Tag: air panas

  • Kerani didakwa cederakan pembantu rumah guna seterika, air panas

    Kerani didakwa cederakan pembantu rumah guna seterika, air panas

    SEORANG kerani wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap pembantu rumahnya.

    Tertuduh, Loke Chee Hui, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistert Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah mendatangkan kecederaan menggunakan seterika dan air panas terhadap mangsa yang merupakan warganegara Indonesia.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Brickfields, Kuala Lumpur antara 3 Mac 2022 sehingga 23 April lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Elena Jamaluddin Akbal tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin.

    Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Varghese Onny memohon tertuduh dibenarkan jaminan minima, lapor UtusanTV.

    Majistret Atiqah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin warganegara.

    Sementara itu di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh bersama suaminya, Lum Kah Wai, 44, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeksploitasi pengabdian terhadap pembantu rumah mereka bermula Mac tahun lalu yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama melakukan kesalahan itu terhadap perempuan warga Indonesia yang bukan kanak-kanak dengan menggunakan kekerasan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama dan antara tarikh yang sama.

    Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 15 tahun serta denda.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah juga tidak mencadangkan jumlah jaminan memandangkan pertuduhan itu dalam kes tidak dijamin.

    Varghese kemudian memohon kedua-dua anak guamnya itu dibenarkan jaminan dengan kadar munasabah.

    Mendengar rayuan itu, hakim Azura membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai selain melaporkan diri di balai polis setiap dua bulan.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan 6 Jun depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.

    Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mendera pembantu rumah sehingga melecur di badan.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa bekerja di lokasi kejadian selama satu tahun enam bulan dan mendakwa sering dipukul, ditampar dan dicederakan majikan di tangan dengan menggunakan seterika.

  • Bapa simbah anak bongsu air panas dipenjara enam tahun

    Bapa simbah anak bongsu air panas dipenjara enam tahun

    SEORANG bapa yang mendera anak bongsunya dengan menyimbah air panas menggelegak kerana mengganggunya tidur, dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Yasin Halik, 41, yang mengaku bersalah menyimbah air panas daripada pemanas air ke atas kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hingga menyebabkan bahu kiri serta kanan dan kedua lutut mangsa melecur.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik sewa di Jalan Pudu di sini, pada 12 tengah hari, 1 Dis tahun lepas, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

    Norina memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 11 Dis 2022 selain mengarahkannya berkelakuan baik dengan bon jaminan  tanpa cagaran selama tiga tahun serta melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama 180 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

    Berdasarkan fakta kes, pada 7 malam, 1 Dis 2022, pengadu iaitu seorang wanita warga Indonesia bernama Suma pulang dari kerja dan melihat mangsa serta seorang lagi anaknya dalam keadaan bogel dengan kesan melecur pada badan dua anaknya itu.

    Wanita itu yang merupakan tukang masak di sebuah restoran telah bertanya kepada anak-anaknya dan mereka menjawab “bapa siram air panas sebab kakak dengan adik bising”.

    Pengadu hendak membawa mereka ke hospital tetapi dihalang oleh tertuduh dan pengadu telah membuat laporan polis pada 9 Dis 2022 selepas seorang daripada anaknya itu meninggal dunia.

    Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menyiram air panas menggelegak ke atas badan mangsa kerana mengganggunya tidur.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh kerana sebagai seorang bapa dia seharusnya melindungi kanak-kanak itu, bukan menyimbah air panas tanpa belas kasihan.

    Mohd Yasin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia mahu berjumpa ibu bapanya di Sabah.

    Pada 21 Dis tahun lepas, lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh anak sulungnya berusia sembilan tahun, di lokasi sama pada 9 malam, 9 Dis 2022, sebelum mayat mangsa ditanam di kawasan riadah dekat sini.

    Di Mahkamah Majistret sama, Mohd Yasin dijatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah menyimbah air panas ke badan Suma sehingga menyebabkan mangsa melecur pada punggung kiri. – BERNAMA