selamatkan, kita selamatkanlah…kita sangkakan tiada lagi air pasang kembali begini dalam,” katanya.

    Seorang lagi penduduk Kampung Forest Zulaikah Ali, 23, berkata dia sekeluarga juga memilih tidak berpindah ke PPS malam tadi sebaliknya menumpang rumah saudara yang berada pada paras kedudukan tinggi.

    Jelasnya, insiden pecah masuk rumah di kawasan itu menjadi kebimbangan penduduk setiap kali sesuatu bencana berlaku.

    Meskipun rumahnya tidak terjejas teruk oleh air pasang, dia berkata bekalan elektrik di kampung itu dimatikan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian Sabtu lepas manakala seorang bapa saudaranya bertindak tinggal untuk menjaga rumah bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

    Pada malam 24 Dis lepas, kira-kira 100 rumah di Kampung Forest roboh akibat fenomena air pasang besar.

    Setakat ini, sebanyak 684 orang melibatkan 122 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2. – BERNAMA

  • 105 rumah roboh dipukul ombak, 96 keluarga terjejas

    105 rumah roboh dipukul ombak, 96 keluarga terjejas

    SEKURANG-kurangnya 105 rumah dilaporkan roboh dipukul ombak ketika fenomena air laut pasang besar berlaku di dua kampung di Sandakan, Sabah malam tadi.

    Lebih 200 mangsa dilaporkan terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, membabitkan Kampung Forest dan Kampung Tinusa Dua.

    Sebahagian rumah yang roboh dipukul ombak di Kampung Forest, Sandakan, malam tadi. Foto MEDIA SOSIAL

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan media, pagi ini memaklumkan, dianggarkan 100 rumah roboh di Kampung Forest.

    Katanya, sebanyak 500 rumah lain turut terancam dalam kejadian berkenaan.

    “Lima rumah turut roboh di Kampung Tinusa Dua dan 20 lagi dilaporkan terancam.

    “Namun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata kejadian itu membabitkan lebih 200 mangsa daripada 96 keluarga.

    “Semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kebangsaan (SMK) Sungai Anib Dua.

    “Namun, pecahan mangsa belum dikenal pasti dan proses pemindahan masih dijalankan,” katanya.

  • 600 penduduk dipindahkan banjir kilat di Batu Pahat

    600 penduduk dipindahkan banjir kilat di Batu Pahat

    SERAMAI 600 penduduk di beberapa kawasan di Sri Gading, di Batu Pahat dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading setelah kediaman mereka dinaiki air susulan banjir kilat awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua mangsa daripada 190 keluarga itu dipindahkan berikutan air naik selepas hujan lebat bermula pukul 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, selain bertembung dengan fenomena air pasang besar sekitar pukul 3 pagi.

    Beliau berkata empat kawasan yang terlibat banjir kilat ialah Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading dan Pekan Seri Gading.

    “Pada awalnya, PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gading, namun sekolah itu juga dinaiki air dan mangsa kemudiannya dipindahkan ke SMK Seri Gading.

    “Usaha membantu memindahkan mangsa sedang dijalankan dan sehingga kini jalan-jalan utama yang menghubungkan daerah Batu Pahat dengan lain-lain daerah masih boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Selain polis, operasi menyelamat mangsa banjir turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).- BERNAMA

  • Air pasang besar dijangka berlarutan empat hari

    Air pasang besar dijangka berlarutan empat hari

    PENDUDUK di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung dinasihatkan supaya lebih berwaspada, berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), antara kawasan yang berisiko tinggi adalah Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk (Perak), Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor, serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

    “Walaupun fenomena air pasang besar kali ini berskala lebih kecil berbanding November lepas, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

    “Keadaan tersebut akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    Justeru, orang ramai diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan. – BERNAMA

  • Awas! Air pasang besar melanda, jauhi kawasan pantai

    Awas! Air pasang besar melanda, jauhi kawasan pantai

    FENOMENA air pasang besar mula melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor sejak lewat malam tadi menyebabkan limpahan ke beberapa kawasan termasuk penempatan penduduk.

    Memetik laporan Bernama, situasi itu seperti dijangkakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada Ahad lepas, yang memaklumkan air pasang besar dijangka berterusan di negeri terbabit selama empat hari bermula semalam (4 Nov).

    JPS turut memberi peringatan fenomena itu akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak selain berisiko mengakibatkan banjir kilat, limpahan air laut serta banjir pantai.

    Di KEDAH, beberapa kawasan di negeri itu khususnya di Kuala Kedah, mula dinaiki air sekitar 11.30 malam tadi menyebabkan limpahan air ke penempatan penduduk dan kawasan pasar namun surut tidak lama kemudian.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata fenomena air pasang besar dijangka paling tinggi pada 1.17 pagi esok dan kawasan berisiko akan terus dipantau khususnya di Kuala Kedah, Yan, Jerlun serta Kuala Muda.

    “Keadaan banjir yang sedang melanda negeri ini juga dijangka bertambah buruk khususnya bagi kawasan tepi dan muara sungai serta perpindahan mangsa banjir juga dijangka bertambah susulan air pasang besar sehingga Selasa depan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Tinjauan Bernama ke Pasar Seberang Kota, Kuala Kedah tengah hari tadi mendapati kesan limpahan air masih kelihatan ekoran air pasang besar yang berlaku tengah malam tadi, namun tidak menjejaskan penduduk khususnya peniaga di kawasan itu.

    Seorang peniaga makanan kering Chempa Ladun, 41, berkata limpahan air pasang besar tengah malam tadi datang dengan perlahan sebelum surut tidak lama kemudian.

    “Memang tiap-tiap tahun bila berlaku air pasang besar, air akan naik di kawasan pasar nelayan ini, kami pun dah bersedia awal, macam sekarang air naik tengah malam, tapi barang-barang di kedai sudah disimpan dan dibungkus elok,” katanya.

    Di PERAK, air pasang besar berlaku setinggi lebih semeter pada kira-kira 4.30 pagi tadi menyebabkan air melimpah sedalam 0.3 meter ke penempatan penduduk yang rendah di beberapa kawasan di pesisiran Sungai Perak, Teluk Intan.

    Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata 12 kawasan di sekitar daerah itu terjejas akibat fenomena berkenaan namun tiada mangsa dipindahkan manakala air mula surut pada 7 pagi tadi.

    Lokasi terjejas ialah Kampung Sungai Kerawai, Kampung Terengganu, Pekan Teluk Intan, Kampung Esso, Kampung Pisang Batak Rabik, Ban Taman Maharani, Lorong Kalat Batak Rabit, Batu 6 Jalan Maharajalela, Taman Muhibbah Batu 6, Taman Desa Aman, Kampung Batak Rabik dan Lorong Masjid Kampung Bahagia.

    “Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa memantau kawasan terlibat namun keadaan dikhuatiri menjadi buruk sekiranya berlaku hujan lebat dan ban pecah,” katanya.

    Di SELANGOR, air pasang besar yang melanda pesisir pantai negeri itu masih terkawal dengan dipantau secara bersepadu oleh beberapa Balai Bomba dan Penyelamat negeri bersama agensi bencana lain sejak 4.30 hingga 7.30 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata lokasi pemantauan termasuk Jeti Pulau Ketam, Jeti Sementa, Jeti Sritama, Jeti Sri Tanjung, Jeti Sepakat, Jeti Sirip Biru, Pengkalan Nelayan Kampung Tok Muda Kapar, Pengkalan Sungai Keramat dan Kampung Ban Pecah.

    “Keadaan air pasang melebihi paras biasa namun keadaan terkawal, rumah penduduk tidak dinaiki air dan tiada pemindahan mangsa dilakukan serta air mula surut pada 7 pagi,” katanya dalam kenyataan.

    Di JOHOR, JBPM negeri akan menumpukan rondaan bagi fenomena itu di kawasan sepanjang pesisir pantai yang mempunyai penduduk di beberapa daerah antaranya Batu Pahat, Pontian, Mersing, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar.

    Pengarahnya Datuk Yahaya Madis berkata arahan kepada seluruh Balai Bomba dan Penyelamat juga telah dikeluarkan bagi kesiapsiagaan dan rondaan sepanjang tempoh air pasang besar itu.

    “Kesiapsiagaan ini merangkumi aspek kesiapsiagaan anggota dan aset-aset jabatan, terutamanya untuk memberi bantuan kepada penduduk setempat sekiranya berlaku kejadian banjir yang memerlukan pemindahan,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, Astro Awani melaporkan, penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai dan pantai di Terengganu diingatkan agar lebih berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang boleh mengakibatkan banjir.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, berkata berkata air pasang besar serta disusuli hujan dikhuatiri boleh mengakibatkan limpahan air di kawasan daratan.

    Katanya, fenomena air pasang besar mencecah lebih satu meter dijangka bermula pukul 9 malam ini.